Senarai Lengkap Artikel Bahasa Articles Cukai, GST, Amanah & Hukum Islam
  • PDF
(10 votes, average 4.90 out of 5)

 

Cukai, GST, Amanah & Hukum Islam 

Oleh

Dr Zaharuddin Abd Rahman

gst

Sewaktu saya menulis artikel ini, GST telah pun diluluskan oleh kerajaan dan parlimen Malaysia dengan undi majoriti ahli dewan rakyat. Namun apa pula sebenarnya pandangan ahli fiqh dan ulama berkenaannya?. Banyak perbincangan timbul berkenaan cukai lantaran pengumuman kerajaan untuk memperkenalkan Goods and Service Tax (GST) bermula April 2015 nanti. Tidak kurang juga yang mengulas berkaitan hukum GST terbabit, ada yang mendakwanya haram secara mutlaq (total), ada juga yang menganggapnya haram kerana sebab-sebab lain dan sebagainya. Ada pula yang menyebutnya sebagai harus lagi halal. Menteri Agama pula menyatakan tiada keperluan untuk membincangkan hukum GST di peringkat Majlis Fatwa.

HUKUM KERAJAAN MENGENAKAN CUKAI

Penulisan ringkas ini akan berkongsi persoalan cukai menurut ahli fiqh Islam berdasarkan ijtihad masing-masing. Secara umumnya, para ulama fiqh terbahagi kepada tiga kumpulan dalam menentukan hukum kerajaan mengenakan cukai. Ia seperti berikut:-

 1. Haramnya cukai secara mutlaq.

Mereka berhujjah berdasarkan dalil :

 

a.    Firman Allah swt dalam surah Al-Baqarah ayat 188 yang mengharamkan memakan harta sesama manusia secara bathil.

Justeru, pungutan cukai dianggap tergolong dalam pendapatan yang bathil kerana tanpa rela dan keperluan mendesak.

    

b.    Sabdaan Nabi sallaallahu ‘alaihi wasallam yang menyebut

أَلَا لا تَظْلِموا, أَلَا لا يَحِلُّ مالُ امرِىءٍ إلا بِطِيبِ نفسٍ منه

Ertinya : Janganlah kami menzalimi dan tiada halal harta seseorang muslim yang (diambil) tanpa disertai rela dan izin dari pemiliknya. ( Riwayat Ahmad : hadis sohih)

Justeru, mengambil cukai dari rakyat sedang rakyat tidak rela disebabkan pendapatan kerajaan yang mewah adalah tiada halal.

 

c.    Sabda Nabi sallaallahu ‘alaihi wasallam

فوالذي نفسي بيدِه ! لقد تابت توبةً ، لو تابها صاحبُ مُكْسٍ لغُفِرَ لهُ

Ertinya : Telah datang kepada Nabi seorang wanita yang berzina yang ingin dilaksanakan hukuman had ke atasnya tetapi baginda menjawab, “Demi jiwaku pada tangan Allah, seseungguhnya wanita itu telah bertaubat yang sekiranya seorang pemungut cukai bertaubat juga akan diampunkan baginya. ( Riwayat Muslim : Sohih)

Justeru, pemungut cukai adalah haram kerana itu baginda Nabi menyebut ‘bertaubat’ menunjukkan ianya berdosa.

 

d.    Nabi bersabda :

إنَّ صاحبَ المَكْسِ في النارِ

Ertinya :Sesungguhnya penguasa yang mengenakan ‘Maks’ (sebahagian menterjemahkannya sebagai cukai) adalah di dalam neraka. ( Riwayat Ahmad : Sohih menurut Al-Suyuti)

 

2.   Harus secara sementara waktu ke atas si kaya pada kadar tertentu di musim wujudnya keperluan.

a.   Dalil mereka : Sabda Nabi ;

إنَّ في المالِ لَحَقًّا سِوَى الزكاةِ

Ertinya : sesungguhnya pada harta itu ada kewajiban lain selain zakat (Riwayat At-Tirmidzi : Dhoif menurut Al-Suyuti, Albani, )


 b.   Berlandaskan Siyasah Syari’iyyah yang digubal berdasarkan keperluan semasa. Sebagaimana fatwa Imam Malik yang berkata :

Ertinya: Wajib ke atas orang ramai menebus tawanan perang mereka walaupun mereka terpaksa menggunakan harta mereka sendiri (Ahkam al-Quran, Ibn Arabi, 60/1). Imam Al-Qurtubi juga menguatkan hal ini dengan katanya “Sepakat ulama apabila wujudnya keperluan untuk kaum muslimin dalam sesebuah Negara iaitu selepas digunakan wang zakat dari baitul mal maka wajib pula dibantu dengan menyalurkan wang (dari cukai rakyat). ( Tafsir Al-Qurtubi, 2/223). Hal ini juga ditegaskan oleh Imam Al-Syatibi dalam kitabnya al-I’tisom. Imam Al-Ghazzali juga menyatakan yang sam apabila dia menyebut:-

Ertinya “Apabila sudah kosong milikan Negara dari harta, dan tiada lagi harta awam yang boleh memenuhi keperluan tentera, sehingga jika tentera terpaksa bekerja lain bagi mendapatkan pendapatan dan meninggalkan tugasan tentera, maka dibimbangi masuknya musuh ke neraka umat Islam atau pemberontakan fitnah, maka haruslah bagi pemerintah mengenakan kepada si kaya kadar (cukai) bagi memenuhi keperluan tentera. ( Al-Mustasfa, 1/426)

Namun, konteks fatwa ini kelihatan tidak begitu menepati situasi Malaysia kerana negara kita masih tidak sampai ke tahap tersebut.

 

3. Harus mengenakan cukai pada sekadar memenuhi maslahat umum pentadbiran Negara.

Pendapat ini dipegang oleh Sheikh Mahmud Syaltut, (Al-Fatawa al-Kubra, hlm 116), begitu juga Sheikh Abu a’la al-Mawdudi yang menyatakan, harus dikenakan cukai jika wang bayaran cukai itu adalah bagi kemaslahatan awam. (Nazariyat al-Islam, hlm 313). Sheikh Dr. Yusuf Al-Qaradawi juga berijtihad harus dikenakan cukai bagi kemaslahatan awam sambil mengatakan perkataan ‘Maks’ di dalam hadis ancaman neraka itu oleh Nabi s.a.w itu membawa maksud khusus iaitu

التي يفرضها بعض الحكام توسعة على أنفسهم وأتباعهم وتضييقا على شعوبهم

Ertinya : iaitu jenis cukai yang difardhukan oleh sebahagian pemerintah untuk bersenang-senang mereka dengannya dan penyokong mereka walaupun menyempitkan rakyat mereka. ( Fiqh al-Zakat, Qaradawi, 2/987)

Prof. Dr Ali Muhydin Al-Qurrah Daghi menyatakan Ini juga merujuk kepada sebahagian cukai yang dikenakan di zaman pemerintahan awal Islam seperti AL-KHARRAJ (cukai tanah), AL-'USHUR ( cukai perniagaan 10 % ke atas perniagaan non muslim) dan AL-JIZYAH (cukai individu) . Kesemua cukai ini digunakan sebaikanya untuk kepentingan dan kebaikan rakyat. 


TARJIH PANDANGAN

Penulisan ringkas ini tidak mampu untuk membuat tarjihan pendapat yang terkuat secara komprehensif, namun secara umumnya perbincangan hukum cukai dalam Islam tidak dapat lari dari menimbang di antara maslahat kebaikan dan kemudaratan darinya. Walaupun sewaktu wujudnya dalil-dalil berkaitan cukai, namun menurut majoriti ulama’, nas yang berkait dengan urusan siyasah dan pentadbiran mesti dilihat kepada ‘illah atau sebab utamanya ianya disebutkan oleh Nabi s.a.w. Melhat kepada objektifnya iaitu membawa lebih kebaikan berbanding kemudaratan. Beberapa jenis hukum dalam urusan muamalat boleh berubah dengan berubahnya masa dan zaman serta keperluan.

Namun apapun, kaedah fiqh ada menyatakan “Menolak Keburukan didahulukan dari Membawa Kebaikan (tambahan)”. Justeru, jika benar tanpa GST atau cukai jualan dan servis, maka ini ekonomi negara bakal terancam, kelangsungan Negara menjadi longgar, tatkala itu cukai boleh berubah menjadi harus dan hal ini boleh dinilai dari masa ke semasa.

Sebahagian ahli ekonomi menyimpulkan cukai GST mampu membawa kestabilan fiskal dalam kewangan negara dan keutuhan pendapatan kerajaan selain dapat memperbaiki kutipan hasil cukai dari sebahagian besar golongan yang terlepas atau sengaja melepaskan diri dari membayar cukai.

Manakala sebahagian yang lain menyatakan cukai hanya menyebabkan inflasi semakin sukar dikawal, kenaikan harga dalam majoriti barangan yang akhirnya membawa kesan buruk kepada hampir semua kelas pendapatan rakyat khususnya yang berpendapatan sederhana dan rendah. Disebabkan harga barang menjadi menaik, kuasa beli dan nilai matawang menjadi turun.

Cukai seperti ini mungkin sangat releven bagi sesebuah negara yang belum memperkenalkannya khususnya seperti cukai pendapatan, korporat dan sebagainya. Namun, memperkenalkan cukai baru sedangkan kantung kewangan negara masih utuh dan perbelanjaan awam masih boleh dikawal dan diperbetulkan, sudah tentu lebih cenderung hukumnya kepada HARAM, kecuali jika ia bersifat sementara sebagaimana fatwa kumpulan kedua ulama.

Negara Malaysia yang telah sedia ada cukai jualan dan servis sejak beberapa puluh tahun lepas, namun untuk meniadakannya secara drastik bakal menyaksikan kekalutan pengurusan kewangan, pentadbir awam dan negara berada dalam kesukaran yang dibimbangi membawa lebih mudarat berbanding manfaat. Jika hukum haram yang ingin dipegang sebagai terkuat, maka sejak berpuluh tahun sebelum ini cukai ini sudah haram dan patut ditegaskan agar tidak perlu dibayar serta jangan dibayar. Bukanlah sekarang masanya untuk terus menolak cukai secara sepenuhnya.

Berkenaan GST pula, jika mampu dibuktikan sebagai penyusunan semula metode cukai dan seterusnya mampu diurus dengan lebih baik, telus dan lebih kurang menekan berbanding sistem percukaian cukai jualan dan khidmat sebelum ini, maka saya rasakan GST boleh disokong pelaksanaannya atas dasar, mengambil kaedah Fiqh iaitu mengambil yang kurang mudarat di antara dua kemudaratan.

Secara teorinya, namun bergantung kepada pengawasan terhadap para peniaga, GST boleh sama ada menaikkan harga, menurunkan harga atau kekal pada harga biasa. Illustrasi dari pihak savemoney ini mungkin boleh memudahkan gambarannya.

1.  GST Tidak Memberi Kesan Kepada Harga

GST_SAMA_HARGA

2. GST Boleh Menyebabkan Turun Harga ( Jika peniaga bersifat jujur)

GST_TURUN_HARGA

3. GST menyebabkan Naik Harga

GST_NAIK_HARGA

 


ANTARA SYARAT

Namun tentunya, keharusan berdasarkan pertimbangan kaedah “yang kurang mudarat dari dua mudarat” ini mestilah diikat dengan beberapa perkara antaranya seperti :-

  1. Kadar 6 % patut dimulakan dengan lebih rendah agar tidak berlaku sebarang perubahan drastik terhadap peniaga dan rakyat. Mungkin kadar 3 % lebih sesuai sebagai permulaan.
  2. Sebarang ketirisan dan kelemahan pengurusan hasil kewangan oleh kementerian yang dibuktikan oleh Jabatan Audit Negara mestilah dikenakan tindakan keras dan segera bagi memastikan setiap hasil cukai yang diterima tidak disalahgunakan oleh pentadbir awam dan ahli politik yang berkuasa. Kita tidak mahu laporan kelemahan dan salah urus tadbir kewangan yang didedahkan Jabatan Audit Negara pada setiap tahun menjadi hanya bebelan awam secara berkala tanpa sebarang tindakan jitu.
  3. Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia patut diberi kuasa dan kemampuan pendakwaan dengan lebih berkesan agar tiada peniaga yang mampu lari dari GST atau tiada pegawai awam boleh memanipulasi pelaksanaan GST untuk kepentingan mereka.
  4. Pihak KPDNKK mestilah mempunyai mekanisme terbaik dan jitu dengan jumlah pegawai yang mencukupi bagi menangani kenaikan harga yang disengajakan oleh peniaga sejurus GST dikuatkuasakan.
  5. Peruntukan bajet kepada semua kementerian yang BELUM digunakan sewajarnya dilaporkan semula dalam bajet tahun berikutnya. Jangan dipaksa sesebuah jabatan atau kementerian menghabiskan wang peruntukan sehingga sebahagian mereka ‘terpaksa’ menghabiskannya  kepada perkara yang sia-sia dan merugikan rakyat serta pecah amanah.

Pada waktu beberapa perkara utama ini gagal dipastikan dan jika kemudaratan pula bertambah ke atas peniaga dan rakyat, tatkala itu, pihak yang mengharuskan GST dikira telah membuat keputusan yang memudaratkan ahli negara dan rakyatnya, itu tidak lain membawa kepada dosa dan pengabaian amanah. Wallahu’alam.

 

Dr. Zaharuddin Abd Rahman

Presiden MURSHID

www.murshid.my 

www.zaharuddin.net

9 April 2014



Add this page to your favorite Social Bookmarking websites

Add comment


Security code
Refresh

Pengumuman

Wang, Anda dan Islam
Panduan Perbankan Islam

Untukmu Wanita

 
Untukmu Umat
Formula Solat Sempurna
Murabahah
 A Comprehensive Prayer FormulaContracts and The Products of Islamic Banking
Akidah dan IbadatRiba
cover_maqasid_arab 
Money, You and Islam
 cover_bicaralah_new ledakan_FB 
indahnya_hidup_politikcover_jangan_berhenti_berlari


 

Ruangan Iklan




RSS Feed

Pengisian Terkini Pengisian Terkini

Statistik

Site Meter

Pelawat

Now online:
  • 3 guests

Komen Terbaru

You are here: Senarai Lengkap Artikel Bahasa Articles Cukai, GST, Amanah & Hukum Islam