Senarai Lengkap Artikel Bahasa Articles Naik Harga, Apa Diperlukan?
  • PDF
(0 votes, average 0 out of 5)

 

 

Naik Harga, Apa Diperlukan?

 Oleh

Dr. Zaharuddin Abd Rahman

www.zaharuddin.net

naik_harga

Dalam dua tiga bulan ini, rakyat Malaysia menghadapi pelbagai pengumuman kenaikan, harga minyak, gula, tol, bas sekolah, air batu dan tentunya pelbagai barangan lain yang turut naik disebbakan kesan berangkai kenaikan beberapa item utama tersebut.

 

Dalam menerima berita ini, bagi yang banyak merasa terkesan, kita boleh menerimanya dengan dua cara.

 1. Secara negatif dan kecewa serta bantah

Ini respon biasa bagi kebanyakan individu, ia juga fitrah manusia yang merasa sukar, kecewa, bimbang, risau dan takut dengan risiko baru bagi mereka. Justeru, tidak perlu untuk kita terus menganggap mereka yang ‘melenting’ sambil sebagai tidak bersyukur, tidak bijak atau apa jua konotasi negatif. Ini kerana kesusahan itu sememangnya dirasai dan kekecewaan itu adalah respon spontan.

Sebenarnya apa yang membuatkan rakyat tidak berpuas hati adalah disebabkan ada sesetengah pegawai-pegawai kerajaan boros dengan menggunakan duit yang dipungut (melalui cukai dan hasil mahsul Negara milik awam) daripada rakyat itu sendiri. Laporan Ketua Audit Negara membuktikan ketirisan dan pemborosan itu berlaku. Akhirnya mereka yang kecewa ini anggap rakyat akhirnya yang menanggung beban. Itulah yang menyebabkan mereka sukar menerima dengan positif.

Dalam sistem demokrasi di Malaysia, jika sekumpulan rakyat menganggap kenaikan ini salah, mereka bebas mengutarakan bantahan melalui saluran yang sebaiknya. Adukan kepada wakil rakyat YB masing-masing, NGO-NGO yang boleh diharap, media massa seperti, di ruangan komen akhbar, rangkaian sosial pemimpin dan sendiri dan sebagainya bagi menyatakan bantahan secara bernas bukan secara terlalu emosi dan mencaci maki.

Kita sebagai individu atau rakyat memang berharap pihak pemimpin menunjuk contoh terlebih dahulu, ini penting bagi menunjukkan mereka memahami keluhan rakyat. Seeloknya mereka memberi contoh dengan perbuatan,  seperti memotong elaun, gaji mereka atau apa sahaja yang menunjukkan kesungguhan mereka dalam merasai kesusahan rakyat, mereka perlu lakukannya. Sebelas langkah awal penjimatan kerajaan yang diumumkan Perdana Menteri adalah salah satu jalan baik, namun perlu dibuktikan dengan lebih giat lagi disebabkan tekanan yang jatuh kepda rakyat adalah sangat berat sekarang. Jika mereka melakukannya perkara sedemikian, rakyat akan lebih positif dan mudah terima kesukaran yang dihadapi.

 

2. Secara positif dan bersedia dengan pelbagai perubahan.

Dalam pada masa rakyat membantah dan mengharapkan pihak berwajib mendengar rintihan, kita tidak boleh elak kecuali perlu juga bersedia untuk berhadapan dengan situasi baru ini sama ada dengan mengubah gaya hidup dan mengurus perbelanjaan dengan lebih berhemah. Kehidupan mesti diteruskan. Jangan terlampau negatif dalam mengenangkan kenaikan kos-kos ini sehingga menjatuhkan prestasi kerja dan kualiti diri pula.

Diri yang tertekan juga boleh membuatkan kualiti kesihatan dan kualiti bersama keluarga akan merosot. Akhirnya apa yang diharapkan terlepas dan apa yang sedang dalam kuasa dan keputusan kita pula bermasalah, sebab itu kita tidak boleh terlampau fikir negatif kerana ia akan membuatkan diri kita sedih dan buntu.

Justeru, apa-apa yang dalam kekuasaan kita untuk mengubahnya, kita perlu semak semula. Jangan hanya ditunggu faktor luaran berubah untuk membawa kebaikan kepada diri kita. Manakala apa-apa yang di luar kuasa kita untuk mengubahkan serta merta, kita sama-sama berusaha melalui saluran yang disebut sebelum ini.

APA YANG BOLEH DIUBAH?

Pada kebanyakan orang, mungkin banyak perkara boleh dilakukan untuk berjimat dan mengubah gaya hidup. Sebagai contoh :-

  1. Kos Hiburan : Perlu buang kos untuk elemen hiburan melalaikan dalam rumahtangga. Contohnya jika selama ini kita ada mengambil siaran televisyen berbayar, mungkin kita tidak perlu mengambilnya pada tahun ini jika mahu berjimat. Jika mahu ambil, kurangkan pakej yang diambil. Begitu juga dengan internet.  Tidak perlu dipasang di rumah. Buatlah setiap kerja yang memerlukan penggunaan internet di pejabat. Jika mempunyai telefon 3G, tidak perlulah menggunakan internet  jika tidak penting. Tidak perlu melayari facebook mahupun twitter.  Tidak perlulah chit-chat jika tidak penting.  Gunakan telefon untuk urusan penting sahaja.
  2. Kos Percutian : Pada musim cuti, kebiasaannya bagi yang telah berkeluarga mereka ingin bercuti bersama. Bercuti bersama keluarga ini mesti diteruskan namun kos boleh dikurangkan iaitu dengan bercuti di kawasan percutian percuma seperti kawasan air terjun, air panas dan sebagainya.
  3. Kos perhiasan kediaman : Maksud saya perhiasan rumah dan bahagiannya. Cukuplah dengan perabot yang sedia ada selagi ia masih boleh berfungsi. Menukar alatan rumah memerlukan kos yang tinggi, jika berhutang itu lebih berbahaya lagi. Demikian juga langsir, alas meja, pinggan mangkuk cantik dan sebagainya.
  4. Kos Makanan : Jika selama ini kita suka makan di luar, kurangkan amalan itu. Kembalikan dapur untuk berasap. Para isteri boleh mula memasak bekal untuk dibawa suami dan anak setiap pagi. Memang cara ini nampak remeh tetapi secara terkumpul ia boleh menjimatkan.
  5. Kos-kos Kecantikan :  Kos alatan kecantikan perlu dikurangkan, segala jenis bedak, krim, vitamin C dan pelbagai kosmetik perlu dikurangkan. Kita perlu tukar cara hidup. Penjimatan yang kecil jangan sesekali dirasakan tiada erti. Ia besar ertinya.

 

Mungkin cara-cara ini memang tidak menyeronokkan untuk diterima. Tetapi cara ini boleh mengelakkan diri daripada berhutang. Terjebak dalam hutang tanpa kemampuan membayarnya adalah pintu kepada ribuan masalah baru kepada diri. Kenaikan kos memang mudah mendorong kita berhutang justeru minimakan keperluan berhutang.

Jangan sesekali kita berhutang dan meminjam wang daripada ‘ah long’ untuk membayar hutang yang sedia ada. Meminjam dengan ‘ah long’ bakal memudaratkan diri kita dan ahli keluarga sendiri.

BAGAIMANA BISNES SAMPINGAN?

Berkaitan dengan keperluan sama ada perlu melakukan bisnes sambilan dan sebagainya bagi mencari wang lebih. Bagi saya, bisnes memerlukan kemahiran berbeza. Agak sukar untuk mengatakan boleh berjaya atau tidak. Bisnes tidak mudah.

Ada orang pandai bisnes. Ada juga yang tidak langsung tahu untuk buat bisnes. Jika mahu berniaga, keputusan itu baik. Jika tidak pandai berniaga, tetapi mahu juga mencuba dalam perniagaan yang kurang risiko dengan modal jangan lebih dari RM 1000, mereka boleh berniaga di hadapan rumah ataupun di pasar pagi, malam atau tani. Contohnya mereka boleh menjual air minuman kerana bisnes ini dikenalpasti rendah risiko dan kurang risikonya.

Dalam keghairahan mencari bisnes, WAJIB dijauhi bisnes yang haram seperti FOREX trading, skim pyramid, skim cepat kaya, pelaburan riba. Mengambil rasuah, pecah amanah wang syarikat dan kerajaan, menipu. Nabi meningatkan dalam hadis yang sohih:-

 

فاتقوا الله وأجملوا في الطلب ولا يحملنكم استبطاء الرزق على أن تطلبوه بمعصية الله فإن ما عند الله لا ينال إلا بطاعته

Ertinya : Takutlah kamu kepada Allah  dan perindahkan pencarian rezekimu (cara halal). Jangan disebabkan kelewatan kamu mendapat rezeki sehingga kamu mencarinya dengan melakukan maksiat kepada Allah sesungguhnya ia (rezeki) itu di sisi Allah, dan tidak kamu akan dapatinya (rezeki berkat) kecuali melalui ketaatan kepadanya. (Riwayat An-Nasaie; hadis sohih)

 

Selain itu, jika diri ada kemahiran tertentu, boleh juga gunakan kemahiran itu untuk mencari wang. Sebagai contoh, jika pandai menjahit atau memasak, gunakannya untuk menambah pendapatan sampingan. Pokoknya saya mencadangkan agar diusahakan ilmu kemahiran yang baru hatta terpaksa melaburkan sedikit wang bagi mendapatkan skill ilmu baru ini. Jangan biarkan diri berada di takuk lama.

Segala kenaikan ini memang menyukar ramai khususnya golongan berpendapatan sederhana dan rendah. Cuma, sama-sama keadaan sukar kita usaha jadikannya sebagai batu loncatan memperbaiki diri, itu lebih baik dari sekadar merungut dan memikirkan penderitaan yang ditanggung. Jadikan ia peluang untuk menjana pendapatan baru. Kita perlu keluar daripada zon selesa dan biasa. Mana tahu daripada apa yang kita buat secara sambilan ini kita dapat menjumpai bakat baru yang terpendam sebelum, juga tiba-tiba mampu melonjatkan kita ke tahap sangat baik.

 

BEBERAPA TIPS RINGKAS

 

Berikut beberapa tip positif yang boleh diguna pakai dalam menghadapi keadaan ekonomi dan harga barang yang semakin meningkat ini.

1. Mantap aqidah : Perlu diyakini setiap rezeki yang kita terima itu datangnya dari Allah. Jangan lupa berdoa dan terus berusaha untuk mendapatkannya. Banyakkan taubat dan istighfar kerana ia kunci rezeki sebagaimana disebutkan oleh Allah.

Nabi menegaskan:-

أن الأمـة لـو اجـتمـعـت عـلى أن يـنـفـعـوك بشيء لم يـنـفـعـوك إلا بشيء قـد كـتـبـه الله لك، وإن اجتمعـوا عـلى أن يـضـروك بشيء لـم يـضـروك إلا بشيء قـد كـتـبـه الله عـلـيـك

Ertinya : seluruh umat jikalau mereka berpadu untuk member manfaat kepadamu, tidak akan mendapatimu kecuali apa yang telah ditaqdirkan oleh Allah untukmu, dan sekiranya mereka berpadu untuk memudaratkanmu, tiada keburukan menganiamu kecuali apa yang telah ditaqdirkan ke atasmu. ( Riwayat At-Tirmidzi, Hadis Hasan Sohih)

 

Demikianlah, pentingnya menyedari dan menginsafi bahawa pendapatan dan rezeki kita TIDAK AKAN LARI dan TIDAK AKAN BOLEH DIRAMPAS oleh orang lain. Juga amat penting sentiasa menyakini kekuasan Allah dalam seluruh pendapatan dan rezeki. Jangan sesekali, terpesong aqidah kerana ujian dunia dan manusia.

2.  Perhalusi kekuatan dan kelemahan diri : Kita perlu membuat penilaian terhadap kekuatan dan kelemahan. Nilaikan yang mana boleh membawa keuntungan dan menambah kewangan. Jika perlu, usahakan bertemu dan mendapat pandangan mereka yang berjaya. Kenal diri amat penting bagi merangka perancangan ke hadapan.

 3.  Yakin diri tetapi jangan terlampau yakin: Dapatkan keyakinan dari perbincangan dan pembacaan.

4.  Usahakan kerjasama dengan keluarga dan sahabat : Jika seorang diri mungkin lebih mudah kita ditipu atau tersalah jalan. Justeru, membentuk rakan kongsi dari kalangan mereka yang dipercayai adalah satu kaedah baik mengurangkan risiko.

5.    Berfikir di luar kotak : Kita perlu ada sikap kekreatifan untuk buat satu kelainan daripada biasa.

 6.  Mesti berubah : Kita mesti ada perubahan gaya hidup. Dari malas kepada rajin, dari boros kepada berjimat, dari tidur subuh kepada bangun awal merangka perancangan hari.

7.    Berfikir besar : Minda kita perlu ‘thinking big’ atau berfikir besar. Jangan berputus asa  kerana ia akan membuatkan hormon kita menurun juga. Tetapi jangan pula terlalu bercita-cita tinggi kerana jika tidak berjaya kita akan kecewa. Setiap yang dibuat perlu berpada-pada.

 

Dr. Zaharuddin Abd Rahman

19 Feb 2014

www.zaharuddin.net



Add this page to your favorite Social Bookmarking websites

Add comment


Security code
Refresh

Pengumuman

Wang, Anda dan Islam
Panduan Perbankan Islam

Untukmu Wanita

 
Untukmu Umat
Formula Solat Sempurna
Murabahah
 A Comprehensive Prayer FormulaContracts and The Products of Islamic Banking
Akidah dan IbadatRiba
cover_maqasid_arab 
Money, You and Islam
 cover_bicaralah_new ledakan_FB 
indahnya_hidup_politikcover_jangan_berhenti_berlari


 

Ruangan Iklan




RSS Feed

Pengisian Terkini Pengisian Terkini

Statistik

Site Meter

Pelawat

Now online:
  • 18 guests

Komen Terbaru

You are here: Senarai Lengkap Artikel Bahasa Articles Naik Harga, Apa Diperlukan?