Senarai Lengkap Artikel Bahasa Articles Soalan Popular Simpanan Syariah : Ulasan Tahap Orang Awam
  • PDF
(1 vote, average 5.00 out of 5)

SOALAN POPULAR SIMPANAN SYARIAH KWSP: ULASAN TAHAP ORANG AWAM

Oleh :

Dr. Zaharuddin Abd Rahman

www.zaharuddin.net

Presiden MURSHID

kwsp

Beberapa hari pertama pelancarannya, ia disambut hangat dan sangat baik oleh awam, tiba-tiba di awal minggu kedua, sudah mula berlegar pelbagai persoalan tambahan berbaur politik, sangka buruk dan pertikaian terhadap Simpanan Syariah KWSP. Hakikatnya, ia merupakan simpanan wang persaraan secara Patuh Syariah yang pertama seumpamanya di dunia dan telah lama juga diperjuangkan di negara kita, kini hasil 6 tahun usaha teliti pelbagai pihak, ia telah berjaya dilancarkan. Namun, sedikit kesal, ia dikritik tanpa fakta yang sahih. Maka artikel ini serba sedikit cuba memberikan respon kepada soalan-soalan popular berkaitan Simpanan Syariah KWSP, ia ditulis atas kapasiti peribadi, selaku ahli dan pencarum KWSP serta warga Malaysia yang merasa bertanggungjawab memberi sedikit penjelasan. Penjelasan ini tidak mewakili mana-mana institusi khususnya KWSP.  


1. Mengapa sekarang baru Simpanan Syariah dilaksanakan?


Tidak salah saya, kesedaran berkaitan hal ini mula bercambah sejak 2007 apabila tersebarnya surat jawapan pihak KWSP kepada satu NGO yang menyebut jumlah caruman terlalu besar lalu berlaku percampuran pelaburan di tempat yang patuh Syariah dan tidak patuh. Maka mungkin ia menjadi salah satu faktor dorongan untuk wujudnya pengasingan bagi pelaburan patuh Syariah yang terasing dari konvesional. Bersyukur, pada tahun 2010, ditubuhkan Jawatankuasa Penasihat Syariah KWSP untuk mula berperanan ke arah Skim Simpanan Patuh Syariah KWSP. Ia memakan masa 6 tahun disebabkan terlalu banyak polisi & prosedur baru perlu disediakan, pengkelasan & penentuan aset, penyediaan sistem, pindaan akta KWSP di Parlimen dan lain-lain. Justeru, akhirnya dibuka kepada ahli untuk pendaftaran pada 8 Ogos 2016. Setahu saya, tiada agenda politik tersembunyi kecuali ia adalah hasil kerja yang panjang dan tersusun, demi menyahut permintaan ahli. Saya adalah di antara mereka yang sangat bersyukur dengan wujudnya pilihan Syariah ini setelah mengharapnya sekian lama. Sebarang langkah menidakkannya adalah TERCELA dan buruk kerana ITU AKAN mengekalkan pencarum Muslim dalam aktiviti pelaburan dan urusan kewangan terlibat riba.


2. Keadah Kira Dividen sama atau tidak? Sudahkan ia patuh Syariah?


Benar, kaedah pengiraan dividen tidak banyak berbeza kerana formula kiraan adalah neutral sifatnya dan agak straight forward. Cuma beza asasnya adalah, semua keuntungan sebenar pada hujung tahun kewangan setelah ditolak kos-kos sebenar dan operasi, maka dari keuntungan sebenar akan dikira jumlah peratusan dividen simpanan Syariah. Ia adalah patuh Syariah semuanya tanpa percampuran pelaburan tidak patuh Syariah dan meragukan. Itu sudah cukup menjadikannya cara kiraan yang adil dan patuh Syariah.


3. Mengapa tiada jaminan dividen 2.5 % sebagaimana Simpanan Konvensional


Dari segi syariah, keuntungan sesuatu pelaburan itu adalah berdasarkan prestasi sebenar pelaburan dan risiko pelaburan yang diambil iaitu konsep al-ghunm bil ghurm.


Justeru, tiada boleh dijamin keuntungan kerana salah satu syarat untuk tergolong dalam urus labur patuh Syariah bagi sesebuah kontrak pelaburan adalah TIADA SEBARANG JAMINAN UNTUNG MINIMA. Kontrak hubungan di antara KWSP & pencarum (ahli) adalah Wakalah, ia juga merupakan kontrak amanah yang tidak mengizinkan jaminan diberikan oleh pengurus (wakil kepada prinsipal (pencarum). Namun jika wujud kelalaian dan pecah amanah, barulah wakil boleh pertanggungjawabkan. Dicatat di dalam klausa nombor 768, Majalah al-Ahkam al-‘Adliyah dari hasil kesimpulan ijtihad ulama dari empat mazhab:-
الأمانة غير مضمونة، فإذا هلكت أو ضاعت بلا صنع الأمين ولا تقصير منه لا يلزمه الضمان.
Ertinya: “(Kontrak) amanah tidak boleh dijamin, justeru apabila musnah atau hilang bukan disebabkan perbuatan yang pemegang amanah dan buka asbab kecuaian darinya, tidak boleh dimestikan baginya jaminan (gantian)” (Syarh Al-Majallah, Salim Rustam Baz, hlm 426)


Juga keputusan Majlis Syariah ulama Sedunia dari AAOIFI yang memutuskan sebagai berikut:-
لا يجوز اشتراط الكفالة أو الرهن في عقود الأمانة ..لمنافاتهما لمقتضاها ما لم يكن اشتراطهما مقتصرا على حالة التعدي أو التقصير أو المخالفة....ولا يجوز تسويق عملياتها على أنها استثمار مضمون.
Ertinya: “Tidak harus disyaratkan kafālah atau rahn dalam kontrak-kontrak berstatus amanah (IAITU TERMASUK WAKALAH SEBAGAIMANA DIAMALKAN OLEH KWSP – penterjemah)…disebabkan bercanggah keduanya dengan kandungan kontrak amanah, kecuali jika syarat itu hanya terhad kepada ketika wujdunya kecuaian dan pencerobohan atau percanggahan, …dan tidak harus juga dipromosi seolah produk pelaburan ini adalah sebuah pelaburan yang dijamin”


Selain itu, jaminan keuntungan mengandungi unsur kezaliman terhadap satu pihak iaitu wakil , dimana dia dipertanggungjawabkan atas kerugian sebenar (jika berlaku), padahal wakil tidak lalai dan tidak pula melanggar perjanjiannya. Jika lalai, itu juga tidak boleh menjamin keuntungan, hanya sekadar modal sahaja yang boleh dituntut.


Pun begitu, Simpanan Syariah KWSP pastinya TIDAK akan bermudah-mudah ketika menguruskan dana AMANAH AWAM ini, ia akan PASTINYA diuruskan dengan segala kepakaran dan profesionalisme sebagaimana berpuluh tahun yang lalu, dimana tidak pernah menyaksikan kerugian atau dividen yang kurang dari 4 % sejak tahun 1960.


4. Simpanan Syariah akan memudahkan penyelewengan atas dana ahli dan pencarum kerana sifat tiada jaminan.


Ini merupakan satu telahan berbentuk provokasi berbau politik kepartian yang agak ekstrem, namun hakikatnya, berbanding simpanan konvensional, wang yang diurus di dalam Simpanan Syariah akan terdapat SATU LAGI LAPISAN dan tapisan, iaitu pelaburan dan gunapakai wang ahli dibuat yang dilakukan oleh pihak wakil (Pengurusan KWSP), jika sebelum ini hanya berpandu keputusan dari Panel Pelaburan dan Lembaga, namun bagi simpanan ini, Jawatankuasa Syariah KWSP PERLU dirujuk. Itu bagi memastikan produk dan penggunaannya mematuhi hukum Syariah. Pematuhan Syariah pula bukanlah hanya dari aspek kontrak dan syaratnya sahaja malah mesti mematuhi garis panduan/parameter pelaburan syariah yang ditentukan oleh Jawatankuasa Penasihat Shariah, termasuklah tahap risiko, reputasi dan sebagainya. Kuasa ini diberikan oleh Akta KWSP dan Kaedah-kaedah KWSP yang meletakkan Jawatankuasa Syariah dengan kuasa tersendiri. Maka jika dijawab secara 'nakal', simpanan konvensional mungkin lebih besar risikonya.


5. Simpanan Syariah terdedah kepada hilang duit caruman sekaligus juga.


Dalam Seksyen 28 tajuk Peruntukan bagi pendahuluan daripada Kumpulan Wang Disatukan Persekutuan
“Jika Kumpulan Wang pada bila-bila masa tidak berupaya untuk membayar apa-apa jumlah wang yang Kumpulan Wang dikehendaki membayar di bawah Akta ini, jumlah wang yang dikehendaki dibayar sedemikian hendaklah dipertanggungkan ke atas dan didahulukan kepada Kumpulan Wang daripada Kumpulan Wang Disatukan Persekutuan (Federal Consolidated Fund) dan Kumpulan Wang hendaklah dengan seberapa segera yang praktik membayar balik kepada Kerajaan Malaysia jumlah wang yang telah didahulukan sedemikian.”


Kesimpulannya, sebagaimana wang simpanan konvensional KWSP, Simpanan Syariah turut termasuk dalam peruntukan seksyen ini, maka kedua-dua tabung simpanan Konvensional dan Syariah terpelihara melalui seksyen ini.


Cuma Simpanan Syariah hanya tiada jaminan dividen 2.5 % sahaja bagi memastikan ia memenuhi syarat kontrak yang patuh Syariah, itu bukanlah muslihat tersembunyi atau ingin disengajakan tiada dividen, tetapi ia adalah KEPERLUAN UNTUK menjadi PATUH Syariah dan hal ini telah dibincang sejak tahun 2010 lagi. Simpanan Konvensional pula, sekalipun terdapat jaminan minima dividen, hasil itu terdedah kepada hasil keuntungan pelaburan tidak patuh Syariah yang akhirnya mesti juga dibersihkan khususnya setelah wujudnya Simpanan Syariah ini.


6. Mengapa tidak ditukar ke akaun Simpanan Patuh Syariah secara automatik untuk semua Muslim?


Ibadah zakat pun tidak boleh diwajibkan secara undang-undang untuk terpotong secara automatik dari pendapatan pekerja Muslim. Kecuali mesti dengan pilihan dan persetujuan pekerja maka barulah selepas itu berlaku secara automatik. Selain itu adalah kerana :-


a. Ciri kewangan dan punya risiko berbeza maka tidak boleh sewenang ditukar tanpa izin dan persetujuan muktamad dari ahli pencarum. Justeru, jika diubah secara automatis, dibimbangi apabila berlakunya perbezaan dividen di antara Syariah dan Konvensional, mereka yang ditukar secara automatik akan membantah dan mempertikai apabila dividen halal lebih rendah (jika lebih tinggi pastinya tiada masalah). Perlu diingat, dividen kedua-duanya kini boleh berbeza, lebih rendah atau lebih tinggi.

b. KWSP tiada menyimpan data lengkap berkaitan status agama ahli/pencarum kerana dahulunya pendaftaran kwsp mengunakan kad pengenalan dan dahulunya tiada status agama disebut di atasnya. Malah DAHULUNYA juga tidak kelihatan keperluan yang jelas bagi KWSP untuk mengambil tahu status agama ahli/pencarumnya, disebabkan sifatnya hanya selaku penyimpan dan pengurus wang saraan pekerja di Malaysia tanpa mengira agama dan bangsa.


c. Memerlukan akad dan ijab qabul yang jelas dan memerlukan ahli yang sebenar datang sendiri dan menutup ruang kesilapan dan kesalahan dalam pemberian akad wakalah kepada KWSP. Justeru cap jari adalah kaedah paling selamat memastikan aqad benar-benar mencapai taradhi (full consent).


7. Adakah dividen terdahulu haram?


Dividen dahulu terhasil daripada pelaburan TIDAK patuh Syariah dan ada juga patuh Syariah serta ada juga yang tidak ditentukan statusnya, kerana sebelum ini ia tidak terikat. Adapun, kaedah pengurusan dividen tidak patuh Syariah, terhadap perbezaan pandangan, Majlis Fatwa Kebangsaan putuskan ia tidak perlu dibersihkan bagi sesiapa yang ingin mengubah kepada Simpanan Syariah, atas pelbagai hujjah yang panjang untuk dinyatakan di sini. Namun sesiapa yang TETAP ingin membersihkan, maka dalam masa terdekat pihak KWSP akan mengeluarkan cadangan kaedah dan kiraan. Perlu tunggu sedikit masa lagi akan dikeluarkan oleh pihak KWSP di web mereka.


8. Adakah ahli berdosa sebelum ini kerana pelaburan KWSP bercampur ?


Sebelum wujudnya pilihan Simpanan Shariah, ahli beragama Islam tiada pilihan untuk memastikan simpanannya diuruskan mengikut prinsip syariah, maka pada ketika itu ianya dianggap sebagai bukan pilihannya dan tidak dipertanggungjawabkan sebarang hukum taklifi ke atas ahli disebabkan ia di luar bidang kuasanya. Ia disebabkan simpanan ini merupakan simpanan wajib oleh undang-undang dan kerajaan.


9. Kerajaan hutang KWSP beratus billion, siapa nak bayar dan apa penjelasan?


Jawapan bagi persoalan hutang boleh dibaca dari artikel berikut http://norman-g.blogspot.my/2016/08/kwsp-simpanan-shariah.html

 

PENUTUP

Begitulah sedikit penjelasan peribadi dengan bahasa ORANG AWAM dari pihak saya, BUKAN diatas kapasiti mana-mana pihak kecuali penjelasan selaku warga Malaysia (jika ada kesalahan fakta, saya akan edit semula), pejuang kewangan Halal dan ahli berdaftar Simpanan Syariah KWSP yang sentiasa inginkan semua umat Islam terselamat dari bahana riba yang boleh menghilangkan keberkatan dalam kehidupan dan keselamatan di akhirat.

Apabila peluang sudah berada di hadapan mata, janganlah beralasan lagi kelak nanti ‘terlewat’. Hal yang sudah diberi ‘kuasa' dan pilihan di tangan sendiri, maka JANGANLAH diabaikan DENGAN SANGKAAN-SANGKAAN yang mungkin merupakan BELITAN Iblis agar si muslim masih terus selesa dalam Riba dengan justifikasi-justifikasi tertentu yang kononnya kelihatan logik namun hakikatnya meminggirkan akhirat. Nauzubillah min zalik.

Saya sedikit dukacita apabila membaca hanya baru sekitar RM 25 billion telah dipohon untuk beralih ke Simpanan Syariah sejak dilancarkan 8 Ogos 2016 yang lalu, kita mengharapkan ia mencecah RM 100 billion di akhir tahun ini. Menurut Walaupun jumlah alokasi awal hanya RM 100 billion namun hingga kini. Sebenarnya, pada kini Ogos 2016, pelaburan KWSP dalam aset-aset patuh syariah telah mencapai 45% (RM295 bilion) daripada keseluruhan pelaburan KWSP. Justeru itu, pihak KWSP bakal menaikkan alokasi Simpanan Syariah sekitar 20-30 billion setiap tahun sekiranya mempunyai permintaan, dan mereka masih mempunyai kapasiti untuk menambahnya tanpa sukar.


TAHNIAH JIKA ANDA MAMPU MEMBACA SEHINGGA DI SINI DENGAN FAHAM DAN TELITI. ANDA MEMANG HEBAT & PUNYAI CIRI PENCINTA maklumat.dan bukannya peminat viral info tanpa nama .!


Dr. Zaharuddin Abd Rahman

www.zaharuddin.net

19 Ogos 2016



Add this page to your favorite Social Bookmarking websites

Add comment


Security code
Refresh

Pengumuman

Wang, Anda dan Islam
Panduan Perbankan Islam

Untukmu Wanita

 
Untukmu Umat
Formula Solat Sempurna
Murabahah
 A Comprehensive Prayer FormulaContracts and The Products of Islamic Banking
Akidah dan IbadatRiba
cover_maqasid_arab 
Money, You and Islam
 cover_bicaralah_new ledakan_FB 
indahnya_hidup_politikcover_jangan_berhenti_berlari


 

Ruangan Iklan




RSS Feed

Pengisian Terkini Pengisian Terkini

Statistik

Site Meter

Pelawat

Now online:
  • 12 guests

Komen Terbaru

You are here: Senarai Lengkap Artikel Bahasa Articles Soalan Popular Simpanan Syariah : Ulasan Tahap Orang Awam