Senarai Lengkap Artikel Bahasa Articles PTPTN : Janji, Realiti dan Konsultasi Rakyat
  • PDF
(0 votes, average 0 out of 5)

 

PTPTN : JANJI , REALITI DAN KONSULTASI RAKYAT

Oleh

Dr Zaharuddin Abd Rahman

 

ptptn bayang

Perbincangan berkaitan PTPTN kembali hangat. PTPTN berkait rapat dengan rakyat Malaysia disebabkan ia melibatkan lebih 3 juta peminjam sejak PTPTN ditubuhkan iaitu 10 % dari keseluruhan rakyat Malaysia. Jika ditambah dengan jumlah isi rumah pelajar peminjam, ia mungkin mencecah 50 % dari isi rumah. Oleh kerana itu itu juga mungkin sentimen terhadapnya menjadi kuat dan sensitif.

Secara peribadi, saya telah berkali-kali mengkritik dan mengulas perihal PTPTN semenjak tahun 2007 lagi, dalam pelbagai isu dan hal. (rujuk capaian web saya http://www.zaharuddin.net/component/search/?searchword=ptptn&ordering=&searchphrase=all ). Kali ni saya turut ditanya berkenaan kertas konsultasi rakyat. Justeru saya cuba memberi sedikit pendapat berdasarkan data dan fakta yang diberikan dalam kertas tersebut.

Kerajaan berhasrat untuk mengurangkan bebanan kewangan pelajar dan telah menugaskan PTPTN untuk mewujudkan skim baharu pembayaran balik pinjaman mengikut kemampuan peminjam. Ini termasuk menunaikan janji manifesto mereka iaitu mencari jalan agar langkah penangguhan pembayaran balik pinjaman sehingga gaji peminjam mencapai RM4,000, boleh terlaksana tanpa memudaratkan peluang pelajar baharu yang berjumlah sekitar 100,000 hingga 200,000 setiap tahun, pada masa yang sama ingin dipastikan agar tindakan itu tidak memudaratkan institusi PTPTN serta kerajaan yang masih baru dalam situasi kewangan yang belum begitu stabil.

Menurut PTPTN, setelah semakan secara komprehensif, PTPTN dan Kerajaan mempunyai cabaran dan kekangan kewangan yang lebih besar daripada apa yang dijangkakan. Namun perubahan tetap ingin dilakukan dan janji cuba untuk dikotakan.

Bagi melaksanakan perubahan itu, suatu inisiatif baik telah dilaksanakan oleh PTPTN iaitu bermula Januari 2019, PTPTN telah mengadakan perbincangan meja bulat dan percambahan idea bersama pelbagai kumpulan berkepentingan yang terdiri daripada pakar kewangan, ahli parlimen/wakil rakyat, agensi berkaitan dan kumpulan pelajar untuk mengumpulkan input mereka.

Setelah itu, suatu sesi mendapatkan pandangan berkualiti rakyat ini diteruskan dengan penglibatan kelompok yang lebih besar iaitu seluruh masyarakat Malaysia melelaui portal khas konsultasi rakyat. Justeru, semua rakyat khususnya yang terkait dengan PTPTN sama ada melalui ahli keluarga masing-masing sebagai peminjam atau pemohon, digalakkan untuk membuka portal ini dan membaca serta memberi pandangan konstruktif (https://www.ptptn.gov.my/kertas-konsultasi-rakyat/ )

Mengimbau kembali sebab dan punca, PTPTN menjadi tumpuan isu politik dan isu nasional disebabkan beberapa perkara iaitu:

 

A] Pimpinan parti politik di zaman gabungan pembangkang yang bernama Pakatan Rakyat dahulunya kerap melaungkan untuk MENGHAPUSKAN hutang PTPTN dalam ceramah mereka, kini ia dirujuk sebahagian rakyat dalam tuntutan mereka walaupun itu bukanlah janji kerajaan hari ini. Manakala di dalam manisfesto Pakatan Harapan (PH) dalam Pilihanraya Umum 14 yang lalu mereka berjanji :

 

  1. Untuk menyahsenarai hitam peminjam PTPTN (mereka telah berjaya)
  2. Mempertimbangkan bayaran balik mengikut pendapatan (sedang mendapatkan maklum balas rakyat melalui konsultasi mereka)
  3. Janji ketiga adalah menangguhkan hutang peminjam PTPTN yang bergaji kurang dari RM4,000, kini mereka telah menang tetapi mereka buntu untuk menunaikan janji ini khususnya disebabkan oleh ketidakmampuan kerajaan untuk menanggungnya dan tidak lestarinya (unsustainable) model penangguhan itu.

Menurut laporan media (rujuk https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2018/11/394148/mohon-maaf-gagal-hapuskan-pinjaman-ptptn), Pengerusi PTPTN yang mengaku sebagai individu bertanggungjawab mencadangkan klausa berkaitan penangguhan hutang itu dan meletakkannya di dalam buku manifesto PH dengan restu pimpinan PH yang lain, telah pun memohon maaf atas ketidakmampuan mereka mengotakan janji tersebut setakat ini, namun desakan daripada rakyat serta pembangkang masih menuntut pelunasan janji dan menunggu langkah kerajaan seterusnya bagi mencari solusi unggul bagi PTPTN. Pun begitu apa yang difahami adalah penghapusan hutang PTPTN bukan sebahagian dari manifesto PH dan ia adalah janji gabungan Pakatan Rakyat sebelumnya.

 

B] PTPTN dan kerajaan hari ini dilihat tersepit di antara pelunasan manifesto pilihanraya dengan fakta kemampuan sebenar PTPTN, keperluan pelajar akan datang serta institusi pengajian tinggi swasta dan awam yang turut banyak bergantung kepada PTPTN. Perkara ini juga pernah disebutkan oleh bekas Pengerusi PTPTN, yang mana beliau turut mengakui janji tersebut TIDAK MUNASABAH (https://umno-online.my/2019/05/22/ph-tersepit-antara-tunai-janji-yang-tak-munasabah-dengan-realiti-sebenar-ptptn/?fbclid=IwAR2nIiD0DanjzX-0miJMwHJO9Fn5jWtfMJgHKNhBcjph5b8fnqYVj1SzfRk).

Sebenarnya kerajaan masih mampu untuk melunaskan semua janji PTPTN tersebut dan mengeluarkan lebih banyak duit melalui hutang-hutang baharu, melalui cara itu, mereka bakal mendapat populariti tinggi kerana kejayaan menunai janji dalam tempoh yang singkat, namun ia bakal dianggap sebagai kerajaan TIDAK bertanggungjawab kerana itu bakal menambah hutang dan beban kewangan kerajaan ke tahap buruk yang akhirnya akan memberikan kesan negatif pula kepada semua segmen masyarakat yang lain serta ekonomi negara secara keseluruhan.

 

C] Situasi kewangan dan model pinjaman PTPTN ketika ini adalah terbukti tidak lestari (unsustainable) bagi meneruskan agensi ini di dalam keadaan sekarang, apatah lagi untuk menangguhkan pembayaran balik bagi peminjam bergaji RM4000 ke bawah. Ini akan menyebabkan tempoh masa pembayaran balik terlalu panjang memberi risiko kepada kemampanan kewangan PTPTN. Selain itu, data menunjukkan 7 daripada 10 (68%) peminjam berpendapatan kurang daripada RM4,000 sebulan, ia sekaligus bakal mengurangkan kutipan tahunan dengan ketara kepada RM950 juta setahun berbanding sekitar RM3 bilion setahun yang berjaya dikutip dalam tempoh 3 tahun lalu. Jika itu berlaku, sekitar 100,000 pelajar baru tidak akan mampu diberikan pinjaman, justeru ini penangguhan (sekiranya dilaksanakan) itu hanya dianggap pencapaian yang zahirnya kelihatan hebat tetapi isinya bermasalah. Kecuali suatu perubahan struktur pendapatan PTPTN dan pemberian pinjamannya diubah.

 

D] Apa yang lebih tidak sihat pada model kewangan PTPTN adalah bagi mendapatkan dana untuk dipinjamkan kepada para pelajar, PTPTN tidak lagi mendapat peruntukan dari kerajaan justeru ianya dipinjam dari institusi kewangan lain dengan kadar faedah/keuntungan yang ditanggung PTPTN pada kadar 4 dan 5 peratus. Dengan kata lain, hatta sekiranya semua peminjam membayar semula SEMUA hutang tertunggak, PTPTN hanya sekadar mendapat jumlah pokok hutang beserta 1 % sahaja, ia bermakna kerajaan PERLU memberikan susbdisi sebanyak 3 % atau 4 % bagi setiap peminjam. Institusi kewangan yang memberi pinjaman kepada PTPTN itu pula mensasarkan keuntungan bagi memastikan mereka juga ‘performed’ kepada pemegang taruh mereka yang majoritinya turut merupakan rakyat Malaysia.

 

E] FAKTA PENTING yang mesti dinilai secara jujur adalah timbangan penerima manfaat dan mudarat iaitu di antara maslahat (kebaikan) dan mafsadah (keburukan). Jika dibandingkan manfaat yang bakal diperolehi oleh peminjam dan kesan negatif terhadap peluang pelajar lain, penghapusan hutang tertunggak PTPTN itu akan hanya dimanfaati oleh 1.4 juta peminjam (yang masih belum selesai membayar) dengan kos setinggi RM40 bilion (iaitu kos pokok hutang termasuk faedah bayaran kepada institusi). Adakah bijak sesebuah kerajaan melunaskan janji dengan menghabiskan RM40 bilion hanya untuk manfaat 1.4 juta peminjam? Manakala jika ditangguhkan hutang tertunggak yang kurang dari RM4000, ia menjadikan PTPTN sukar untuk terus memberikan pinjaman baharu kepada para pelajar setiap tahun. Setiap kekurangan RM70 juta dari pembayaran balik akan menyebabkan 10,000 orang pemohon baharu TIDAK mendapat pinjaman. Ini bermakna setiap RM7,000 yang tidak dibayar akan menyebabkan seorang pemohon baharu dinafikan hak mendapat pinjaman. contohnya, seorang peminjam dengan pinjaman RM21,000 tidak membayar balik, akan menyebabkan tiga (3) orang pemohon baharu tidak mendapat pinjaman. Itu juga beerti 280,000 pelajar tidak akan mendapat pinjaman PTPTN akibat kekurangan RM2 bilion SETIAP TAHUN dana bayaran semula oleh peminjam. Itu bakal menyebabkan 200,000 peminjam baru akan terhalang.

Ertinya, jika janji ini ditunaikan secara tidak berstrategi, ia akan memberi mudarat kepada lebih ramai berbanding manfaat kepada sebahagian yang lebih kecil.

 

FAKTA DARI KERTAS KONSULTASI RAKYAT PTPTN & ULASAN RINGKAS

Dalam kertas konsultansi rakyat yang dipaparkan di portal PTPTN, setelah menelitinya, saya dapati beberapa fakta berikut wajar difahami oleh semua rakyat, antaranya:

  • Lebih Separuh Tidak Membayar Balik. Iaitu hanya 49 % peminjam bertanggungjawab. 26 % atau 499 ribu darinya telah selesai membayar balik, berjumlah Manakala 438 ribu peminjam membayar balik secara KONSISTEN bernilai Namun lagi BELUM DAPAT DIKUTIP SECARA KONSISTEN dari 972 ribu peminjam.

PANDANGAN SAYA:

Persoalannya, apakah wajar ditangguhkan dan dihapuskan semua hutang PTPTN daripada 972 ribu orang peminjam ini? Bagaimana pula dengan 438 ribu orang peminjam yang membayar secara konsisten? Atau wajarkah ditangguh pembayaran mereka?

PTPTN dan kerajaan mungkin boleh mempertimbangkan memberi sesuatu insentif kepada kumpulan yang membayar secara konsisten kali ini berbanding yang mendapat grad yang bagus, contohnya:

  1. Memberikan penghapusan (BUKAN TANGGUH) kesemua jumlah hutang daripada 438 ribu pembayar KONSISTEN yang bergaji RM1800 ke bawah (setelah tamat belajar lebih dari 5 tahun atau yang sudah berkahwin), kesesuaian cadangan ini perlukan data tambahan dari PTPTN akan tempoh tamat belajar yang paling sesuai. Lamanya sesudah tamat belajar dan masih bergaji RM1800 ke bawah tetapi masih komited membuat bayaran adalah komitmen tinggi walau dalam kesukaran kewangan.
  2. Memberikan sedikit diskaun berdasarkan lapisan pendapatan tertentu dengan jumlah diskaun yang berbeza, itu bagi kumpulan pembayaran konsisten yang bergaji RM1800 - RM4000.

Walaupun tindakan ini akan mengurangkan lagi jumlah kutipan tahunan PTPTN, itu dianggap lebih baik dari manifesto menangguh bayaran mereka selain ia sebagai penghargaan besar terhadap komitmen pembayaran mereka selain hadiah dari pihak kerajaan & PTPTN untuk rakyat dalam soal Pendidikan bagi warga kurang berkemampuan. Tambahan dari itu juga, ia akan lebih memudahkan PTPTN dalam merangka strategi kewangan lebih tepat kerana sudah mendapat kepastian akan status hutang tertunggak sebahagian besar peminjamnya, berbanding berada di dalam keadaan tidak pasti sambil menunggu gaji peminjam untuk mencapai RM 4000 dan tidak pasti juga akan dibayar atau tidak selepas itu.

Jika diberi penangguhan, PTPTN akan tetap berada dalam kesukaran aliran tunai dan ia hanya menambah beban pemantauan oleh pihak PTPTN.

Tidak dapat dinafikan, bagi menjayakan cadangan di atas, kerajaan perlu menyediakan peruntukan baru kerana sekurang-kurangnya RM1 bilion - RM 1.5 bilion hutang PTPTN mungkin dilupuskan, jika itu berlaku kerajaan tentunya perlu terus memberi subsidi baharu kepada PTPTN bagi terus melancarkan aliran tunai (cash flow) mereka. Bagi saya, itu wajar diusahakan dalam rangka kerajaan baharu secara beransur mengotakan baki janji berkaitan PTPTN mereka dalam tahun pertama dan kedua pemerintahan mereka. Itu turut mampu membuktikan usaha keras kerajaan dalam hal ini.

Manakala bagi pembayar namun TIDAK KONSISTEN iaitu seramai 616 ribu orang dengan tunggakan sebanyak RM 3.6 bil, mereka perlu membuktikan pembayaran konsisten selama 12 bulan berturut bagi layak mendapat insentif PTPTN yang seterusnya selaku pembayar konsisten. PTPTN mungkin menawarkan diskaun bertingkat iaitu 5 %, 10 % dan seterusnya bagi penyelesaian penuh (jika ada) atau berdasarkan jumlah komitmen pembayaran ansuran yang dilakukan.

Manakala bagi 19 % peminjam atau 356 ribu yang langsung tidak membayar dengan jumlah RM 2.8 bilion itu. Suatu task force untuk mengkaji latar belakang pekerjaan semasa mereka perlu ditubuhkan bagi menentukan tindakan yang terbaik. Tindakan lebih tegas mungkin sesuai kepada sebahagian peminjam yang didapati mempunyai latar belakang kerja yang bagus namun sama sekali tidak membayar.

  • Hutang Kian Meningkat Saban Tahun. Hanya 32.5% daripada RM56 bilion yang dikeluarkan sehingga kini telah dibayar balik. Bilangan pelajar setahun yang memohon pinjaman daripada PTPTN juga dijangka meningkat, daripada 180,000 sekarang kepada 250,000 sebelum tahun 2040 selaras dengan unjuran peningkatan pelajar dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Tinggi.

PANDANGAN SAYA

Berdasarkan statistik di atas, saya berpendapat pelunasan janji tangguh PTPTN TIDAK BOLEH DILAKUKAN secara drastik kerana secara faktanya akan membawa mudarat yang lebih banyak dari manfaat, walaupun tidak melaksana janji itu adalah SUATU KESALAHAN dan aib namun begitu, pelaksanaan sesebuah janji boleh diusahakan dalam bentuk yang beransur-beransur bagi mengawal impak negatif terhadap keseluruhan kewujudan institusi PTPTN dan juga kumpulan masyarakat khususnya dari kalangan peluang pendidikan pelajar dan institusi pengajian tinggi awam dan swasta.

Pihak yang berjanji pula WAJAR MEMINTA MAAF ke atas kegagalan pelunasan janji atau penangguhannya, dan perlu membuktikan usaha berterusan dan komitmen tinggi mereka ke arah pelaksanaan sebahagian janji atau pelaksanaan beransur-ansur demi mengutamakan maslahat yang lebih besar berbanding kepentingan hanya 1.4 juta peminjam semasa yang belum menghabiskan hutang. Saya kira permohonan maaf dan penjelasan sebab penangguhan dan akibat jika dilaksanakan sekaligus telah pun dijelaskan oleh PTPTN, cuma sejauh mana ia mampu difahami oleh rakyat khususnya ahli politik dan penyokong tegar masing-masing, lebih mencabar lagi adalah ahli politik yang semestinya ingin terus menjadikan hal ini sebagai bahan yang boleh menguntungkan mereka dan merugikan parti lain.

  • PTPTN Menanggung Hutang RM40 Bilion Yang Dijamin Oleh Kerajaan. Sebagai pemberi pinjaman dengan prestasi kutipan bayaran balik yang rendah, adalah mustahil untuk PTPTN terus mendapat pinjaman.

PANDANGAN SAYA

Ini menunjukkan model pinjaman pelajaran yang dilaksanakan oleh PTPTN tidak lagi lestari (sustainable), justeru dicadangkan agar suatu skim baharu patuh Shariah diperkenalkan. Dana pinjaman dari institusi swasta dan awam dengan kadar 4 atau 5 % perlu dibayar oleh PTPTN, mungkin hanya sesuai diberikan kepada sekumpulan pelajar dengan kreteria tertentu dan bayaran baharu kepada PTPTN juga lebih tinggi melalui skim khas ini. Dengan cara itu, akan terdapat sekumpulan pelajar dengan penjamin akan beroleh pinjaman dengan kadar sedikit tinggi ini.

Manakala, bagi dana PTPTN yang lain, geran khas baharu dari kerajaan adalah diperlukan di bawah peruntukan khas pelajaran pada setiap tahun, ini boleh diberikan kepada PTPTN seperti dengan kadar 1 % pembayaran balik kepada kerajaan oleh PTPTN. Ia boleh dilaksanakan ke atas kumpulan pelajar yang kriteria mereka cukup kelayakan bagi mendapatnya sebagai contoh B40.

  • Cabaran Aliran Tunai Tahunan. Tidak seperti bank komersial lain, PTPTN mengenakan caj nominal 1% Ujrah, suatu bentuk yuran perkhidmatan patuh syariah untuk kemudahan pinjaman yang mana ia digunakan untuk menampung perbelanjaan operasi. Ujrah 1% ini adalah lebih rendah daripada kos dana sekitar 5% (sukuk dan pinjaman). Kos dana ini disubsidi oleh Kerajaan.

Sehingga kini, Kerajaan telah membelanjakan RM13.7 bilion untuk membayar kos dana ke atas pinjaman PTPTN. Pada tahun 2014, PTPTN mengalami krisis kekurangan dana untuk membiayai pinjaman pendidikan. Akibatnya, 50,000 permohonan pinjaman baharu pada tahun tersebut hampir ditolak oleh PTPTN. Untuk mengelakkan situasi ini terjadi, PTPTN terpaksa memotong amaun pembiayaan sebanyak 5% kepada peminjam IPTA dan 15% bagi peminjam IPTS.

Ini bermakna setiap RM7,000 yang tidak dibayar akan menyebabkan seorang pemohon baharu dinafikan hak mendapat pinjaman. Contohnya, seorang peminjam dengan pinjaman RM21,000 tidak membayar balik, akan menyebabkan tiga (3) orang pemohon baharu tidak mendapat pinjaman.

PANDANGAN SAYA

Setiap RM7000 yang tidak dibayar menyekat peluang seorang pemohon baharu. Ia suatu kesan berantai yang negatif kepada seluruh industri pendidikan negara, hal ini hanya akan dapat diatasi sekiranya kerajaan baharu mampu meraih lebih banyak hasil negara lalu punyai lebihan wang yang boleh disalurkan bagi terus menghidupkan PTPTN.

PTPTN tidak boleh gagal membayar kepada institusi kewangan dan instrument sukuk sediaada kerana kesan negatifnya akan melebar kepada institusi lain dan akhirnya akan terkena jua kepada rakyat umum.

Kerajaan pula tidak boleh berterusan menambah pemberian subsidi untuk melunaskan hutang PTPTN dengan insititusi kewangan, ia bukanlah penyelesaian yang mampan dan lestari. Maka suatu perbincangan komprehensif di antara kerajaan dan institusi kewangan terbabit perlu dilakukan bagi menghasilkan suatu jalan keluar yang berbentuk ‘win-win’ serta mampu mengurangkan mudarat terhadap institusi kewangan, PTPTN dan juga kerajaan.

Sebagai contoh, mungkin kadar 5% itu boleh dikaji semula dan diberikan sedikit pengurangan bagi melegakan PTPTN dan kerajaan dari jumlah pembayaran yang terlalu tinggi. Melalui cara itu, ia mungkin mampu membantu aliran tunai PTPTN, kerajaan dan tidak pula menghilangkan terus keuntungan jangkaan oleh institusi kewangan. Atau mungkin melalui persetujuan kerajaan untuk swap sebahagian aset mereka kepada institusi kewangan melalui penerbitan sukuk ke atas aset kerajaan yang punyai hasil, ia juga boleh mendatangkan pulangan kepada institusi kewangan selaku pelabur.

  • Salah satu cadangan pihak perunding kepada PTPTN adalah Menggantikan Sistem Bayaran Balik Sedia Ada Kepada Skim Bayaran Balik Berasaskan Pendapatan Untuk Peminjam Baharu – Income Based Repayment (IBR)
    • Dengan skim IBR ini, peminjam hanya membayar mengikut peratus daripada pendapatan.
    • Peminjam yang tiada pendapatan, bayaran balik akan ditangguhkan.
    • Peminjam yang mengalami penurunan gaji, ansuran bayaran balik akan diturunkan secara automatik.

PANDANGAN SAYA

  1. Sistem ini dilihat ada rasionalnya dan sesuai dengan manifesto PH dalam pilihanraya ke14 yang mencadangkan jumlah pembayara balik bergantung kepada jumlah gaji peminjam. Jika ia dilaksanakan ia akan melanggar kontrak ujrah 1 % di antara PTPTN dengan peminjam jika lebih dari 1 % dicadangkan. Namun begitu, ia masih boleh dilakukan dengan beberapa kaedah yang perlu diputuskan oleh PTPTN.
  2. Sistem ini tetap akan menyebabkan PTPTN kekurangan tunai untuk operasi dan pelajar akan datang serta kemampuan pembayaran wang dari institusi kewangan.
  3. Sistem ini diperlukan kerana ia boleh dianggap menyantuni keadaan kewangan peminjam dan akan mengalakkan mereka untuk mula membuat pembayaran balik. Disamping itu, ia sememangnya sebahagian dari janji manifesto kerajaan.
  • IDEA 7 & 8 oleh Perunding Luar PTPTN.
    • Melaksanakan system penjamin dan pemansuhan pengecualian bayaran graduan kelas pertama atau digantikan dengan pengecualian separa.

PANDANGAN SAYA

Setuju dengan cadangan penjamin dan dipastikan penjamin mempunyai kemampuan jua. Pun begitu, ia pastinya akan menghadkan jumlah pelajar yang lulus mendapat pinjaman PTPTN. Justeru, cadangan ini walaupun baik untuk PTPTN, namun kesannya perlu dinilai semula selepas pelaksanaannya.

Saya juga bersetuju DIMANSUHKAN PENGECUALIAN BAYARAN KELAS PERTAMA pada masa ini, malah diutamakan bagi pembayaran konsisten dan komited. Graduan kelas pertama sepatutnya lebih mudah mendapat kerjaya yang bagus dan membayar semula hutang PTPTN. Skim penghapusan hutang bagi graduan cemerlang adalah sesuai dalam keadaan tertentu namun dalam situasi kewangan PTPTN dan kerajaan ketika ini, ia mungkin bukan keutamaan yang patut diberikan pengecualian. Kecemerlangan mereka sudah dikira hasil bantuan PTPTN juga dan mereka sudah sewajarnya bijak juga berdiri dengan kaki sendiri.

KESIMPULAN

Saya tidak mampu untuk memberi komentar dan pandangan bagi semua fakta dan data yang diberikan oleh PTPTN dalam portal kertas konsultasi rakyatnya, maka adalah terbaik bagi semua rakyat yang ingin menyumbang idea konstruktif untuk membawa dan memberi buah fikiran kalian untuk masa depan negara, PTPTN, peminjam dan juga bakal pelajar yang memperlukan bantuan kewangan untuk pendidikan tinggi mereka. Walaupun kekurangan data dan pengetahuan holistic terhadap kedudukan kewangan PTPTN dan situasi semasa peminjam dan lainnya pasti akan menjadi sebarang cdangan rakyat kurang sesuai untuk diaplikasi secara penuh. Namun ia suatu usaha baik dalam mendapatkan cambahan idea. SILA LAWATI https://www.ptptn.gov.my/kertas-konsultasi-rakyat/

Demikian serba sedikti pandangan saya untuk perkongsian di page ini, ia juga telah saya kongsikan di portal PTPTN bagi perhatian dan pertimbangan mereka. Tulisan ini adalah sekadar melaksanakan tugas sebagai rakyat apabila dipohon pandangan oleh pihak berkuasa dengan niat menambah manfaat dan mengurang mudarat ke atas semua pihak bekerperluan.

 

HUTANG DAN JANJI

 

Keuda-duanya perlu dilunasi dan terhadap ancaman dosa terhadap yang sengaja culas. Dalam hal PTPTN, sementara keputusan penangguhan, diskaun atau pelupusan diumumkan oleh PTPTN, hutang adalah WAJIB dibayar menurut hukum Islam dan bakal menyukarkan peminjam sekiranya meninggal dunia. Nabi SAW bersabda :-

يغفر للشهيد كل شيء إلا الدين

Ertinya : “ Diampunkan semua dosa bagi orang mati yang terkorban Syahid kecuali jika ia mempunyai hutang (kepada manusia)” ( Riwayat Muslim, 6/38)

Lebih buruk lagi apabila terdapat sesetengah individu yang meminjam dengan niat untuk tidak memulangkan kembali. Sebagaimana Sabda Nabi SAW :

من أدّان أموال الناس يريد أداءها أدى الله عنه , ومن أخذها يريد اتلافها أتلفه الله

Ertinya : Barangsiapa yang meminjam harta orang lain dengan niat ingin mengembalikannya, Allah akan mengembalikan pinjaman itu, namun barangsiapa yang meminjamnya dengan niat ingin merugikannya, Allah pun akan merugikannya” ( Riwayat Al-Bukhari, 2/83 )

Bagaimana pula dengan janji yang dilanggar?? Benar, janji yang dilanggar juga besar mudarat ke atas yang berjanji lalu mungkir, terdapat banyak dalil yang mengecam perbuatan terbabit antaranya Firman Allah Taala:

وَلا تَقْرَبُوا مَالَ الْيَتِيمِ إِلاَّ بِالَّتِي هِيَ أَحْسَنُ حَتَّى يَبْلُغَ أَشُدَّهُ وَأَوْفُوا بِالْعَهْدِ إِنَّ الْعَهْدَ كَانَ مَسْئُولاً (34) وَأَوْفُوا الْكَيْلَ إِذَا كِلْتُمْ وَزِنُوا بِالْقِسْطَاسِ الْمُسْتَقِيمِ ذَلِكَ خَيْرٌ وَأَحْسَنُ تَأْوِيلاً

Maksudnya: Dan janganlah kamu menggunakan harta anak yatim, kecuali dengan cara yang lebih baik (bermanfaat) sehingga dia dewasa, dan penuhilah janji, kerana janji itu pasti dipertanggungjawabkan. Dan sempurnakanlah sukatan apabila kamu menyukat, dan timbanglah dengan timbangan yang benar. Itulah yang lebih utama (bagimu) dan lebih baik akibatnya. (Surah al-Isra’: 34-35)

Dalam ayat “dan sempurnakanlah segala perjanjian kerana perjanjian itu akan ditanya”, Allah Taala akan menyoal tentang penunaian perjanjian itu dan akan menghisab setiap mereka yang memungkiri dan membatalkan perjanjian, lalu ia menjadi salah satu sifat orang munafiq.

Daripada Abdullah bin Amr, Rasulullah SAW bersabda:

أَرْبَعٌ مَنْ كُنَّ فِيهِ كَانَ مُنَافِقًا خَالِصًا، وَمَنْ كَانَتْ فِيهِ خَصْلَةٌ مِنْهُنَّ كَانَتْ فِيهِ خَصْلَةٌ مِنَ النِّفَاقِ حَتَّى يَدَعَهَا: إِذَا اؤْتُمِنَ خَانَ، وَإِذَا حَدَّثَ كَذَبَ، وَإِذَا عَاهَدَ غَدَرَ، وَإِذَا خَاصَمَ فَجَرَ

Maksudnya: "Empat hal bila ada pada seseorang maka dia adalah seorang munafiq yang hakiki, dan barangsiapa yang terdapat pada dirinya satu sifat dari empat hal tersebut maka pada dirinya terdapat sifat nifaq hingga dia meninggalkannya. Iaitu, jika diberi amanah dia khianat, jika berbicara dia berdusta, jika berjanji dia mengingkarinya dan jika berseteru ia melampaui batasannya".( Riwayat al-Bukhari (34)

Daripada Anas bin Malik RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:

لا إِيمَانَ لِمَنْ لَا أَمَانَةَ لَهُ، ولاَ دِينَ لِمَنْ لَا عَهْدَ لَهُ

Maksudnya: Tidaklah sempurna iman seseorang bagi sesiapa yang tidak beramanah dan tidak sempurnalah agama seseorang bagi sesiapa yang tidak menunaikan janjinya (Riwayat Ahmad (13199) dan al-Bazzar (7196)

Justeru jangan sewenangnya membuat janji dan sengaja membatalkannya kerana kemalasan, sengaja, meremehkan janjinya sendiri dan niat jahat serta memperoleh keuntungan dan menzalimi pihak lain. Semua itu layak terkena kelas dosa yang tinggi. Malangnya dalam kehidupan semasa individu umat Islam harini terlalu banyak janji yang besar atau kecil yang terabai. Janji tanggungjawab terhadap keluarga, majikan, pekerja, jiran, komuniti dan sesama masyarakat dalam pelbagai bentuk dan jenis janji.

Pun begitu, di antara janji dan sumpah, sudah tentu sumpah lebih wajib untuk dilaksanakan, namun Islam tidak rigid dalam melihat kesan dan akibat, khususnya jika terkena mudaratnya kepada kumpulan masyarakat yang lebih besar, maka tatkala itu dibenarkan melanggar sumpah tetapi individu yang bersumpah TETAP DIANGGAP BERDOSA dan perlulah kaffarah sumpah janjinya.

وَإِذَا حَلَفْتَ علَى يَمِينٍ فَرَأَيْتَ غَيْرَها خَيْرًا مِنهَا، فأْتِ الَّذِي هُوَ خَيْرٌ، وكفِّرْ عَنْ يَمِينك
Ertinya : Barangsiapa yang bersumpah kemudiannya melihat yang lain dari itu lebih baik, hendaklah dia mendatangi yang lebih baik itu (langgar sumpahnya) dan bayarlah kafaarah sumpahnya. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Perlu difahami ertinya ada jenis janji dan sumpah yang apabila dinilai secara jujur dan berfakta akan menjadikan mudarat lebih besar, pelunasannya BOLEH dinilai semula sama ada dalam bentuk beransur, sebahagian dan sebagainya, hatta tanpa dilaksanakan bagi mengurangkan mudarat dan dalam masa yang sama mampu dikotakan. Pun begitu dosa kerana berjanji tersebut masih terkena ke atas individu terbabit.

 

Sekian

Dr. Zaharuddin Abd Rahman

PRESIDEN

NGO MURSHID



Add this page to your favorite Social Bookmarking websites

Add comment


Security code
Refresh

Pengumuman

Wang, Anda dan Islam
Panduan Perbankan Islam

Untukmu Wanita

 
Untukmu Umat
Formula Solat Sempurna
Murabahah
 A Comprehensive Prayer FormulaContracts and The Products of Islamic Banking
Akidah dan IbadatRiba
cover_maqasid_arab 
Money, You and Islam
 cover_bicaralah_new ledakan_FB 
indahnya_hidup_politikcover_jangan_berhenti_berlari


 

Ruangan Iklan




RSS Feed

Pengisian Terkini Pengisian Terkini

Statistik

Site Meter

Pelawat

Now online:
  • 11 guests

Komen Terbaru

You are here: Senarai Lengkap Artikel Bahasa Articles PTPTN : Janji, Realiti dan Konsultasi Rakyat