Senarai Lengkap Artikel Bahasa Articles Hudud di Malaysia : Perlembagaan, Inti, Nama & Kesediaan
  • PDF
(1 vote, average 5.00 out of 5)

 

HUDUD DI MALAYSIA : MASALAH

PINDAAN, KESERAGAMAN & KESEDIAAN

Oleh : Dr. Zaharuddin Abd Rahman

www.zaharuddin.net

law_hammer

Malaysia merupakan sebuah negara Persekutuan yang mempunyai pembahagian kuasa perundangan antara Persekutuan dan Negeri. Dalam pemerintahan Persekutuan, undang-undang tertinggi yang ditetapkan adalah Perlembagaan Persekutuan. Dalam rangka perundangan di Malaysia, sebarang undang-undang yang tidak seiring dengannya akan menjadi tidak sah, ataupun dipanggil ultra vires.

Berdasarkan Senarai I (Senarai Persekutuan), Jadual Kesembilan, Perlembagaan Persekutuan, undang-undang jenayah (“criminal law”) terletak di bawah bidang kuasa Persekutuan, dan diadjudikasi di Mahkamah Sivil. Sebaliknya, kesalahan-kesalahan terhadap suruhan agama Islam (“offences relating to precepts of Islam”) seperti yang diperuntukkan dalam Senarai II (Senarai Negeri), Jadual Kesembilan, Perlembagaan Persekutuan, ia terletak di bawah bidang kuasa Kerajaan Negeri dan diadjudikasi di Mahkamah Syariah.

Selepas Kerajaan Negara Brunei Darussalam yang diketuai oleh Sultan Hassanal Bolkiah mengumumkan pewartaan Perintah Kanun Hukuman Jenayah Syariah 2013 ("PKHJS 2013") pada 22/10/2013 bagi melaksanakan hukuman hudud dan qisas di negara itu, pihak pentadbiran Kerajaan Negeri Kelantan juga turut menyatakan keinginan kali kedua bagi memperkenalkan hukuman yang serupa berdasarkan Enakmen Jenayah Syariah II Kelantan ("Enakmen"), sebagaimana yang telah diluluskan oleh Dewan Undangan Negeri pada tahun 1993. Undang-undang itu masih belum dikuat kuasakan sehingga ke hari ini.

 

ANTARA 2/3 DAN MAJORITI MUDAH

Difahamkan, kerajaan Kelantan merancang untuk mengemukakan satu rang undang-undang persendirian ke Dewan Rakyat untuk kelulusan Ahli Dewan Rakyat. Jika ia dibawa ke Dewan Rakyat, ia memerlukan pindaan terhadap Perlembagaan Persekutuan. Pindaan itu perlu dibuat memandangkan Perkara 75 Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan bahawa perihal jenayah adalah tertakluk di bawah bidang kuasa pentadbiran Persekutuan, bukannya Negeri. Jika hal itu berlaku, kelulusan sebanyak 2/3 Ahli Dewan Rakyat diperlukan, selaras dengan Perkara 159 Perlembagaan Persekutuan.

Kerajaan Negeri Kelantan juga berhasrat untuk mengguna pakai peruntukan di bawah Perkara 76A(1) Perlembagaan Persekutuan bagi membolehkan pindaan dilakukan terhadap Akta Mahkamah Syariah 1965, bagi memberikan bidang kuasa yang lebih luas kepada Enakmen itu. Walau bagaimanapun, ia menemui jalan buntu.

Jika demikian halangannya, bagaimana jika pindaan dilakukan terhadap undang-undang jenayah biasa dan sedia ada sahaja seperti di bawah Kanun Keseksaan (Akta 574) hanya memerlukan kelulusan majoriti mudah.

 

BOLEH JUGA GUNAPAKAI KANUN KESEKSAAN SEDIA ADA

Perlu diketahui, kesalahan jenayah yang telahpun wujud dalam Kanun Keseksaan semenjak tahun 1936, dan berkuat kuasa sewaktu Perlembagaan Persekutuan digubal. Sebagai contoh, terdapat hukuman bagi kesalahan menyebabkan kematian terhadap orang lain, mencuri, merompak, merogol dan mendatangkan kecederaan.

Jika hukuman hudud dan qisas hendak dikenakan bagi kesalahan-kesalahan jenayah Persekutuan itu, ia boleh dilakukan sebagai undang-undang persekutuan, dan bukan sebagai “kesalahan-kesalahan terhadap suruhan agama Islam” (“offences relating to precepts of Islam”) seperti yang diperuntukkan dalam Senarai II (Senarai Negeri).

Perlembagaan Persekutuan tidak menghalang untuk ia dijalankan sedemikian. Parlimen boleh memilih hukuman terhadap apa-apa kesalahan jenayah, termasuk hukuman mengikut Syariah. Penguatkuasaan undang-undang jenayah itu boleh meliputi orang Islam dan bukan Islam, dan ia terletak di bawah bidang kuasa Mahkamah Sivil. Mahkamah Sivil mempunyai bidang kuasa terhadap orang Islam dan bukan Islam. Dengan itu, tiada lagi timbul kekeliruan dua hukuman berbeza bagi orang Islam dan bukan Islam.

Parlimen Malaysia boleh membuat undang-undang sebegitu, tanpa memerlukan pindaan terhadap Perlembagaan Persekutuan yang memerlukan majoriti 2/3 Ahli Dewan Rakyat. Ia hanya memerlukan kelulusan majoriti mudah.

Sebagai contoh, bagi kesalahan mencuri di bawah seksyen 379 Kanun Keseksaan, hukuman yang diperuntukkan bagi kesalahan itu jika tertuduh disabitkan dengan pertuduhan ialah penjara selama satu tahun hingga tujuh tahun, atau denda, atau kedua-duanya sekali. Hukuman itu belum mencapai tahap maksimum sebagaimana yang ditetapkan dalam Syariah, iaitu memotong tangan. Justeru, bagi kesalahan melibatkan hudud dan qisas, wajar untuk ditetapkan hukuman maksimum berlandaskan syarak, dan ia menjadi budi bicara hakim yang mendengar kes sama ada mahu memberikan hukuman maksimum berdasarkan bukti yang dikemukakan, ataupun memberikan apa-apa hukuman lain yang bersesuaian dengan kesalahan itu di bawah prinsip ta'azir, jika pembuktian melalui hudud tidak mencukupi.

Begitu juga dengan kesalahan lain, seperti zina. Di bawah Kanun Keseksaan (Akta 574), tiada apa-apa peruntukan mengenai jenayah zina. Seksyen 376 Akta 574 hanya memperuntukkan kesalahan rogol. Justeru, kesalahan bagi jenayah zina boleh ditambah dalam Kanun Keseksaan menggunakan peruntukan yang baru, sebagaimana yang dilakukan terhadap jenayah seks luar tabii dengan menambah seksyen 377B dan 377C dalam Akta 574.

Bagi menentukan kaedah dan beban pembuktian melibatkan jenayah yang tersenarai di bawah hukuman hudud dan qisas, pindaan boleh dilakukan terhadap Akta Keterangan 1950 (Akta 56) mengenai cara bukti itu diambil, dikemukakan dan dinilai oleh mahkamah, sebelum apa-apa keputusan diberikan.

Semua pindaan sebegini itu hanya memerlukan kelulusan Ahli Dewan Rakyat dengan majoriti mudah.

 

MATLAMAT UNDANG-UNDANG BIASA & HUDUD ADALAH HAMPIR SAMA

Matlamat undang-undang jenayah adalah untuk menegah perbuatan terlarang sambil mewujudkan ketenteraman awam, serta melaksanakan keadilan jika terdapat apa-apa perlanggaran terhadap mencapai matlamat yang digariskan. Cuma Hudud biasanya disebut sebagai 'medan pendidikan' kepada pesalah dan orang sekitar selain mengenakan hukuman pengajaran kepada pesalah. Oleh itu, bagaimanakah cara alat itu digunakan, perlu diambil kira. Hasilnya akan menjadi kayu ukur sama ada ia menghasilkan kejayaan, ataupun sebaliknya.

 

JIKA SUKAR DIFAHAMI

Jika sukar untuk memperkenalkannya seperti satu pakej yang lengkap, harus untuk memulakan satu jenis kesalahan terlebih dahulu, dan diikuti dengan kesalahan lain secara berfasa. Ia berdasarkan konsep tadarruj. Dengan itu, beban kegagalan dan kelemahan dalam pelaksanaannya dapat diminimumkan lantaran kekurangan pengalaman pelbagai pihak.

Tidak wajib untuk memberikan 'perisa agama' terhadap undang-undang jenayah itu, lalu MESTI menamakannya sebagai hudud dan qisas sehingga menyebabkan masyarakat bukan Islam melenting, bahkan takut akibat tidak faham dan keliru. Keperluannya sudah mencukupi apabila kerajaan memperkenalkan undang-undang jenayah yang baru untuk negara secara seragam dan berfasa tanpa membezakan sasaran, dan terpakai kepada semua pesalah jenayah tanpa mengira agama, bangsa atau jantina, sebagaimana yang termaktub dalam Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan (equality before the law).

Dalam proses penambahbaikan kelak, beberapa hal teknikal seperti kelayakan hakim dan latar belakangnya, kakitangan mahkamah yang menjadi pelaksana, pihak penguatkuasaan dan pendakwaan, boleh diharmonikan secara berperingkat-peringkat. Setidak-tidaknya, satu langkah pertama ke arah menyeragamkan hukuman jenayah dengan mengambil kira maqasid syariah telah terlaksana di peringkat permulaan. Untuk tiba ke destinasi dan mencapai tahap kesempurnaan, ia perlu bermula dengan langkah pertama, dan dibangunkan dengan terancang. Langkah pertama itu perlu bermula dari sekarang, setelah ia dilelapkan dalam tempoh yang terlalu lama.

 

HUDUD VERSI PAS ATAU UMNO?

Timbul persoalan, sama ada versi undang-undang yang ingin diperkenalkan nanti adalah versi PAS atau UMNO atau siapa?. Bagi menyelesaikan masalah ketidakyakinan di antara satu sama lain dalam hal ini, saya mohon mencadangkan agar kerajaan Malaysia menjadi tuan rumah bagi persidangan Majma' al-Fiqh Al-Islami (Majlis Kesatuan Ulama Fiqh Sedunia) bagi tahun 2014 (sebagaimana pernah Malaysia menjadi tuan rumah pada tahun 2008) dan mengkhususkan perbincangan berkenaan perincian hukuman yang ingin dicadangkan. Para pembentang kertas kerja dari sudut menerangkan keadaan politik setempat dan suasana masyarakat Malaysia mesti dibentang oleh ilmuwan agama dari Malaysia agar dapat mengelakkan pandangan Fiqh yang diberikan oleh persidangan tidak menepati situasi keadaan di Malaysia. Melalui cara ini, ketidakyakinan antara PAS dan UMNO dapat dikurangkan dalam menentukan bentuk hukum-hakam yang ingin ditentukan nanti.

 

Dr. Zaharuddin bin Abd Rahman

Presiden,

Multaqa Asatizah & Du’at (MURSHID)

www.murshid.my

5 Mei 2014



Add this page to your favorite Social Bookmarking websites

Add comment


Security code
Refresh

Pengumuman

Wang, Anda dan Islam
Panduan Perbankan Islam

Untukmu Wanita

 
Untukmu Umat
Formula Solat Sempurna
Murabahah
 A Comprehensive Prayer FormulaContracts and The Products of Islamic Banking
Akidah dan IbadatRiba
cover_maqasid_arab 
Money, You and Islam
 cover_bicaralah_new ledakan_FB 
indahnya_hidup_politikcover_jangan_berhenti_berlari


 

Ruangan Iklan




RSS Feed

Pengisian Terkini Pengisian Terkini

Statistik

Site Meter

Pelawat

Now online:
  • 5 guests

Komen Terbaru

You are here: Senarai Lengkap Artikel Bahasa Articles Hudud di Malaysia : Perlembagaan, Inti, Nama & Kesediaan