Senarai Lengkap Artikel Bahasa Articles Nak Bagi Sedeqah atau Pinjaman Tanpa Faedah?

Nak Bagi Sedeqah atau Pinjaman Tanpa Faedah?

  • PDF
(10 votes, average 5.00 out of 5)

Nak Bagi Sedeqah atau Pinjaman?

Oleh

Zaharuddin Abd Rahman

www.zaharuddin.net

 

alms.jpg

 

Kalau ditanya, mana yang lebih besar pahalanya di antara memberi pinjaman tanpa faedah atau memberi sedeqah, apakah jawapannya?. Secara umumnya para ulama berbeza ijtihad dalam menentukan mana yang lebih baik daripada yang lain. Artikel ini mengupas dengan ringkas tapi padat persoalan tersebut. Semoga dengannya kita akan dapat menentukan keputusan terbaik ketika ingin membantu insan lain.

PINJAMAN LEBIH BESAR GANJARAN

Menurut sebahagian ulama, pinjaman tanpa faedah adalah lebih utama [1] berdasarkan beberapa dalil antaranya :-

Hadis 1 :

رأيت لَيْلَةَ أسرى بِي على بَابِ الْجَنَّةِ مَكْتُوبًا الصَّدَقَةُ بِعَشْرِ أَمْثَالِهَا وَالْقَرْضُ بِثَمَانِيَةَ عَشَرَ فقلت يا جِبْرِيلُ ما بَالُ الْقَرْضِ أَفْضَلُ من الصَّدَقَةِ قال لِأَنَّ السَّائِلَ يَسْأَلُ وَعِنْدَهُ وَالْمُسْتَقْرِضُ لَا يَسْتَقْرِضُ إلا من حَاجَةٍ

Maksudnya: "Pada malam aku pergi ke syurga (semasa Israk Mi'raj), aku melihat tertulis di dalam pintu Syurga, "Setiap sumbangan sedeqah digandakan pahalanya kepada sepuluh kali, dan setiap pinjaman tanpa faedah digandakan sebanyak 18 kali" lalu aku (Nabi ) bertanya : wahai Jibrail, mengapakah pemberian pinjam lebih mulai daripada sedeqah? Jawab Jibrail : Kerana yang meminta di waktu meminta itu, sedang ia masih memiliki ( mampu), sedangkan orang yang meminta pinjaman tidak akan meminta pinjam kecuali benar-benar di kala keperluan." (Riwayat oleh Ibn Majah)[2]

Namun demikian ‘Ajlouni [3] dan Albani menilai hadis ini sebagai lemah. Kelebihan pemberian pinjam ini juga yang disebutkan oleh Al-Jassas di dalam kitab beliau Ahkam al-Quran :

سَمّاهُ اللهُ قَرْضاً تَأكِيْداً ِلاسْتِحْقَاقِ الثَّوَابِ بِهِ؛ إِذْ لاَ يَكُونَ قَرْضاً إِلاّ وَالعِوَضُ مُسْتَحَقٌّ بِه

Ertinya : "Allah menamakannya sebagai qard (pinjam) sebagai penguat kepada perolehan pahala kebaikannya, kerana jika ia bukan qard, maka pemberi pinjam layak mendapat ganjaran (material) darinya" [4]

Selain daripada dalil yang pertama, kumpulan ini juga berpegang kepada hadis Nabi s.a.w :

قَرْضُ الشَّيْءِ خَيْرٌ مِنَ الصَّدَقَةِ

Ertinya : Memberikan pinjaman (tanpa faedah) itu lebih baik dari memberi sedeqah ( Al-Bayhaqi, 5/354)

SEDEQAH LEBIH UTAMA

Sebahagian ulama lain pula berijtihad, sedeqah lebih utama, pandangan ini antara lainnya disandarkan kepada kata-kata baginda Nabi s.a.w dari Ibn Mas'ud :

مَنْ أَقْرِضَ مُسْلِماً دِرْهَماً مَرَّتَيْنِ كَانَ لَهُ كَأجْرِ صَدَقَة مَرّة

Ertinya : Sesiapa yang memberi pinjaman (tanpa faedah) kepada seorang Muslim sedirham sebanyak dua kali, baginya pahala sekali memberi sekali sedeqah (Ibn Hibban, 7/249 ; Ibn Majah, 2/812 ; Albani mengatakannya Sohih)

Namun begitu, Ibn Mas'ud mengulas:

لأنْ أقْرِضَ مَرَّتَيْن أَحَبّ إليّ مِنْ أَنْ يَتَصَدَّقَ مَرّة

Ertinya : Memberikan pinjam dua kali lebih disukai olehku daripada mereka yang bersedeqah sekali sahaja. ( Sunan Al-Baihaqi, 5/353 )

 

PANDANGAN TERPILIH

Demikian tadi ringkasan dari pendapat dua kumpulan ulama semasa membicarakan perihal keutamaan sedeqah atau pinjaman. Setelah melihat kepada hujjah yang dikemukakan dan perbincangan panjang lebar ulama, saya cenderung kepada huraian Imam Ibn Hajar Al-Haythami yang menganjurkan gabungan kedua-dua dalil dengan melihat kepada sebab musabab atau ‘illah yang boleh menjadikannya lebih utama.

Saya kira, cara tersebut lebih menepati maksud sesebuah hukum dalam hal Fiqh Muamalat. Apabila ditinjau dari huraian hadis di atas dan berbekalkan nas-nas lain, jelas bahawa keutamaan sedeqah dan pemberian pinjam berbeza menurut keadaan penerima. Lebih memerlukan di penerima, lebih utama pemberian itu, sama ada ia pinjaman tanpa faedah atau sedeqah. (Al-Inafah, Ibn Hajar Al-Haythami, hlm 157)

Berdasarkan kepada hadis pertama sebelum ini, diberitahu bahawa pinjaman tanpa faedah lebih utama kerana ia diberikan kepada mereka yang sangat berkeperluan berbanding sedeqah.

Namun, jika dilihat suasana di zaman ini khususnya, keadaan ini boleh menjadi sebaliknya, penerima sedeqah juga boleh jadi dari kalangan mereka yang sangat miskin dan memerlukan.

Manakala penerima pinjaman pula boleh datang dari kalangan mereka yang tidak begitu mendesak keperluannya seperti para usahawan yang sudah kaya raya dengan harta melimpa ruah, tetapi masih memerlukan pinjaman tertentu bagi memperbesarkan perniagaannya.

Justeru, dalam konteks fiqh Muamalat, para ulama mengajar kita untuk tidak terlalu terikat dengan teks sesebuah nas kerana hukum di dalam bab ini lebih perlu merujuk kepada objektif dan sebab musabbabnya.

Hasil penelitian itu, kita akan dapati bahawa keutamaan dalam hal sedeqah dan pinjaman ini tertakluk kepada pertindanan pahala dari satu amalan.

Sebagi contoh, apabila pinjaman diberikan kepada mereka yang memerlukan. Ini bermakna selain memberi bantuan pinjaman, kita juga meraih pahala melepaskan saudara dari keadaan sukar dan sempit. Sebagaimana hadis :

مَنْ كَشفَ عَن مُسلم , كُربَةً مِن كُرَبِ الدُّتيا , كَشَفَ اللهُ عَنهُ كُرْبَةً مِن كُرَبِ يَوْمَ القِيامَة , والله في عَوْنِ العَبْدِ مَا دَامَ العَبْدُ فِي عَوْنِ أَخِيْه

Ertinya : Barangsiapa yang melepaskan dari seorang Muslim, satu kesukaran dari kesusahan duniawi, maka Allah swt akan melepaskannya satu kesukaran dari kesukaran akhirat, dan Allah swt akan membantu seseorang hamba selagi mana hamba itu membantu saudaranya" (Riwayat Muslim)

Justeru, sama ada pemberian pinjaman tanpa faedah atau sedeqah, jika ia diberikan kepada mereka yang sangat memerlukan, ganjaran dan keutamaannya menjadi bertambah.

Allah swt pula menegaskan, keutamaan sedeqah kepada mereka yang memerlukan dan kesusahan di dalam ayat :

وَإِن كَانَ ذُو عُسْرَةٍ فَنَظِرَةٌ إِلَى مَيْسَرَةٍ وَأَن تَصَدَّقُواْ خَيْرٌ لَّكُمْ إِن كُنتُمْ تَعْلَمُونَ

Ertinya : Dan jika (orang berutang itu) dalam kesukaran, maka berilah tangguh sampai dia berkelapangan. Dan menyedekahkan (sebagian atau semua utang) itu, lebih baik bagimu, jika kamu mengetahui. ( Al-Baqarah : 280 )

Ayat di atas jelas merangkumi dua keadaan;

Pertama : peminjam harta yang ditimpa kesukaran sehingga tidak mampu memulangkan harta yang dipinjam, lalu pemberi pinjam diminta untuk sama ada memberi tangguh tanpa penalty atau menyedeqahkan sahaja jumlah yang dipinjam.

Kedua : Pembeli secara bayaran tangguh yang tidak melangsaikan hutang pembeliannya kerana kesukaran. Tatkala itu, penjual diminta memberi masa untuk pembeli menyelesaikan huatngnya atau menyedeqahkan sebahagian atau semua bayaran yang belum dilangsaikan.

Jelas dapat dilihat dari ayat diatas, bagaimana Allah swt menggalakkan sedeqah kepada mereka yang sangat memerlukan dan ditimpa kesusahan. Justeru, kelebihan kedua-dua amalan itu jika dilihat dari perspektif si penerima, ia bergantung banyak kepada situasi penerima, demikian juga ditegaskan oleh Syeikh Al-Balqini.

Manakala jika dilihat keutamaan dua amalan itu dari perspektif pemberi, tentulah pemberi sedeqah lebih utama kerana ia melepaskan hak milik hartanya kepada penerima, berbanding pemberi pinjaman.

 

Sekian

 

Zaharuddin Abd Rahman

www.zaharuddin.net

29 Oktober 2009



[1] Tuhfatul Ahwazi, Ibn Hajar Al-Haytami, 5/37

[2] Mungkin ada yang keliru dan tertanya, bagaimana Nabi s.a.w boleh membaca sedangkan baginda adalah seorang yang ‘UMMI' (tidak boleh membaca dan menulis). Ibn Hajar memberikan ulasan dengan mengatakan teradpaat beberapa penjelasan dalam hal ini. Pertama : Ia adalah mu'jizat yang diberikan oleh Allah semasa Isra mi'raj sehingga Nabi mampu memahami tulisan tersebut. Kedua : Nabi telah dahulu sebelum itu bertanya kepada Jibrail apa yang ditulis, sesudah itu Nabi bertanya pula apa yang terdapat di dalam hadis, ini bermakna pertanyaan Nabi yang pertama dihazafkan bagi memperolehi sasaran hadis. Ketiga : Nabi memang UMMI tetapi melalui mu'jizat baginda boleh membaca dan menulis ringkas walau tanpa belajar, sebagaimana diriwaytakan Nabi pernah menulis semasa perjanjian Hudaibiyah, namun terdapat ulama yang menolak dengan mengatakan bahawa Ali k.w yang menulis ketika itu. (Rujuk lanjut dalam Talkhis al-Habir, Ibn Hajar, 3/270). Al-‘Ajlouni & Albani pula menilai hadis ini sebagai lemah.

[3] Kasyful Al-Khifa : 1/125

[4] Ahkam Al-Quran, Abu Bakar Al-Jassas, 1/616



Add this page to your favorite Social Bookmarking websites

Add comment


Security code
Refresh

Pengumuman

Wang, Anda dan Islam
Panduan Perbankan Islam

Untukmu Wanita

 
Untukmu Umat
Formula Solat Sempurna
Murabahah
 A Comprehensive Prayer FormulaContracts and The Products of Islamic Banking
Akidah dan IbadatRiba
cover_maqasid_arab 
Money, You and Islam
 cover_bicaralah_new ledakan_FB 
indahnya_hidup_politikcover_jangan_berhenti_berlari


 

Ruangan Iklan




RSS Feed

Pengisian Terkini Pengisian Terkini

Statistik

Site Meter

Pelawat

Now online:
  • 15 guests

Komen Terbaru

You are here: Senarai Lengkap Artikel Bahasa Articles Nak Bagi Sedeqah atau Pinjaman Tanpa Faedah?