Taat Ibu Bapa, Pondok & Universiti
Soalan
Saya ingin bertanya kemusykilan kepada ustaz. Saya adalah seorang pelajar tingkatan 6. Saya berhasrat untuk pergi belajar di sebuah institusi pengajian pondok bagi mendalami ilmu agama apabila tamat tingkatan enam nanti. hasrat ini telah disampaikan kepada kedua ibu, tetapi mereka telah membantah. Mereka mahu saya melanjutkan pelajaran di universiti dan menjadi guru kerana keinginan tersebut telah gagal disempurnakan oleh abang dan kakak saya. Saya pernah menyuarakan masalah ini kepada guru di institusi pondok itu. Kata guru itu saya boleh pergi (belajar di pondok) tapi mesti menjaga hati kedua ibu bapa.
Selepas saya menyuarakan hasrat itu, mereka selalu menyindir dengan menggunakan perumpamaan seperti 'jangan jadi kacang lupakan kulit' dan sebagainya.
Persoalan yang ingin saya tanya, adakah saya boleh pergi ke institusi itu tanpa persetujuan (keredaan) kedua ibu bapa saya (iaitu secara senyap-senyap) dan bagaimanakah cara terbaik untuk saya tangani masalah ini?
Daripada: Yang mahukan keredaan Tuhannya.
Jawapan Ust Zaharuddin:
Anda mestilah mentaati kehendak ibu bapa anda yang juga baik itu. Maka sekiranya anda ke pondok tanpa izin mereka, anda telah menyakiti hati mereka dan ia meggolongkan anda dalam kumpulan anak derhaka, justeru semua ilmu yang bakal anda pelajari di pondok tersebut, tiadalah punyai sebarang berkat lagi.
Berbuat ihsan kepada kedua ibu bapa itu merupakan tuntutan fardhu ‘ain maka perbuatan mengabaikan tuntutan itu pula termasuk di antara dosa besar. Terdapat beberapa jumlah dalil syara‘ yang menegaskan mengenainya dengan jelas dan nyata. Di antaranya sebagaimana yang diriwayatkan oleh Abdullah bin ‘Amr, beliau berkata yang maksudnya:
"Seorang berbangsa Arab datang kepada Nabi Shallallahu 'alaihi wasallam lalu berkata: "Wahai Rasulullah apakah dia dosa besar?" Nabi Shallallahu 'alaihi wasallam menjawab: "Mensyirikkan Allah." Dia (orang Arab itu) berkata lagi: "Kemudian apa?", Baginda Shallallahu 'alaihi wasallam menjawab: "Kemudian menderhaka kedua ibu bapa ..." (Hadits riwayat Al-Bukhari)
Di dalam riwayat yang lain lagi dinyatakan bahawa orang yang derhaka kepada kedua ibu bapanya tidak akan mendapat perlindungan pada hari kiamat. Rasulullah Shallallahu 'alaihi wasallam bersabda yang maksudnya :
"Tiga golongan yang tidak dipandang oleh Allah ‘Azza wa Jalla pada hari kiamat: orang yang derhaka kepada kedua ibu bapanya, perempuan yang menyerupai seperti lelaki dan orang yang dayus..." (Hadits riwayat An-Nasa'ie, Al-Bazzar, al-Hakim ; Sohih menurut Albani, rujuk Ghayatul Maram , no 278, hlm 137 )
Sebagai anak, kita hanya dibenarkan untuk melanggar arahan ibu bapa jika ianya berkaitan urusan maksiat, dosa dan syirik. Ia berdasarkan firman Allah :-
''Dan jika keduanya memaksamu untuk mempersekutukan dengan Aku sesuatu yang tidak pengetahuanmu tentang itu, maka janganlah kamu mengikuti keduanya, dan pergaulilah kedua-duanya di dunia dengan baik, dan ikutilah jalan orang yang kembali kepadaKu, kemudian hanya kepadaKulah kembalimu, maka Ku berikan kepadamu apa yang telah kamu kerjakan'' (Luqman :15 )
Tetapi dalam hal hasrat ibu bapa yang inginkan anda ke universiti, ia jelas sebuah hasrat yang baik dan tidak harus di langgari samada secara terang atau sembunyi.
Jika anda berpendapat bahawa anda ingin ilmu agama kerana pengajian terbaik hanya terdapat di pondok, jawapan saya, adalah perolehan ilmu tertakluk kepada usaha dan diri anda sendiri. Tempat belajar hanyalah hal sampingan. Saya bertemu ramai rakan-rakan yang belajar di Mesir, Syria dan Jordan, tetapi mereka masih amat lemah dalam ilmu Shariah dan Usuluddin yang mereka pelajari dahulu, malah ilmu Bahasa Arab merea juga amat mendukacitakan. Ramai pula yang lepasan dalam Negara malahan sekolah menengah pun lebih mahir dari mereka. Tidaklah semua begitu, tetapi ini menunjukkan ilmu boleh di perolehi di mana-mana asalkan anda berusaha mencarinya dengan tekun. Tanpa mengira tempat anda belajar sama ada universiti, pondok, dalam Negara atau luar Negara. Jangan menyangka pengajian di universiti tiada pembelajaran kulit ke kulit sebagaimana yang selalu di warwarkan. Ia bergantung kepada anda.
Nasihat saya, wajib taati kehendak ibu bapa dan tidak dibenarkan menderahakai mereka dengan ‘menyeledup' mengaji di pondok. Nasihat guru pondok anda " boleh pergi ke pondok dengan syarat mesti menjaga hati ibu bapa anda" , maka dalam hal ini guru tersebut menyuruh anda agar meyakinkan ibu bapa dan mendapat keredhaan mereka berdua. Tetapi apabila anda gagal mendapat keredhaan (ini di buktikan melalui sindiran mereka), maka hukumnya adalah anda tidak boleh ke pondok.
Sekian
Ust Zaharuddin
Add this page to your favorite Social Bookmarking websites