Cadangan Haram Sisters In Islam
& Kebebasan Bersuara
Oleh
Zaharuddin Abd Rahman
www.zaharuddin.net
SOALAN
Saya ingin bertanya al-fadhil Ustaz berkenaan isu cadangan pengaharaman pertubuhan Sisters In Islam kerana pandangannya yang menyelweng dari landasan Islam. Adakah terdapat sebarang justifikasi tindakan seperti ini di zaman Nabi s.a.w dan jika tiada adakah ia bertepatan dengan Islam atau bercanggah kerana dianggap sebagai menutup pintu diskusi dan debat serta kebebasan bersuara. Harap ustaz dapat mengulas.
JAWAPAN
Hangat juga diperkatakan berkenaan isu Sisters In Islam (SIS). Saya tidak pernah melakukan kajian peribadi berkaitan pertubuhan ini, namun kerap juga membaca beberapa tulisan mereka khususnya yang tersiar di dada akhbar. Adakalanya saya juga menyemak kesahihan nisbah sesuatu berita yang tersiar di akhbar kepada web SIS sendiri.
Secara peribadi banyak sekali saya tidak bersetuju dengan pandangan SIS ini, namun demikian tidak saya nafikan sebahagian pandangan mereka masih dalam lingkungan khilaf muktabar di kalangan ulama Islam, cuma mereka mengambil pandangan yang lebih mereka rasakan relevan buat pergerakan mereka.
Manakala dalam keadaan yang lain, ada pandangan yang diutarakan oleh mereka yang dari bidang khilaf TIDAK muktabar seperti wanita menjadi imam solat jumaat, rambut bukan aurat dan sebagainya. Atau dalam kata lainnya, khilaf tidak muktabar ini adalah pandangan yang dikira menyeleweng dari tafsiran sebenar Islam berdasarkan sumber-sumber dan kaedah pengeluaran hukum yang sahih.
Erti sumber dan kaedah pengeluaran hukum yang sahih pula adalah kembali kepada al-Quran, As-Sunnah dan terpecah darinya Ijma dan qiyas serta sumber-sumber lain. Ia juga mestilah dilihat dan ditafsir menurut kaedah yang tepat melalui kaedah bahasa arab terlebih dahulu dan seterusnya melalui disemak menggunakan ilmu Usul al-Fiqh dari bidang Dalalah al-alfaz, Nasikh dan Mansukh, Mutlaq dan Muqayyad, Majazi dan Hakiki, Muhkam dan Mutasyabih. Kemudian melalui proses ta'arud wa tarjih, selain itu dilihat juga tahap kekuatan hadis dari sudut sanad dan matannya.
Telah banyak tulisan yang mendedahkan perincian di atas, dalam pelbagai jenis blog dan saya tidak berhasrat untuk mengulas hal tersebut.
BOLEHKAH MENGHARAM SESEBUAH TULISAN DAN KUMPULAN
Apa yang ingin saya ulaskan secara ringkas dan padat di sini adalah soalan sama ada boleh atau tidak, sesebuah pemerintah atau badan berwajib Islam ‘mengharam' sesuatu kumpulan, individu, tulisan, filem dan lain-lainnya. Tulisan ini juga tidak hanya memfokuskan kepada isu pertubuhan Sisters In Islam, malah jangkauannya lebih meluas kepada yang lain termasuk individu, pertubuhan NGO, politik dan lain-lain. Sebelum ini telah banyak kita baca berkenaan beberapa buah buku yang diharamkan oleh pihak JAKIM, kerajaan dan pihak berwajib. Adakah semua ini mempunyai asas di dalam Islam?
Dalam mencari pendakatan yang terbaik dalam menangani sesebuah buku, individu atau kumpulan yang menyelewengkan fatwa Islam. Beberapa dalil boleh dijadikan panduan.
Secara ringkasnya, terdapat empat tindakan yang boleh dan dibenarkan, demikian pandangan saya. Berikut adalah tindakannya menurut aturan tertib beserta dalil ringkasnya :-
PERTAMA : NASIHAT DAN DEBAT YANG TERBAIK
Nasihat dan berhujjah serta berdebat adalah pendekatan terbaik yang perlu diambil sebelum sebarang pendekatan lain digunakan.
Ia jelas dari firman Allah swt :-
Ertinya : Serulah (manusia) kepada jalan Tuhanmu dengan hikmah dan pelajaran yang baik dan bantahlah mereka dengan cara yang baik. Sesungguhnya Tuhanmu Dialah yang lebih mengetahui tentang siapa yang tersesat dari jalan-Nya dan Dialah yang lebih mengetahui orang-orang yang mendapat petunjuk. ( An-Nahl : 125 )
Kaedah lembut, bertenang dan berbincang adalah yang terbaik dalam menyelesaikan sesebuah masalah dalam negara, masyarakat malah juga keluarga. Sabda Nabi s.a.w
إن هذا الدين متين فأوغلوا فيه برفق
Ertinya : Sesungguhnya agama ini adalah rapi, teliti dan kukuh, maka masuki ke dalamnya (ajaklah) kepadanya dengan lunak dan lembut ( Riwayat Al-Bazzar, Al-Hakim ; As-Sayuti : hadis sohih ; IBn Hajar membawakan lafaz lain yang mempunyai makna yang hampir sama)
Lihat sahaja bagaimana tindakan dan keputusan Rasulullah s.a.w ketika berhadapan dengan puak Munafiq tulen. Benar, di zaman Nabi, wujud sahabat yang dikurniakan kelebihan untuk mengenalpasti individu Munafiq dengan tepat, malah Rasul juga mengetahuinya, namun golongan ini tidak terus diharamkan dan disisih.
Ibn Qayyim pernah memberikan kesimpulan cara Nabi s.a.w dalam berhadapan dengan golongan munafiqin sebagai berikut :-
أما سيرته - أي النبي صلى الله عليه وسلم - في المنافقين, فإنه أُمر أن يقبل منهم علانيتهم, ويكل سرائرهم إلى الله, وأن يُجاهدهم بالعلم والحجة, وأمره أن يُعرض عنهم, ويُغلظ عليهم, وأن يبلغ بالقول البليغ إلى أنفسهم, ونهاه أن يصلي عليهم, وأن يقوم على قبورهم, وأخبر أنه إن استغفر لهم فلن يغفر الله لهم
Ertinya : Nabi mengarahkan umat Islam untuk menerima mereka berdasarkan zahir mereka, dan menyerahkan urusan niat dan hati kepada Allah swt. Berusaha mendekatkan mereka dengan ilmu dan hujjah, Nabi juga mengarahkan sahabat untuk menjauh mereka dan bertegas, menyampaikan kata-kata yang tepat dan hikmah kepada mereka, dilarang pula solat ke atas jenazah mereka dan menzaiarahi kuburan mereka dan memaklumkan bahawa sekiranya yang hidup beristifaghar untuk munafiq yang mati, nescaya sama sekali Allah tidak akan mengampunkan mereka. (Rujuk Zad al-Ma'ad)
Pernah satu ketika, seorang munafiq mengutuk Nabi s.a.w dengan mengatakan bau himar yang ditunggangi Nabi amat busuk, seorang sahabat bernama Usayd bin Hadyar dengan segera membalas dengan mengatakan bau himar Nabi itu sekiranya busuk sekalipun ia jauh lebih wangi dari bau tubuhmu. Nabi tetap membiarkan lelaki tadi duduk dalam majlisnya.
Dalam majlis Nabi s.a.w ada ketua kumpulan munafiqin iaitu Ubai Ibn Abi Salul mengutuk dan mencerca nabi s.a.w, lalu bangkit beberapa orang sahabat untuk ‘mengajar' Ubai, lalu Nabi berkata :
بل أُحسن إليه ما دام فينا
Ertinya : Bahkan, hendaklah kamu bersikap baik dengan mereka selagi mereka bersama kita (kelihatan sebagai orang Islam) ( Riwayat Al-Bukhari, Ktab al-Sulh, no 2691, 5/297)
Dalam kejadian lain, Ubai, ketua orang munafiqin mengatakan sekiranya kami kembali ke Madinah, kami akan kembali kepada hina setelah mulia. Sebagaiaman yang disebut oleh Allah di dalam surah Al-Munafiqun ayat ke 8.
Mendengarnya seorang sahabat berkata,
يا رسول الله! إن كنت آمرًا أحدًا أن يقتل أبي فمرني بقتله، قال: لا يا عبد الله، بل نحسن صحبته ما دام فينا
Ertinya : Wahai Rasulullah, jika sekiranya kamu memerintah seseorang untuk membunuh (ekpala) munafiq ini, maka suruhlah aku untuk menematkannya.
Nabi menjawab : Tidak wahai Abdullah, bahkan kita akan memperbaiki hubungan dengan mereka selagimana mereka bersama kita ( sebagai muslim) " (Riwayat Al-Bukhari, No 4907, 8/652)
Namun ingat, ringkasan yang diberikan oleh Ibn Qayyim. Kita disuruh untuk berlaku baik terlebih dahulu, mendekati dan berdakwah dengan mereka melalui hujjah dan debat. Namun demikian, Nabi tidak akan menyembahyangkan jenazah si munafiq sebagaimana arahan Allah swt di dalam surah at-Taubat ayat ke-84.
KEDUA : LARANGAN MEMBACA ATAU MENYEBARKAN TULISAN
Jika setelah langkah pertama diambil, lalu ternyata mereka yang terbabit masih berdegil dengan menyebarkan ideologi salah mereka. Kaedah yang kedua adalah dengan melarang orang ramai dari membaca atau menyampaikan sesebuah ilmu atau tulisan. Namun larangan ini dikeluarkan atas sifat nasihat dan saranan. Tiada sebarang peruntukan hukuman diambil pada tahap ini. Dengan demikian, pihak berwajib adalah dibenarkan melarang umat Islam dan orang ramai untuk membaca tulisan individu atau kumpulan tertentu atau dilarang juga menyebarkannya. Sebabnya :-
- Kandungannya bercanggah secara pasti dengan tafsiran yang benar.
- Kandungannya akan mengelirukan orang ramai dari ilmu Islam yang benar.
Untuk itu, menurut pendapat saya, pihak berwajib boleh mengeluarkan NOTIS LARANGAN untuk membaca buku tertentu, menyertai kumpulan tertentu dan sebagainya. Di peringkat ini, notis amaran larangan dari pihak berwajib kepada individu muslim awam sama ada dalam bentuk fatwa atau surat pekeliling.
Perlu difahami juga, sebarang buku atau kumpulan yang ingin dikeluarkan notis laranagn baca dan sebar MESTILAH benar-benar menyeleweng TANPA KHILAF MUKTABAR dan bukannya hanya pendapat berbeza dalam masalah ijtihadiah atau disebabkan buku tersebut mengandungi pendapat-pendapat mazhab lain dari Syafie. Ia tidak wajar sama sekali.
Apa yang sedang kita bicarakan adalah kandungannya mengandungi penyelewengan tafsiran, takwilan, huraian yang jelas lagi bercanggah dengan aliran umum mazhab Islam. Terdapat beberapa hadis yang amat penting sebagai sandaran untuk tindakan ini iaitu :-
a. Dalil Larangan Membaca Sumber Yang Salah
Jika kita meneliti beberapa hadis Nabi s.a.w, pastinya kita akan bertemu dengan satu asas yang pokok dalam hal ini iaitu kisah di antara Umar al-Khttab r.a dan baginda Rasulullah s.a.w :
Ertinya : Umar al-khattab membawa kepada Rasulullah s.a.w sebuah kitab yang ditemuinya dari sebahagian kitab lalu berkata :
"Wahai Rasulullah s.a.w, aku berjumpa sebuah kitab yang baik dari sebahagian ahli Kitab"
Lalu Baginda berubah menjadi marah dan berkata :
"Adakah kamu keliru pendirian (tentang agamamu) wahai Ibn Khattab? Demi Nyawaku di dalam tangan Allah, telah aku bawakan kepadamu dengan lembaran yang putih bersih (Islam dan rujukannya Al-Quran yang bersih dari ubahsuai), Jangan kamu tanyakan kepada mereka sesuatu apa pun kelak dikhabarkan oleh mereka satu perkara yang benar lalu kamu akan mendustakannya, atau diberitahu satu perkara batil, lalu kamu membenarkannya, demi nyawaku di tangan Allah, sekiranya Nabi Musa a.s itu masih ia tidak akan dapat berlepas diri kecuali untuk mengikutiku" (Riwayat Ahmad ; Tafsir ibn kathir : 4/365 ; Riwayat Al-Bukhari dengan lafaz berbeza bab I'tisom bil kitab; Fath al-Bari, hadis no 6928)
Dari hadis di atas jelas memberikan kita kesimpulan berikut :-
- Tindakan melarang membaca sesebuah tulisan atau buku atau ulasan sesebuah kumpulan yang ternyata membawa ajaran salah lagi sesat atau boleh menyesatkan ADALAH DIBENARKAN. Ini kerana tindakan baginda Nabi s.a.w yang MELARANG Umar untuk membaca sebarang petikan dari Taurat yang diubah itu boleh dianggap dalil Islam melarang semua umat Islam untuk membelek kitab-kitab tersebut untuk mengambil manfaat. Lainlah bagi ilmuan Islam yang menyelidikinya bagi mendedahkan kesalahannya tentunya tiada mudarat.
- Taurat yang ada ketika itu telah diseleweng, atas dasar ia adalah sebuah kitab tiruan lagi menyesatkan, Nabi melarang sahabat untuk membacanya dan cukup untuk umat Islam berpegang dari menggali segala panduan dan kebaikan dari kitab Al-Quran
- Tindakan itu juga dilihat bagi mengelakkan umat Islam terkeliru pada masa akan datang akibat merujuk kepada selain kitab-kitab selain Al-Quran.
Jika dilihat dari asas ini, sekiranya benar-benar terbukti kumpulan SIS atau mana-mana kumpulan lain, membawa sebuah ajaran salah lagi mengelirukan. Setelah melalui proses pertama iaitu, nasihat dan debat dengan ilmiah, namun masih berdegil. Tindakan mengeluarkan notis larangan adalah boleh diambil. Beerti, dalam keadaan itu, Majlis Fatwa mestilah mengeluarkan fatwa larangan bagi semua umat Islam untuk merujuk dan membaca idea dan tulisan pihak SIS dan yang sepertinya.
b. Larangan Penyampaian Yang Mengelirukan.
Di dalam hadis sohih yang dicatatkan oleh Imam Muslim. Abu Hurairah r.a diminta oleh nabi s.a.w untuk menyampaikan satu ilmu kepada sesiapa sahaja yang dijumpainya. Kebetulan individu pertama yang ditemuinya adalah Umar al-Khattab r.a. Apabila disampaikan ilmu tersebut kepada Umar, tiba-tiba Abu Hurairah ditegah oleh Umar sehingga menyebabkan Abu Hurairah hampir menangis. Umar kemudiannya mengarahkan Abu Hurairah untuk kembali bertemu Rasulullah dan beliau juga mengekori sama. Setelah Abu Hurairah menceritakan apa yang berlaku, lalu Rasulullah bertanya kepada Umar akan sebab beliau bertindak sedemikian. Jawab Umar :
قال: يا رسول الله بأبي أنت وأمي أبعثت أبا هريرة بنعليك من لقي يشهد أن لا إله إلا الله مستيقنًا بها قلبه بشره بالجنة؟ قال: نعم. قال: فلا تفعل فإني أخشى أن يتكل الناس عليها فخلهم يعملون قال رسول الله صلى الله عليه وسلم: فخلهم
Ertinya : Wahai Rasulullah, kamu utuskan Abu Hurairah bersama dua kasutmu ( sebagai bukti beliau baru bertemu Rasul) untuk mengajar orang ramai yang ditemuinya ( dengan hadismu iaitu) barangsaiapa yang menyebut La ilaha Illa Allah (Tiada tuhan melainkan Allah) dengan hati yang yakin, maka baginya Syurga, maka aku (ingin memberi pandangan), janganlah dilakukan itu, kerana aku bimbang kelak nanti manusia akan berteleku untuk melakukan itu sahaja, biarkanlah mereka terus berusaha dan beramal (untuk mendapatkan syurga).
Nabi menjawab : Benar, biarkanlah mereka berusaha dan beramal ( Riwayat Muslim, bab Iman )
Dari hadis ini jelas bahawa :-
- Apa sahaja ilmu Islam yang belum sampai masa untuk penghuraiannya kepada awam, perlu ditangguh dari penyampaiannya. Walaupun ia adalah sebuah ilmu yang benar. Jika demikian bagi ilmu yang benar, bagaimana pula lagi tafsiran ilmu-ilmu yang tidak benar, mengelirukan dan menyeleweng yang disampaikan oleh individu, kumpulan seperti SIS dan sebagainya. Sudah tentu ia lebih lagi wajar untuk ditegah dan disekat dari penyebarluasannya bagi mengelak sebarang mudarat. Pemerintah boleh menangguh atau menyekat penyebaran sesebuah ilmu yang benar di ketika kebimbangan mudarat boleh berlaku lebih besar berbanding manfaat yang ingin dicapai.
- Pemerintah boleh menyekat sebarang penyampaian yang benar yang tidak diiringi oleh huraian. Ini kerana sebahagian ilmu yang jika tidak disertakan huraian, akan membawa kesilapan tafsiran dan fahaman.
- Imam As-Syatibi mengingatkan bahawa tidak semua ilmu yang kita ketahui perlu disampaikan dalam masa segera. (Al-Muwafaqat, As-Syatibi, 5/167)
c. Pengajaran dari Masjid Dhirar
Masjid Dhirar adalah nama yang diberikan kepada sebuah masjid yang dibina oleh puak Munafiq di zaman Nabi s.a.w. Masjid tersebut hampir-hampir dialukan oleh Nabi sehinggalah Allah swt menurunkan wahyu melarang Nabi dari mendirikan solat di dalam masjid tersebut.
Firman Allah swt
وَالَّذِينَ اتَّخَذُواْ مَسْجِدًا ضِرَارًا وَكُفْرًا وَتَفْرِيقًا بَيْنَ الْمُؤْمِنِينَ وَإِرْصَادًا لِّمَنْ حَارَبَ اللّهَ وَرَسُولَهُ مِن قَبْلُ وَلَيَحْلِفُنَّ إِنْ أَرَدْنَا إِلاَّ الْحُسْنَى وَاللّهُ يَشْهَدُ إِنَّهُمْ لَكَاذِبُونَ * لاَ تَقُمْ فِيهِ أَبَدًا لَّمَسْجِدٌ أُسِّسَ عَلَى التَّقْوَى مِنْ أَوَّلِ يَوْمٍ أَحَقُّ أَن تَقُومَ فِيهِ فِيهِ رِجَالٌ يُحِبُّونَ أَن يَتَطَهَّرُواْ وَاللّهُ يُحِبُّ الْمُطَّهِّرِينَ
Ertinya : Dan (di antara orang-orang munafik itu) ada orang-orang yang mendirikan mesjid untuk menimbulkan kemudaratan (pada orang-orang mukmin), untuk kekafiran dan untuk memecah belah antara orang-orang mukmin serta menunggu kedatangan orang-orang yang telah memerangi Allah dan Rasul-Nya sejak dahulu. Mereka sesungguhnya bersumpah: ""Kami tidak menghendaki selain kebaikan."" Dan Allah menjadi saksi bahwa sesungguhnya mereka itu adalah pendusta (dalam sumpahnya) ( At-Taubat : 107)
Allah sendiri menerangkan tujuan dan objektif masjid ini iaitu untuk menimbulkan kemudaratan, kekeliruan kepada umat Islam, dan memecahbelahkan kesatuan umat Islam dengan fitnah-fitnah dan tuduhan mereka sebagaimana yang pernah dilontarkan kepada ummu Mukmini Asiyah r.a.
Dari tindakan rasulullah menjauhi masjid itu, ini jelas menunjukkan Nabi sendiri menunjukkan sunnah boikot dan menyekat diri dan tentunya para sahabat yang lain dari mendirikan solat di masjid berkenaan. Namun Nabi tidak meruntuhkannya sebagaimana Nabi tidak membenarkan sahabatnya membunuh orang munafiqin walau diketahui siapa mereka dan penentangan jahat dan sulit mereka.
KETIGA : DIKENAKAN HUKUMAN DAN TINDAKAN UNDANG-UNDANG
Apabila semua proses di atas sudah diambil oleh pihak berwajib, namun pihak individu atau kumpulan masih berdegil dengan menyampaikan segala ilmu salahnya.
Sudah sampai masanya untuk pihak berwajib mengambil tindakan lebih keras iaitu menarik lesen pertubuhan jika ia sebuah pertubuhan, mengharamkan kemasukan dan edaran sesebuah buku atau majalah jika terdiri daripada bahan penulisan. Ataupun dijatuhkan hukuman individu yang terbabit dengan hukuman yang sesuai dengan besar mudarat yang diciptakan (bukan dengan ISA).
Proses ini boleh disandarkan kepada :-
a. Hukum Qazaf
Qazaf adalah sebuah tindakan menuduh zina seseorang lelaki atau perempuan yang baik tanpa dibawakan empat orang saksi yang adil. Tuduhan zina itu pula dilakukan secara terbuka. Akibat dari kesan keburukan tuduhan tersebut, Islam memperuntukan hukuman sebat bagi si pelaku atau penuduh. Proses tindakan undang-undang ini adalah sesuai bagi menyekat kemudaratan yang berlaku kepada yang tertuduh dan keluarganya. Hal ini telah kita sebutkan di link ini .
Saya hanya mengambil hal ini untuk memberikan contoh proses tindakan undang-undang adalah jalan terakhir bagi menyekat sesebuah tafsiran salah, ajaran sesat dan kumpulan menyeleweng.
b. Athar Abu Bakar as-Siddiq r.a
Tindakan Abu Bakar as-siddiq r.,a ketika menjadi khalifah yang berkeras untuk memerangi kaum yang enggan membayar zakat walaupun setelah dinasihati dan diterangkan kesalahan tafsiran mereka berkenaan ayat Al-Quran adalah penting dalam isu ini. (Rujuk hadis dari riwayat Abu Daud)
Puak yang enggan membayar zakat ini menyelewengkan tafsiran ayat Al-Quran surah at-taubat ayat yang ke103. Mereka mendakwa hanya diwajibkan di ketika hayat baginda Nabi s.a.w. Justeru itu, di ketika ketiadaan baginda, zakat tidak lagi menjadi wajib. [1]
Inilah besarnya kesalahan menyewelengkan tafsiran ayat sama ada dengan sengaja atau jahil. Seluruh para sahabat nabi dan imam mazhab bersepakat dan bersetuju untuk memerangi kumpulan yang enggan membayar dan menengkari kewajiban zakat ini, walaupun mereka berpuasa, menunaikan soat lima waktu kerana mereka tetap dianggap murtad kerana keingkaran kewajiaban zakat itu. (Al-Mughni, Ibn Qudamah, 2/228 ; Majmu al-Fatawa, 28/519 ; Fath al-bari, 14/277).
Jelas dari tindakan khalifah Abu Bakar r.a ini, memperlihatkan bagaimana tindakan dan hukuman digunakan sebagai jalan terakhir untuk menutup kemudaratan terhadap Islam.
c. Athar dari Umar dan Uthman r.a
Ditegaskan juga sekiranya semua nasihat, debat dan peringatan tidak diambil endah, tatkala itu tindakan hukuman adalah langkah seterusnya.
Umar dan Uthman r.a kedua-duanya diriwayatkan berkata dengan lafaz yang hampir sama :-
إن الله ليزع بالسلطان ما لا يزع بالقرآن
Ertinya : Sesungguhnya Allah swt akan melarang melalui kuasa sesuatu yang tidak dapat dilarang dan ditegah melalui Al-Quran (peringatan dan nasihat) ( Tarikh baghdad, 4/107 untuk hadis Umar, dan At-Tamhid, Ibn Ab Barr, 1/118 untuk hadis Uthman)
Inilah yang diterangkan oleh Imam Ibn Kathir ketika membawakan athar ini di dalam tafsir beliau dengan katanya :-
أي ليمنع بالسلطان عن ارتكاب الفواحش والآثام، ما لا يمتنع [عنه] كثير من الناس بالقرآن، وما فيه من الوعيد الأكيد والتهديد الشديد وهذا هو الواقع
Ertinya : Maskudnya (athar diatas) si pelaku kemungkaran akan ditegah dengan kuasa daripada terus melakukan kemaksiatan fawahish dan dosa, iaitu apabila mereka gagal ditegah kebanyakan manusia setelah diberi nasihat, ancaman azab, dan inilah hakikat yang berlaku. ( Tafsir Ibn Kathir, 5/111)
Itulah hakikatnya kata Ibn Kathir dan ia juga diperkukuhkan oleh Ibn Taymiah apabila menjelaskan keperluan kepada hukum hudud dan takzir ke atas kesalahan yang pasti akan terus wujud seperti zina, rogol, rompak, curi, bunuh dan lain-lain walaupun nasihat dan peringatan telah diberi di sana sini. Tatkala itu, kuasa dan hukuman undang-undang adalah kaedahnya.
KEBEBASAN BERSUARA & PENDAPAT
Perbincangan hak kebebasan bersuara atau freedom of expression menurut Islam adalah amat panjang dan telah banyak buku dan artikel ilmiah yang ditulis dalam topik itu.
Apa yang ingin saya jelaskan, adalah amat tidak benar lagi bohong jika dikatakan ada sebuah ideoleogi yang membenarkan kebebasan bersuara tanpa had dan batasan.
Semua kebebasan ada batasannya, hatta dalam sebuah negara yang dikatakan bebas berlandaskan undang-undang demokrasi seperti Amerika pun mempunyai batasan kebebasan suaranya. Demikian di Britain dan lain-lain negara Eropah, walaupun mereka sering digelar negara yang paling bebas untuk bersuara, namun batasan tetap wujud. Bukan di Eropah sahaja malah di seluruh dunia dengan apa jua ideologi seperti Komunis, Sosialis, Free Thinker dan lainnya. Mereka tetap mempunyai undang-undang yang menghadkan sesebuah kebebasan suara.
Maka itulah juga kebebasan bersuara di dalam Islam. Islam menghadkan kebebasan bersuara dalam banyak hal, secara ringkasnya tiada kebebasan dalam hal berikut :-
· Mencela Allah swt dan tuhan-tuhan ciptaan manusia. Kerana mencela tuhan-tuhan hatta ciptaan manusia membuka mudarat besar untuk pergaduhan maut selain membuka ruang celaan balas terhadap Allah swt. Larangan ini disebutkan dengan jelas oleh Allah di dalam surah al-An'Am : 108. Ertinya :
"Dan janganlah kamu memaki sembahan-sembahan yang mereka sembah selain Allah, karena mereka nanti akan memaki Allah dengan melampaui batas tanpa pengetahuan"
· Mencela rasul dan lain-lain Nabi, sama ada dalam bentuk tulisan, lukisan dan percakapan.
· Menulis dan bercakap sesuatu yang menyelewengkan erti dan tafsiran sebenar ayat Al-Quran dan al-Hadis sama ada secara jahil atau sengaja. Ini yang banyak di dakwa dilakukan oleh kumpulan SIS dan juga pencipta filem pendek Fitna atau juga Prof. Ahmad Amin di Mesir, Astora Jabat dan ramai lagi. Rujuk di sini untuk sedikit tambahan nama-nama yang terlibat . Kerana itu Nabi s.a.w memberi amaran bagi sesiapa yang ingin berkata :-
ان العبد ليتكلم بالكلمة ما يتبين فيها يزلّ بها إلى النار أبعد مما بين المشرق والمغرب
Ertinya : " Sesungguhnya seorang hamba yang bercakap sesuatu kalimah atau ayat tanpa mengetahui implikasi dan hukum percakapannya, maka kalimah itu boleh mencampakkannya di dalam Neraka sejauh antara timur dan barat" ( Riwayat Al-Bukhari dengan Fathul Bari, Bab Hifdz Lisan, 11/376 , no 6477)
Imam Ibn Hajar Al-Asqolani menegaskan bahawa erti hadith ini adalah seorang yang bercakap tanpa jelas maksud ayatnya sehingga menjadikan ia boleh membawa maksud yang pelbagai sehingga sebahagiannya boleh mencarikkan sesuatu hukum.[2] Kita sudah melihat tadi bagaimana penyelewengan tafsiran hukuman zakat sahaja boleh menyebabkan puak arab diperangi oleh Khalifah Abu Bakar r.a.
· Menulis sesuatu berkaitan Islam tanpa didasari sumber yang sohih dan benar, sehingga mencalar ajaran Islam dan Nabi. Sebagaimana yang dilakukan oleh Farish A Noor ketika berkenaan menulis berkenaan isteri Nabi, tulisan yang menghina Nabi akibat kejahilannya dengan sumber sirah yang sohih.
· Menuduh zina atau liwat orang lain tanpa saksi yang mencukupi.
· Sewenangnya mengumpat dan mencaci orang lain. Nabi berkata :
سباب المسلم فسوق وقتاله كفر
Ertinya : Mencerca dan mencela seorang muslim adalah fasiq, dan membunuhnya boleh jatuh kafir (Riwayat Al-Bukhari dan Muslim)
Dan banyak lagi yang tidak bebas jika ingin saya senaraikan semuanya. Sama ada dari sudut Islam atau juga undang-undang kenegaraan. Hasil dari itu, untuk mana-mana pihak menghentam cadangan pengharaman hanya berbekalkan hujjah kebebasan bersuara. Itu bukanlah hujjah yang bijak dan ia tertolak. Kalau benar, kumpulan itu menyeleweng tafsiran al-Quran dan Hadis serta hukum, amat wajarlah untuk disekat kebebasan buat mereka, akibat salahguna yang memudaratkan Islam.
KESIMPULAN
Jelas bahawa pihak berwajib mestilah mengambil langkah matang dan lembut dengan membuka ruang diskusi dan debat ilmiah yang tidak emosi sebelum terus kepada sebarang tindakan lebih aggresif kepada mana-mana kumpulan dan individu.
Amat dukacita jika tindakan pengharaman dilakukan SEBELUM LANGKAH PERTAMA DAN KEDUA dilaksanakan, sedangkan ditutup ruang perbincangan dan penjelasan. Maka oleh itu, dalam kes Sisters In Islam, secara peribadi saya lebih cenderung untuk dilakukan proses bincang dan bahas secara ilmiah, ia adalah pendekatan yang terlebih utama. Jika gagal barulah diteruskan dengan langkah-langkah yang lain, khususnya pengharaman dan tindakan.
Secara tidak langsung ia akan memberi ruang kepada para ilmuan Islam di Malaysia untuk kembali mengasah ilmu mereka yang kebanyakkannya sudah tumpul dek kerana asyik menutup pintu perbincangan dengan pihak yang berbeza dengan mereka.Sedangkan, pintu ilmu terbuka luas di era tanpa sempadan ini.
Saya pernah melihat vcd pertemuan beberapa wakil ulama PAS dengan pihak Sisters In Islam, menerang dan berbahas isu hudud dan sepertinya sekitar awal tahun 2003 atau 2004 yang lalu( Tidak dapat diingat dengan pasti). Apa yang saya benar-benar ingat, ketika itu saya berada di Jordan dan setelah mengikuti vcd itu, saya berasa amat kecewa dengan prestasi amat lemah wakil PAS dalam memberikan hujjah nas dan logik kepada wakil SIS sehingga ada wakil SIS yang keluar dari dewan dek kerana bosannya dengan hujjah lembik wakil PAS.
Amat malang, diskusi itu tidak menambah kefahaman SIS berkenaan hudud dan wanita, malah mungkin menambah keyakinan mereka yang salah. Saya pasti PAS masih mempunyai ramai lagi tokoh yang mampu lagi berilmu, justeru buatlah pemilihan dengan tepat dari senarai panjang ulama muda dan dewasa anda jika ingin dilakukan lagi perbahasan dengan pihak SIS, mereka sentiasa mendapat input dari pelbagai pihak bijak pandai dari luar negara, khususnya pemikir liberal dan orientalis.
Bersedialah dengan lebih lagi, kita inginkan mereka yang lebih cekap dan bijak untuk memberikan penerangan dan penjelasan secara nas dan logik yang jelas lagi memuaskan hati. Kerana pengharaman dan kutukan tanpa menyedarkan mereka tidak akan berjaya menutup kemudaratan dari terus berlaku.
Secara peribadi, saya juga bersetuju kiranya tidak diharamkan sekalipun pertubuhan itu, disebabakan menyedari ada usaha baik yang dilaksanakannya khususnya untuk para wanita dari sudut undang-undang keluarga. Adalah amat elok untuk ditanggalkan nama ‘Islam' dari pertubuhan tersebut. Biarlah ia menjadi sebuah pertubuhan wanita semata-mata. Bagi pertubuhan yang ingin mengguna nama Islam di dalam Negara, letakkan syarat seperti nama Bank ‘Islam' yang mana tidak dibenarkan mana-mana institusi kewangan untuk menamakan diri mereka dengan ‘Islam' atau menawarkan produk Islam kecuali telah menepati syarat yang telah ditetapkan oleh Jabatan Perbankan Islam dan Takaful, Bank Negara Malaysia seperti memiliki penasihat Shariah dan lain-lain syarat.
Sekian
Zaharuddin Abd Rahman
23 Jumada Akhir 1430
17 Jun 2009
[1] Tafsir Ibn Kathir, 4/207, cet Dar at-Toyyibah, 2002
[2] Fath Al-Bari, 11/376
Add this page to your favorite Social Bookmarking websites