Kenaikan OPR & BLR : Kesan Terhadap Kita
Oleh
Dr. Zaharuddin Abd Rahman
Overnight Policy Rate (OPR) adalah kadar faedah semalaman yang ditentukan oleh Bank Negara Malaysia. Kadar faedah ini dikenakan terhadap mana-mana bank yang meminjam tunai dari bank lain untuk jangka pendek semalaman. Sebelum ini, kadar tersebut ditentukan oleh Bank Negara Malaysia sebanyak 3 %. Namun ia telah dinaikkan kepada 3.25 % mulai Julai 2014.
Kenaikan ini memberi kesan kepada kedua-dua industri perbankan, konvensional dan Islamic. Jika ia melibatkan bank-bank konvensional, kontrak yang digunakan adalah kontrak pinjaman di antara satu bank dari yang lain lalu ‘interest semalaman’ akan meningkat apabila OPR meningkat.
Manakala jika ia melibatkan transaksi di antara sesama institusi kewangan Islam, walau kontrak yang digunakan berbeza dengan perbankan konvensional, iaitu wakalah, wadi’ah atau mudarabah, bergantung kepada keadaan. Namun begitu, kos transaksi antara bank Islam turut meningkat dengan kenaikan OPR.
Kadar OPR inilah yang banyak paling utama mempengaruhi faedah (jika bank konvensional) atau kadar untung (jika perbankan Islam) yang diambil atau dikenakan dari pelanggan masing-masing. Kadar 3.25 % tadi boleh dianggap sebagai kos asas duit itu sendiri dalam sistem kewangan sedia ada kini. Maka dari 3.25 % itulah, ia diadun oleh pihak bank dengan memasukkan kos-kos lain sehingga lahirlah kadar pinjaman asas atau Base Lending Rate (BLR). Hanya setelah itu, bank-bank komersial mampu membuat kiraan yang kompetetif berapakah kadar berdaya saing yang mampu ditawarkan kepada pelanggan.
Menurut gabenor Bank Negara Malaysia, mulai Jan 2015, Base lending rate akan diubah kepada “base rate”, apa yang terkandung di dalam ‘Base Rate’ ini adalah :-
1. Tanda Aras (benchmark) kos matawang
2. Kos Statutory Reserve Requirement (SRR) atau simpanan wajib yang dikenakan ke atas bank komersial hasil dari deposit pelanggan iaitu sekitar 4 % mesti disimpan oleh bank, manakala 96 % boleh dipinjamkan, ini berdasarkan Fractional Reserve System.
3. Risiko kredit pelanggan (borrower credit risk),
4. Risiko Kecairan Premium (liquidity risk premium),
5. Kos operasi (operating costs)
Dan selepas semua kos modal asas yang dicatatkan sebentar tadi, barulah sesebuah bank akan boleh menentukan margin keuntungan yang akan dikenakan kepada pelanggan.
Sebagai analogi mudahnya secara ‘layman’, sebelum penjual jubah wanita dapat menentukan harga sehelai jubah, dia terlebih dahulu perlu mengetahui modal sebenar yang perlu dikeluarkan untuk mendapatkan sehelai jubah terbabit, sebagai contoh,
1. Kos kain semeter
2. Kos tukang jahit untuk setiap jubah
3. kos proses pembelian kain dan pengangkutan
4. kos pembungkusan
5. kos pemasaran
6. kos pos tudung
Hanya selepas semua kos sebenar (actual cost) diatas telah dikenalpasti, barulah penjual jubah ini akan dapat menentukan nilai keuntungan atau margin keuntungan yang diingininya. Tentunya ia dilakukan dengan melihat harga pasaran semasa bagi sehelai jubah di pasaran, di sinilah, peniaga akan menentukan tahap daya saing harga mereka. Contohnya, jika semua kos asas bernilai RM 50, maka penjual akan meletakkan harga RM 95 dengan mengharapkan keuntungan RM 45 setiap jubah.
Sekiranya tukang jahit utama (seolah seperti BNM dan OPR), tiba-tiba menaikkan kos jahitan dari RM 25 kepada RM 30, sudah tentu harga jubah siap turut akan terpengaruh dan meningkat.
Begitulah semua institusi perbankan di Malaysia, sama ada perbankan Islam atau konvensional, penetapan kadar keuntungan bagi produk pembiayaan kereta, rumah, aset dan lain-lain, semuanya tertakluk asalnya kepad penetapan kos OPR dan komponen dalam BLR atau base rate.
KESAN KENAIKAN OPR
Apabila kerajaan ingin melonjakkan pergerakan dan kerancakan ekonomi dalam sesebuah negara, mereka akan menggalakkan perbelanjaan awam melalui cara menyuntik lebih banyak wang ke dalam sistem ekonomi atau juga dengan mengurangkan cukai yang mana itu akan menggalakkan perbelanjaan. Ini akan menambahkan permintaan, mencipta peluang pekerjaan dan menambah hasil pengeluaran barangan oleh pembekal dan pengilang.
Apabila kerajaan ingin mengurangkan situasi ekonomi yang sedang ‘terlebih panas‘atau overheating, BNM akan mengetatkan ikatan seperti menaikkan cukai, yang akibatnya mengurangkan permintaan (demand) di dalam ekonomi.
Kerajaan biasanya mempengaruhi pertumbuhan ekonomi negara melalui dua asas utama iaitu :-
a ) Dasar fiskal yang bergantung kepada perbelanajaan awam & percukaian
b) Polisi kewangan pula bergantung kepada pembekelan wang (money supply) dan penetapan kadar faedah.
Justeru, kenaikan OPR ini adalah dari cabang polisi kewangan yang bertujuan untuk mempengaruhi pertumbuhan ekonomi negara kepada keadaan yang dirasakan lebih sihat dan utuh.
Sebagaimana disebut sebelum ini, bermula Julai 2014, Jawatankuasa Kewangan BNM (Monetary Policy Committee) memutuskan untuk menaikkan kadar OPR kepada 3.25% daripada sebelumnya 3.0 %. Kesannya, semua kos asas bagi semua bank meningkat, maka pastinya kadar BLR akan meningkat dan secara langsung memberi kesan kepada kadar pinjaman dan kadar keuntungan yang diambil oleh bank. Secara ringkasnya kesan daripada kenaikan ini adalah:-
1. Peminjam bank bagi produk seperti rumah, kereta, aset dan sepertinya akan perlu membayar bayaran bulanan yang lebih tinggi. Termasuk juga pelanggan pembiayaan produk perbankan Islam, yang mana akibat darinya, ‘rebate’ yang diberikan oleh perbankan Islam menjadi kurang sewaktu kenaikan OPR. Akibat dari hal ini, pembelian aset-aset besar dan mahal yang memerlukan pembiayaan dari bank akan berkurangan. Maka kesannya, harga aset-aset seperti hartanah diharapkan dapat sedikit reda dan menurun.
2. Kerajaan juga berharap agar kadar inflasi turun, ini dapat dilihat sebelum BNM menaikkan OPR, kadar inflasi adalah 3.3 %. Kini ia telah turun kepada 2.6 %. Namun, ada keburukan dari kenaikan ini, apapun yang pasti, tindakan penuh hemah dan berimbang melalui analisis mendalam perlu dilakukan oleh pihak berkuasa sebelum bertindak menaikkan OPR kerana ia pasti memberi kesan kepada industri yang pelbagai serta peluang pekerjaan.
3. Kenaikan OPR turut menaikkan kadar ulangan bagi pelaburan dan despoit para pelanggan di bank. Maka ini dijangka bakal menggalakkan awam menyimpan dan kurang berbelanja. Keadaan ini diperlukan bagi memberi kesan kepada inflasi dan harga barangan semasa. Ini akan menyedut keluar wang tunai dari pasaran lalu dijangka boleh mengawal kesusutan nilai matawang.
4. Kenaikan turut memberi kesan kepada peluang pekerjaan, credit creation dan juga kadar pertukaran matawang asing.
5. Apabila kerajaan menjangkan inflasi akan meningkat khususnya di ambang penguatkuasaan GST & penamatan subsidi petrol dan diesel, kerajaan akan menggunakan teknik menaikan OPR, yang mana ia dijangka mampu mengawal inflasi dari meningkat.
Demikian serba ringkas kesan kenaikan OPR kepada kehidupan semasa kita, dari sudut hukum kadar ini dianggap neutral oleh para ilmuwan Syariah semasa, namun ia perlu dipastikan menggunakan kontrak yang patuh Syariah seperti wakalah, wadi’ah atau mudarabah.
Dr. Zaharuddin Abd Rahman
www.zaharuddin.net
07 Nov 2014
Add this page to your favorite Social Bookmarking websites