Peribadi, Tazkirah & Fikir Wajahnya Muslim, Juadahnya Belum Tahu

Wajahnya Muslim, Juadahnya Belum Tahu

  • PDF
(15 votes, average 4.87 out of 5)

Wajahnya Muslim, Juadahnya Belum Tahu

Oleh

Zaharuddin Abd Rahman

www.zaharuddin.net

 

satay.jpg

 

Setiap orang menanggung dosa masing-masing, tiada sesiapa dibebankan dengan dosa orang lain. Itu adalah prinsip asas yang wujud di dalam Islam berdasarkan firman Allah swt : -

Dan tidaklah seorang membuat dosa melainkan kemudaratannya kembali kepada dirinya sendiri; dan seorang yang berdosa tidak akan memikul dosa orang lain. Kemudian kepada Tuhanmulah kamu kembali, dan akan diberitakan-Nya kepadamu apa yang kamu perselisihkan ( Al-An'am : 164 )

Imam Al-Qurtubi menjelaskan[1], ketiadaan kaitan ini hanya dari sudut dosa di akhirat, mankala di dunia, orang yang tidak melakukan dosa masih terdedah kepada azab yang dikenakan ke atas pelaku dosa. Ia berdalilkan kepada ayat dari Surah Al-Anfaal : 25 iaitu :-

"Dan peliharalah dirimu daripada siksaan yang tidak khusus menimpa orang-orang yang zalim sahaja di kalanganmu. Dan ketahuilah bahwa Allah amat keras siksaan-Nya"

TERIMA HADIAH DAN TANGGUNGJAWAB

"ustaz, saya ada terima hadiah aiskrim dari seorang rakan, tapi sebab saya baru sampai UK, dan tak  tahu apa jenama  dan kandungan yang halal, saya hanya bergantung kepada dia, boleh tak ustaz?" soal seorang pelajar di United Kingdom

"Ye la, tak kanlah dia nak bagi saya aiskrim ada babi pulak kan" tambahnya lagi sebelum sempat saya memberikan buah fikiran.

"Jika demikian, enta boleh makan aiskrim itu" jawab saya ringkas.

"Tak perlu baca ingredients ke ustaz?"

"Dah tadi anta kata, tak tahu apa yang halal, begini, kalau reti, bacalah dan buat penilaian ikut ilmu serta keyakinan sendiri, jika tiada mampu bergantung sahaja kepada penilaian rakan yang beri tu"

"Perlu tidak saya tanya dia direct,contohnya saya tanya "ni halal ke"?" katanya meminta penjelasan lanjut.

"Dua-dua boleh, nak tanya boleh, tidak tanya pun boleh juga, yang mesti adalah baca bismillah sebelum makan" saya menerangkan, cadangan itu berdasarkan hadis Rasulullah s.a.w menerima daging dari seorang yang tidak dapat dipastikan sama ada ia disembelih atau tidak, maka diajar oleh Nabi untuk membaca basmalah.

"Kalau rasa kawan tu betul-betul rapat, sudut budaya dan  adab pun ok, boleh ajukan pertanyaan, tapi kalau rasa ia sampai boleh menggugat hubungan persaudaraan, senyap saja dan balik semak sendiri dan buat keputusan, saya sendiri pernah simpan hadiah sekotak aiskrim yang orang bagi, akhirnya kami buang kerana tidak yakin, walaupun yang memberi tu rakan Islam juga" tambah saya lagi

MEMANG KERAP

Memang benar, bukan sesekali malah dalam banyak keadaan, kita tidak mampu untuk sentiasa meneliti dan menyemak segala-galanya, khususnya di dalam hal makanan.

Ketika kita memesan makanan di sebuah restoran milik orang Islam, adakah kita pasti ayam, daging lembu yang digunakan untuk menyiapkan hidangan adalah halal?.

Adakah kita dituntut untuk menyelidiki dan bertanya setiap masa, setiap kali? Bagaimana pula jika semasa memilih makanan di bazaar Ramadhan. Adakah semuanya halal ? atau adakah mencukupi hanya bergantung kepada bangsa atau agama penjual? Jika Islam, adakah secara automatic makanannya juga halal ? Bagaimana pula jika penjual itu berbangsa Melayu, adakah secara automatik dia juga Islam dan makanannya halal ?  Begitukah sifirnya?

Jawapan yang ideal namun kurang praktikal adalah :

Semua tidak halal kecuali setelah yakin melalui kajian, semua bahan yang digunakan adalah halal.

Memberi jawapan sedemikian memang mudah, namun pelaksanaannya kurang dimampui. Islam tidak diturunkan untuk menyusahkan, namun begitu sebahagian hukum Islam ada yang dirasai sukar, bertujuan menguji sejauh mana keimanan umat Islam terhadap larangan dan suruhan Allah swt.

Pun begitu, semua arahan dan larangan yang dituntut oleh Islam, masih berada di dalam ruang lingkup kemampuan manusia biasa. Tiada arahan yang tidak dimampui oleh tenaga manusia, sebagai contoh wajib sebulan sekali solat di angkasa, puasa mestilah 48 jam berturut-turut tanpa makan dan minum.

Tiada di dalam Islam tuntutan sedemikian. Firman Allah swt : -

Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya. Ia mendapat pahala (dari kebajikan) yang diusahakannya dan ia mendapat siksa (dari kejahatan) yang dikerjakannya. ( Al-Baqarah : 286 )

Atas alasan ini, jawapan kepada pelbagai persoalan di atas adalah :-

Semua penjual Islam WAJIB bertanggungjawab menjual barang yang halal sahaja. Oleh itu,

  • Jika dijual ayam : Wajib dipastikan diambil ayam tersebut dari pembekal yang diyakini melaksanakan proses sembelihan yang sempurna.
  • Jika buka restoran : wajib dipastikan ayam, daging dan lain-lain bahan mentah yang dibeli adalah halal, dari pembekal yang halal.
  • Jika buka gerai : wajib bertanggungjawab di hadapan Allah swt akan semua hidangan atau juadah yang dijual. Semuanya menggunakan bahan yang halal dan diadun tanpa sebarang kandungan haram seperti arak dan sepertinya.
  • Jika beri hadiah : Wajib bertanggungjawab bahawa hadiah makanan yang diberi, adalah makanan yang halal, telah dipastikan melalui ilmu, ia tidak mengandungi kandungan haram.
  • Jika buat kenduri, rumah terbuka, jamuan : Wajib bertanggungjawab memastikan semua juadah adalah dari bahan halal, jika caterer yang menyediakan, wajib tuan rumah memastikan caterer bertanggungjawab ke atas perkara tersebut.

 

Semua pemberi hadiah, penjual makanan dan minuman, penjemput ke majlis dan pembekal memastikan bahan yang mereka sedia dan beri adalah HALAL. Tanggungjawab HALAL tergantung di atas bahu mereka, tiada cop halal JAKIM bagi sepinggan mee mamak, semangkuk mee bandung dan tom yom, secucuk satay dan ayam percik. HALALnya bergantung kepada si penjual dan mereka yang menghidang (jika kenduri).

Saya fikir amat PENTING untuk diingatkan para penjual, pemberi, penjemput, penjamu dan sebagainya berkenaan tanggungjawab mereka ini. Kerana umat Islam sememangnya tidak mampu untuk bertanya dan menyelidiki setiap satu hal di atas.

Saya sebenarnya merasa sedikit bimbang, apabila umat Islam pada ketikanya kelihatan bergantung sepenuhnya kepada bangsa. Jika restoran dilihat dilayan oleh Melayu, tanpa ragu dan bimbang lagi, diyakini semua hidangannya adalah halal. Sebenarnya, ramai Melayu dan Mamak yang bukan lagi Islam, ramai juga peniaga Melayu dan Mamak yang tersangat ambil mudah bab halal, sehingga ada kemungkinan mereka ingin menjimatkan kos dengan membeli ayam bangkai (tidak sembelih yang lebih murah) untuk restorannya, untuk kedai ayam perciknya, untuk jualan di kedai sataynya dan sebagainya.

Maka tulisan ini ingin mengingatkan mereka bahawa TANGGUNGJAWAB di hadapan Allah swt kelak adalah di bahu mereka semata-mata.

Saya masih ingat, beberapa orang ahli Majlis Penasihat Syariah berbangsa Arab di sebuah bank Islam, ketika menghadiri mesyuarat Syariah di Malaysia, mereka menyangka semua makanan di Malaysia adalah halal, disebabkan Malaysia terkenal sebagai sebuah Negara umat Islam. Sehingga mereka tidak sedar, begitu banyak kedai Cina bukan Islam yang menghidangkan makanan haram. Disebabkan tidak tahunya itu, mereka kenyang di kedai Cina. Entah halal atau tidak ...tidalah diketahui.

PROGRAM ISLAM DI HOTEL, MAKANANNYA?

Satu lagi trend masakini adalah menganjurkan program di hotel-hotel besar lima bintang. Syarikat swasta dan tidak terkecuali sektor awam kerajaan kerap menganjutkan program besar di hotel sebegini. Bayangkan satu persidangan ulama Fiqh sedunia dibuat di hotel lima bintang di Putrajaya. Yang hadir adalah kumpulan ulama terhebat di seluruh dunia, apabila tiba waktu makan, mereka semua makan tanpa banyak soal. Semua bersangka baik ia adalah halal, sedangkan berapa banyakkah hotel lima bintang di Malaysia yang mendapat sijil iktiraf makan dan dapurnya bersih serta halal?!

Saya tidak mendakwa ia haram, Cuma ingin menarik perhatian semua bahawa TANGUNGJAWAB memastikan halal adalah penganjur. Mereka menanggungnya di dunia dan akhirat.

PERSIDANGAN KEWANGAN ISLAM DI LONDON PROMOSI ARAK?

Baru-baru ini satu persidangan besar 8th Annual Islamic Finance Summit, dianjurkan di London. Bayangkan di dalam buku kertas kerja, dengan bangganya pihak penganjur memaklumkan dimana letaknya bar-bar yang boleh dikunjungi oleh para peserta. Pelikkan!

 

Memang ada hujah, kononnya kerana ramai juga peserta yang bukan Islam. Namun ia hujah yang karut lagi salah.

Ada pula yang berkata, "Dah penganjurnya pun bukan syarikat milik Islam, ia hanya sebuah syarikat latihan yang popular dunia, dan diketahui ia bukan milik umat Islam"

Ye, saya faham, ia memang bukan milik Islam, tetapi amat buta syarikat ini sehingga di dalam sebuah konferen kewangan Islam sedunia, di samping pemakluman bertulis tempat solat, borang itu ini, tempat makan dan lain-lain, dengan tidak pekanya mereka memasukkan sekali maklumat berkaitan bar serta restauran jualan arak.

PERSIDANGAN LAIN?

Demikian, sebegitu banyak persidangan berkaitan Kewangan dan Perbankan Islam dianjurkan. Memang sudah menjadi lumrah, ilmu perbankan dan kewangan Islam adalah satu jenis ilmu yang eksklusif sehinggakan persidangan mereka juga amat mahal yurannya dan bertempat di hotel lima bintang.

Sekali lagi diingatkan, penganjur bertanggungjawab memastikan makanan pagi, tengahari dan petang di persidangan itu adalah halal. Para peserta TIDAK AKAN MAMPU BERTANYA, malah sebahagian memang tidak MAHU BERTANYA kerana dijangka akan lebih menyusahkan mereka.

Kita sepatutnya bimbang, akan wujudnya persidangan dan seminar berkaitan hal ehwal dan ilmu Islam, tetapi makanan yang dihidang adalah ayam tidak sembelih, daging bangkai lembu, manisan berperisa arak dan sebagainya. Justeru itu, penganjur perlu lebih peka dan membuat demand serta meletak syarat kepada pihak hotel untuk memastikan semua bahan untuk persiapan makanan adalah HALAL.

Jika tidak, mereka akan bertanggung jawab atas segala dosa makanan haram yang disuap oleh peserta, seluruhnya..

"Eh..bukankah kita tak tanggung dosa orang lain?" soal seorang rakan setelah mendengar penjelasan saya di atas.

"benar, itu jika tiada kaitan, namun mengabaikan tanggungjawab, punyai kaitan, sama seperti seorang bapa mengabaikan nafqah isteri dan pelajaran agama anaknya, bukankah dia berdosa, malah menanggung dosa atas segala sikap buruk dan kejahilan anaknya?" Jelas saya.

 

Itulah yang disebutkan oleh nabi s.a.w :

 

 

Ertinya : "Setiap kamu adalah penjaga dan bertanggungjawab atas perkara yang di bawah jagaan dan tanggungjawabnya" ( Riwayat Al-Bukhari)

 

Sampaikan ingatan ini kepada seramai mungkin peniaga dan penjual. Ingatkan kepada pemberi hadiah, penjemput kenduri, pengusaha kantin dan caterer bahawa mereka mempunyai TANGGUNGJWAB yang besar. Bukan sekadar kira-kira untung rugi di buku log akaun mereka sahaja yang mesti diambil kira, tetapi KIRA-KIRA DOSA di akhirat lebih wajar dan lebih penting untuk difikirkan.

 

Sekian

 

Zaharuddin Abd Rahman

www.zaharuddin.net

30 Jun 2009

 


 



[1] Al-Jami' Li Ahkam Al-Quran, halaman 150



Add this page to your favorite Social Bookmarking websites

Add comment


Security code
Refresh

Pengumuman

Wang, Anda dan Islam
Panduan Perbankan Islam

Untukmu Wanita

 
Untukmu Umat
Formula Solat Sempurna
Murabahah
 A Comprehensive Prayer FormulaContracts and The Products of Islamic Banking
Akidah dan IbadatRiba
cover_maqasid_arab 
Money, You and Islam
 cover_bicaralah_new ledakan_FB 
indahnya_hidup_politikcover_jangan_berhenti_berlari


 

Ruangan Iklan




RSS Feed

Pengisian Terkini Pengisian Terkini

Statistik

Site Meter

Pelawat

Now online:
  • 6 guests

Komen Terbaru

You are here: Peribadi, Tazkirah & Fikir Wajahnya Muslim, Juadahnya Belum Tahu