Senarai Lengkap Artikel Bahasa Articles Gelaran Buruk & Gelaran Haji dan Hajjah
  • PDF
(10 votes, average 4.90 out of 5)

Bolehkah Menggunakan Gelaran Haji dan Hajjah?

Oleh

 

Zaharuddin Abd Rahman

www.zaharuddin.net

 

mecca2009.jpg

 

Soalan

Apakah boleh seseorang menuntut dan menggunakan gelaran Haji atau Hajah sesudah pulang dari menunaikan ibadah tersebut. Adakah ia satu kesalahan di dalam Islam kerana tidak pernah digunakan oleh nabi dan para sahabat di zaman ? Jika dibenarkan apakah pula ulasannya Ustaz. Terima kasih

 

Jawapan

Sebelum ini juga ramai yang bertanya sama ada boleh digunakan gelaran ‘Haji' kepada mereka yang sudah selesai menunaikan haji.

Saya teringat ada seorang kenalan saya, sekitar 10 tahun dahulu memarahi seorang rakannya kerana tidak memanggilnya dengan gelaran tersebut. Bila saya bertanya mengapa sampai begitu sekali?.

Dijawabnya "Ye la, kita dah bertungkus lumus melaksanakan haji, berbelas ribu ringgit habis, jadi hormatlah sikit kita  dengan pengiktirafan" demikian tegasnya secara agak emosi.

Saya yakin, para pembaca mempunyai pelbagai reaksi apabila membaca jawapannya. Majoriti mungkin akan merasa tidak bersetuju sama sekali dengan hujjah yang disebut olehnya. Namun itulah hakikat bagi sebahagian besar umat Islam khususnya di Malaysia, mereka cukup ingin serta merasa selesa dan bangga dengan gelaran ‘Haji' sesudah mereka pulang dari mengerjakan ibadah agung tersebut.

Jadi persoalan kita ketika ini, adakah boleh di sisi Islam?

"ada orang baru balik haji, sibuk ingin digelar haji, kalau tak gelar, dia marah, habis rukun Islam yang lain pun lepas ini kena bagi gelaran jugakah?, jadilah namanya Tuan Haji Umrah Solat Puasa Zakat Ali Bin Abu Bakar" Demikian sindir seorang ustaz sebagai tanda protes tidak setuju disamping ingin membuat buah lawak untuk menghilangkan mengantuk para pendengar ceramahnya.

"Nabi dan sahabatnya tiada yang guna gelaran begitu, ni semuanya mengarut dan bid'ah" tegas seorang ustaz lagi dalam kuliahnya.

Adakah salah untuk menggunakan gelaran Haji di awal nama bagi mereka yang pulang dari menunaikan ibadah besar itu?

Persoalan ini tidak dinafikan lebih kepada sebuah isu kecil, justeru diharap jangan ada sesiapa yang kerananya melakukan dosa menghina, merendah dan menyakiti hati manusia lain. Itu persoalan pookok yang perlu difahami sebelum kita melanjutkan perbincangan.

Menurut pendapat saya, gelaran sebegini bukan sebuah persoalan ibadah khusus yang memerlukan kepada dalil khusus dari amalan Nabi s.a.w, salafussoleh dari kalangan sahabat dan tabien.

Isu gelaran adalah sebuah isu kemasyarakatan dan sosial yang tidak tertakluk kepada dalil-dalil specifik. Ia hanya tertakluk kepada dalil umum yang mengandungi nilai dan asas sama ada untuk mengarah atau melarang.

Dalam hal gelaran, dalil yang menjelaskan prinsip atau displin dalam gelar menggelar boleh diambil dari firman Allah swt seperti yang tercatat di dalam ayat surah al-Hujurat :

وَلَا تَلْمِزُوا أَنفُسَكُمْ وَلَا تَنَابَزُوا بِالْأَلْقَابِ بِئْسَ الاِسْمُ الْفُسُوقُ بَعْدَ الْإِيمَانِ

Ertinya : janganlah kamu mencela dirimu sendiri dan janganlah kamu panggil memanggil dengan gelar-gelar yang buruk. Seburuk-buruk panggilan ialah segala jenis nama panggilan yang berciri kefasiqan selepas kamu beriman ( Al-Hujurat : 11)

Jelas dari ayat di atas, prinsipnya adalah Allah swt melarang untuk umat Islam mengelar saudara seagama dengan apa jua gelaran yang buruk dan menyakitkan hatinya, tidak kira sama ada ia benar atau tidak, selagimana ia dilakukan dengan niat menghina dan menjatuhkan, ia adalah dilarang.

Imam Abu Ja'far At-Tabari mengatakan :

التنابز بالألقاب : هو دعاء المرء صاحبه بما يكرهه من اسم أو صفة ، وعم الله بنهيه ذلك ، ولم يخصص به بعض الألقاب دون بعض ، فغير جائز لأحد من المسلمين أن ينبز أخاه باسم يكرهه ، أو صفة يكرهها 

Ertinya : Memanggil dengan gelaran adalah seperti seseorang memanggil saudaranya dengan cara yang dibencinya sama ada (menggunakan) nama tertentu atau sifat. Dan larangan Allah swt itu umum tanpa sebarang pengkhususan kepda satu jenis gelaran tanpa yang lain, maka oleh itu, TIDAK HARUS (haram) bagi seorang Muslim untuk memanggil saudaranya sama ada dengan nama atau sifat yang dibencinya. ( Jami' al-Bayan, 22/29)

Justeru di dalam Islam budaya gelar mengelar dengan gelaran buruk ini bukanlah tindakan yang benar, malah ia terkeji dan hanya menjadi mainan individu yang dipimpin oleh emosi. Jangan sesekali mudah memulakan gelaran seperti 'Ulama Mee Segera', 'Si bodoh', ‘Munafiq' dan lain-lain. Walau apapun sebab dan latar belakang kemarahannya, cara menggelar sebegini bukan caranya. Terdapat begitu banyak cara bahasa lain  yang lebih sesuai untuk menegur seseorang.

Ia hanya akan memburukkan keadaan dan seterusnya menjatuhkan maruah si penggelar sahaja bukan mereka yang digelar. Tiada kebaikan yang boleh tersebar darinya kecuali kepuasan peribadi pihak mengggelar kononnya untuk menegakkan yang hak tetapi sebenarnya hanya memuaskan nafsu amarah masing-masing sahaja.

Islam melarang menggelarkan seseorang dengan sebarang gelaran buruk, dilarang juga mengkafirkan seseorang tanpa kejelasan yang putus atau kelak kekafiran dan gelaran itu akan kembali kepada dirinya sendiri. Seluruh gelaran buruk yang dicipta juga akan kembali kepada di penggelar.

 

Namun demikian, terdapat PENGECUALIAN sekiranya sesuatu gelaran dibuat bagi keadaan tertentu seperti untuk membezakan di antara individu maka digelarkan dengan sifat atau nama yang sesuai bagi fizikalnya, sedangkan gelaran itu adalah buruk, namun panggilan itu dibuat bukan untuk menghina dan merendah, ia hanya diniat untuk memberi kenal kepada mereka yang bertanya. Tatkala itu ia dibenarkan,

Demikian juga, jika terdapat maslahat yang lebih besar untuk dijagai, seperti para ulama menggelarkan beberapa perawi sebagai ‘kazzab' yang ertinya 'banyak berbohong ' bagi menjaga ketulenan sesebuah hadis. Namun ia bukanlah disebarluaskan kepada masyarakat awam, hal sedemikian hanya akan diketahui oleh golongan ulama dari kalangan pengkaji hadis dan perawinya sahaja. Ringkasnya semuanya masih tertakluk kepada adab-adab dan displinnya.

GELARAN BAIK SEPERTI TUAN HAJI?

Gelaran buruk dengan tujuan merendah dan menghina, tanpa khilaf lagi ia dilarang, maka jelas GELARAN BAIK ADALAH dibenarkan dalam Islam selagi tidak bercanggah dengan aqidah seperti menggelar seseorang dengan gelaran yang mengangkatnya ke darjat Tuhan atau Rasul.

Keharusan ini boleh dilihat dalam keharusan menggunakan gelaran Sayyid bagi Nabi Muhammad s.a.w dan juga para sahabat baginda nabi s.a.w.

Penggunaannya kepada selain Nabi s.a.w tidak disepakati oleh para ulama, ada yang menegah kecuali bagi pemimpin kaum iaitu di atas kapasitinya sebagai pemimpin atau ketua kepada kaum tersebut.

Namun demikian, gelaran ‘sayyiduna' yang beerti tuan kami, dibenarkan oleh sebahagian ulama untuk digunakan sama ada untuk baginda Nabi s.a.w dan juga tokoh-tokoh pimpinan yang lain, berdasarkan beberapa dalil (namun tulisan ini tidak akan membincangkan perihal kukuh atau tidaknya dalil yang dipetik). Antaranya Firman Allah :-

فَنَادَتْهُ المَلائِكَةُ وَهُوَ قَائِمٌ يُصَلِّي فِي المِحْرَابِ أَنَّ اللَّهَ يُبَشِّرُكَ بِيَحْيَى مُصَدِّقاً بِكَلِمَةٍ مِّنَ اللَّهِ وَسَيِّداً وَحَصُوراً وَنَبِياًّ مِّنَ الصَّالِحِينَ 

Ertinya : Kemudian Malaikat (Jibril) memanggil Zakaria, sedang ia tengah berdiri melakukan salat di mihrab (katanya): ""Sesungguhnya Allah menggembirakan kamu dengan kelahiran (seorang putramu) Yahya, yang membenarkan kalimat (yang datang) dari Allah, menjadi tuan, menahan diri (dari hawa nafsu) dan seorang Nabi termasuk keturunan orang-orang saleh. ( Al-Imran : 39) 

Imam al-Qurtubi mengulas katanya :-

ففيه دلالة على جواز تسمية الإنسان سيدًا ، كما يجوز أن يُسمِّى عزيزًا أو كريمًا 

Ertinya : Pada ayat itu suatu dalil berkenaan keharusan menamakan seseorang sebagai sayyid (tuan), sebagaimana harus untuk digelar yang mulia (Jami' ahkam al-Quran)

Nabi s.a.w juga pernah bersabda :

 ابني هذا سيد ولعل الله أن يصلح به بين فئتين من المسلمين

Ertinya : Sesungguhnya anakku (cucu) ini adalah sayyid (tuan) dan moga-moga melaluinya Allah akan memperdamaikan dua puak dari kalangan muslimin ( Riwayat Al-Bukhari)

Hasil dari petikan dalil di atas, malah banyak lagi dalil lain, MAJORITI ulama membenarkan untuk menggunakan gelaran Sayyidina kepada baginda Nabi s.a.w dan SEBAHAGIAN ULAMA PULA juga mengizinkannya untuk digunapakai kepada mereka selain Nabi s.a.w. Dengan syarat asalkan kita mengetahui batasan penghormatan, sebagaimana yang dituntut oleh Nabi SENDIRI.

أن ناسا قالوا: يا رسول الله، يا خيرنا وابن خيرنا، وسيدنا وابن سيدنا. فقال: يا أيها الناس، قولوا بقولكم، ولا يستهوينكم الشيطان، أنا محمد عبد الله ورسوله، ما أحب أن ترفعوني فوق منزلتي التي أنزلني الله عز وجل

Ertinya : Orang ramai berkata : wahai Rasulullah, wahai yang terpilih dan anak yang terpilih, tuan kami dan anak kepada tuan. Baginda membalas : Wahai manusia, kamu berkata dengan perkataan kamu, namun jangan sampai kamu diselewengkan oleh Syaitan, aku adalah Muhammad, Hamba Allah dan RasulNya, tiadalah aku sukai kamu mengangkat darjatku melebihi daripada darjat yang diberikan oleh Allah kepadaku ( Riwayat Abu Daud: sanad yang baik)

Jika gelaran ‘Sayyiduna' yang kontroversi di kalangan ulama Islam itu pun masih diharuskan menurut sebahagian ulama, sebahagian lain mengatakannya sebagai makruh kerana hadis di atas. Kita memahami gelaran sedemikian memerlukan sedikit hati-hati agar tidak melampau sehingga terjebak dalam kes pengikut Kristian yang mengganggap Nabi Isa sebagai anak tuhan akibat berlebhan dalam menggagungkannya.

Maka tentunya tiada sebarang halangan di dalam Islam untuk gelaran-gelaran biasa yang kurang kontroversi seperti gelaran Tuan haji, Ustaz, Dr, Dato', Syeikh, Profesor, Tok Guru, Imam, Hujjatul Islam, Syeikhul Islam dan apa jua gelaran yang baik lagi disukai dan baik untuk digunakan sebagai penghargaan, pujian, doa dan pengiktirafan.

Isu sama ada gelaran itu akan mendatangkan rasa riyak, takbur dan ujub adalah persoalan kedua. Hal ini mempunyai sedikit persamaan dengan isu memuji seseorang di hadapannya. BOLEH DIBACA DI SINI .

Kesimpulannya, jika diketahui pujian itu akan memusnahkannya, maka janganlah dilakukannya. Maka larangan adalah disebabkan hal luaran yang mendatang dan bukannya pada pujian itu sendiri. Demikian juga gelaran Tuan Haji, Sayyid dan sepertinya.

Oleh itu, jika kita memanggil seseorang dengan gelaran Tuan Haji, dan ia menyukakan tuan tubuh, malah dapat mengingatkannya dengan ibadah agung yang pernah dia bertungkus lumus melakukannya, mengingatkannya kepada Allah swt dan baitullah al-haram serta boleh mengekalkan momentum keinsafannya. Maka sudah tentu ia tidak dilarang di dalam Islam malah digalakkan.

ADAT DAN HORMAT

Apatah lagi apabila ia sudah menjadi adat di sesebuah kawasan untuk menggunakan nama panggilan yang baik tersebut.

Adakalanya, gelaran ‘Haji' juga digunakan hanya kerana tiada gelaran lain yang sesuai untuk seseorang untuk menunjukkan hormat kita kepadanya.

Saya pernah mempunyai beberapa kenalan jutawan veteran yang amat rapat dengan saya, walaupun mereka adalah jutawan, hartawan, pengasas dan ketua kepada syarikat masing-masing, namun mereka belum menerima anugerah Dato', mereka juga bukan pemegang PhD.

Justeru gelaran apakah yang paling sesuai untuk memanggilnya disamping menunjukkan penghormatan kita kepada umurnya ?

Tatkala itu saya hilang idea, hanya gelaran ‘Tuan Haji' saya kira paling sesuai setiap kali berhuung dengan beliau. Gelaran pak cik tidak sesuai, gelaran syeikh kurang sesuai orang perwatakan sepertinya, abang juga tidak sesuai, akhi juga tidak sesuai, awak juga tidak, enta pun tidak sesuai. Pernahkah anda mengalami situasi seperti itu?

Kita sedar, kesan buruk juga boleh berganda apabila seorang yang digelar ‘tuan haji' dan ‘puan hajah' melakukan maksiat dan dosa secara terangan. Lebih mendukacitakan apabila kesnya melibatkan tangkapan khalwat, zina, pecah amanah dan lain-lain yang biasnaya tersiar di dada akhbar. Namun demikian hal itu tidak menjadikan penggunaan gelaran ‘Haji' dan Hajah' sebagai haram.

AKHIRNYA

Walaupun harus mendapat atau menggunakan gelaran ‘Haji', amat perlu disedari pemergian menunaikan rukun Islam kelima itu bukanlah kerana gelaran dan tidak wajar menjadi marah jika tidak diberikan oleh manusia. Bukankah pandangan Allah yang menjadi sasaran ke sana.

Kemarahan seseorang akibat tidak digelar Haji sesudah pulangnya, boleh menjadi satu indikasi negatif kepada status Haji si polan sama ada ia tergolong di dalam Haji yang Mabrur atau tidak. Pastinya mereka yang mensasarkan haji mabrur tidak akan berasa apa-apa dengan gelaran tersebut, malah tidak ambil pusing dan endah diberikan kepadanya atau tidak. Maka itulah yang terbaik..moga kita semua memperolehi Haji Mabrur..Semua gelaran tidak memberi manfaat kepada alam akhirat kita, semua akan ditinggalkan di dunia yang fana ini, yang kekal dan mengikuti kita adalah kecantikan amal itu, bukan gelarannya.

Allahu akbar Allahu akbar Allahu akbar walillahil Hamd

Salam Eidil Adha buat semua umat Islam di seluruh dunia. Jangan lupa berpuasa sunat hari ini bagi mereka yang tidak berada di Arafah.

Sekian

 

Zaharuddin Abd Rahman

www.zaharuddin.net

9 Zulhijjah 1430 H

26 Nov 2009



Add this page to your favorite Social Bookmarking websites

Add comment


Security code
Refresh

Pengumuman

Wang, Anda dan Islam
Panduan Perbankan Islam

Untukmu Wanita

 
Untukmu Umat
Formula Solat Sempurna
Murabahah
 A Comprehensive Prayer FormulaContracts and The Products of Islamic Banking
Akidah dan IbadatRiba
cover_maqasid_arab 
Money, You and Islam
 cover_bicaralah_new ledakan_FB 
indahnya_hidup_politikcover_jangan_berhenti_berlari


 

Ruangan Iklan




RSS Feed

Pengisian Terkini Pengisian Terkini

Statistik

Site Meter

Pelawat

Now online:
  • 8 guests

Komen Terbaru

You are here: Senarai Lengkap Artikel Bahasa Articles Gelaran Buruk & Gelaran Haji dan Hajjah