Senarai Lengkap Artikel Bahasa Articles Sekatan Yang Membantut Perbankan Islam

Sekatan Yang Membantut Perbankan Islam

  • PDF
(11 votes, average 4.82 out of 5)

Sekatan Yang Membantut Perbankan Islam

Oleh

Zaharuddin Abd Rahman

www.zaharuddin.net

 

under_pressure.jpg

 

Bank-bank Islam yang wujud di Malaysia terbahagi kepada dua jenis. Pertamanya adalah bank-bank Islam yang dikuasai sahamnya oleh bank-bank konvensional selaku parent bank, yang mana bank-bank konvensional ini menyediakan peruntukan kewangan khas untuk mendaftarkan anak syarikat atas nama dan lesen bank Islam. Fatwa dari para ulama Fiqh sedunia meresolusikan hal penubuhan sebegini tidak bermasalah dari sudut hukum Shariah, malah digalakan sebagai proses pemulihan dan penubuhan awal bank-bank Islam. Namun kawalan sentiasa diperlukan bagi memastikan prosesnya berterusan menepati kehendak hukum.

Jenis kedua adalah bank-bank Islam yang mana saham utamanya dimiliki oleh bank-bank Islam atau institusi Islam sama ada dalam dan luar negara, contohnya adalah bank seperti adalah Bank Islam Malaysia Berhad, Kuwait Finance House, Ar-Rajhi Bank dan Asian Finance Bank Berhad.

Manakala jenis ketiga pula bukanlah ‘Bank Islam', atau dalam kata lainnya tidak termasuk sebagai full fledge bank Islam sebagaimana dua kategori di atas, ia hanyalah ‘windows' atau ‘Kaunter Perbankan Islam' yang duduk di dalam bank konvensional. Ibaratnya seperti Kedai arak yang turut menyediakan minuman halal seperti air mineral. Hal ini juga tidaklah menjadi isu dari sudut hukum, kerana umat Islam masih dibenarkan untuk membeli belah di kedai yang menjual barangan haram, selagi mana barang yang dibeli adalah barangan halal. Ia adalah hukum yang jelas dan dipersetujui oleh majoriti ulama Islam berdasarkan nas-nas dan dalil yang jelas.

Perlu diingat, ketiga-tiga jenis penyedia perkhidmatan Islam di atas dibenarkan beroperasi hanya setelah mereka mempunyai Majlis Penasihat Shariah yang berkelayakan dan dipersetujui oleh Bank Negara Malaysia.

Selain itu, ketiga-tiga jenis entity di atas juga mestilah menepati syarat-syarat bagi diiktiraf halal dan penyedia khidmat kewangan Islam yang boleh beroperasi di Malaysia. Syaratnya cukup panjang dan terperinci (tidak akan disentuh dalam artikel ini). Audit juga akan dilakukan dan ia dikendalikan oleh para pegawai audit dari Jabatan Perbankan Islam dan Takaful, Bank Negara Malaysia dan juga Auditor Shariah yang lain.

ISU DAN KEKURANGAN MEMANG WUJUD

Jika ada isu dan pertikaian sekalipun, semuanya sentiasa cuba diatasi dari semasa ke semasa. Masa diperlukan untuk memulih dan mengatasi semuanya. Memang tidak dapat dinafikan, pelbagai cabaran dan halangan sentiasa melintang di hadapan perbankan dan khidmat kewangan Islam khususnya apabila berada di dalam rangka perbankan dan undang-undang konvensional yang telah menapak di Malaysia dan dunia sejak berratus tahun lalu. Namun, kesempurnaan hanya boleh muncul melalui proses dan langkah demi langkah. Ia bukanlah tugas yang mudah yang boleh diubah sekelip mata oleh pengurusan perbankan Islam, perubahan memerlukan kerjasama dan persediaan lengkap dari sudut tenaga kerja, peguam, undang-undang-undang, polisi, kuasa politik dan sebegainya. Ia sama sekali tidak semudah kritikan-kritikan membunuh yang sering disebarkan tanpa tanggungjawab dan kefahaman berkenaan peruntukan dalam ilmu Usul Fiqh, Maqasid al-Shariah dan Fiqh Islam.

Justeru, sebarang tuntutan dan desakan kesempurnaan perlu sentiasa mengambil kira kaedah-kaedah Fiqhiyah dan konsep tadarruj di dalam Islam. Pihak ilmuan Syariah tempatan dan para penasihat Syariah sebenarnya TELAH DAN AMAT memahami isu-isu yang kerap dilontarkan oleh masyarakat ramai, khususnya pihak cendiakawan di Universiti-universiti dalam dan luar negara. Namun perlu diingat, sebahagiannya masih belum mampu DISEMPURNAKAN dek kerana kekangan yang mana sebahagiannya di luar bidang kuasa bank-bank Islam.

Pakar-pakar dan ulama Fiqh yang terlibat dalam melahirkan dan memajukan perbankan Islam di seluruh dunia amat memahami usaha penambahbaikan sentiasa diteruskan. Dalam masa yang sama, masyarakat Islam di hadapan mata hari ini mesti dibantu, perkhidmatan kewangan Islam walau masih serba serbi kurang mesti mula diperkenalkan dan ditawarkan kepada masyarakat sebagai langkah awal. Jangan sampai cita-cita ingin membina rumah di atas bulan tetapi tiada sebarang langkah awal dimulakan. Atas dasar itu, usaha awal mesti diteruskan dan diperbaiki sedaya mungkin.

TOPIK UTAMA ARTIKEL INI ADALAH ..

Namun, salah satu cabaran yang terpaksa ditempuhi oleh bank-bank Islam khususnya yang wujud sebagai anak syarikat perbankan konvensional adalah kekangan dan bank konvesnional dikatakan sengaja menyekat perkembangan perbankan Islam. Sememangnya perbankan konvensional ini menganggap perbankan Islam selaku pesaing atau ‘competitor'. Mereka sentiasa bersaing untuk menunjukkan mereka lebih credible dan efisyen berbanding perbankan Islam. Malah kerap muncul usaha-usaha mereka yang mengganggu gugat kedinamikan perbankan Islam, walau ia berada di bawah naungan dan payung yang sama.

Jika pembaca terasa ragu berkenaan modal asas perbankan Islam yang bersumberkan perbankan konvensional, isu tersebut telah saya ulas sebelum ini . Kesimpulannya ia bukanlah suatu isu Syariah dan bukan juga isu yang ingin disentuh dalam artikel ini.

Isunya kini adalah tekanan yang disengajakan oleh sebahagian bank-bank konvensional terhadap anak syarikat (bank Islam) atau di bawah payung dan naungan parent company yang sama, hanya kerana syarikat ini berjuang atas nama Bank Islam. Ini yang dikesalkan, saya telah agak lama mendengar luahan dan kekesalan ini, namun hari ini saya menulis isu ini apabila seorang Ketua Pegawai Eksekutif Perbankan Islam, dengan beraninya tampil menyatakan kritikan dan luahan secara rasmi di media. Atas kapasiti dan autoriti beliau, amat relevan bagi saya untuk memanjangkan luahan yang sama oleh ramai Head, Islamic Banking Division yang berada di bawah bank-bank konvensional dan juga Ketua Pegawai Eksekutif, bank-bank Islam yang berada di bawah naungan syarikat konvensional.

Saya sendiri mempunyai pengalaman bertugas di bank Islam tempatan dan luar negara serta berkhidmat selaku Penasihat Shariah bagi beberapa buah yang lain. Apa yang didedahkan sememang benar, jika tidak bagi semua bank-bank tetapi itulah situasi yang berlaku bagi majoritinya.

PENDEDAHAN CEO KUWAIT FINANCE HOUSE

Pendedahan Puan Jamelah Jamaludin, CEO, Kuwait Finance House yang disertakan di bawah adalah amat penting. Kesan dari itu, usaha-usaha dari pihak pemegang polisi dan sesiapa juga yang bertanggungjawab adalah amat perlu bagi memastikan perkembangan bank-bank Islam tidak terbantut dan tersekat akibat dari kecemburuan bank-bank konvensional.

Menurut statistic 2009 oleh Bank Negara Malaysia, perkembangan bank-bank Islam sejak 7 tahun lalu, kekal berada lebih aktif berbanding konvensional. Market share seluruh perbankan Islam di Malaysia pula masih hanya berada sekitar 19 % berbanding konvensional yang menguasai bakinya.

Semoga ada insan yang bertanggungjawab dan berkuasa digerakkan hatinya oleh Allah ta'ala untuk membantu menyelesaikan masalah ini. Moga dengannya perbankan Islam di Malaysia mampu berkembang lebih pantas bagi mengeluarkan umat Islam dari penjara dosa riba yang diharamkan.

Sekian

 

Zaharuddin Abd Rahman

www.zaharuddin.net

12 April 2010

 

 

Berikut adalah petikan wawancara Puan Jamelah Jamaluddin:

 

jamelah.jpg

 

Hasrat saya tersekat - Jamelah

Utusan Malaysia 12 Apr 2010

KUALA LUMPUR 11 April - Tindakan bank-bank konvensional mengekang operasi bank cawangan Islam yang menjadi anak syarikat mereka, dilihat membantutkan entiti itu daripada berkembang.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Kuwait Finance House (M) Bhd. Jamelah Jamaluddin, pengalamannya menunjukkan terdapat kecenderungan yang sedemikian di kalangan bank- bank konvensional di negara ini.

Jamelah, bekas Pengarah Urusan RHB Islamic Bank Bhd. berkata, masalah itu menyebabkan beliau memilih untuk meninggalkan kumpulan perbankan berkenaan.

Sambil menegaskan beliau tidak mempunyai masalah lain dengan pihak pengurusan atasan, Jamelah berkata: ‘‘Bank Islam itu cuma anak syarikat (bank konvensional), cuba jika sebaliknya, ia akan wujud kelainan, lain cara layanan dan pengurusannya dan ia (bank Islam) akan berkembang.

‘‘Pada masa ini, jika kita (bank cawangan Islam) mahu berkembang, kita akan kena ‘ketuk'. Bagaimana, kita boleh berkembang?, soal beliau.

Jamelah berkata, masalah berkenaan perlu dilihat secara serius tetapi malang terdapat pihak yang cuba menafikannya.

‘‘Ini dialami oleh semua CEO yang berada dalam bank Islam yang menjadi anak syarikat bank konvensional.

‘‘Apa yang saya bimbang selepas ini tiada siapa lagi mahu menjadi CEO mana-mana bank Islam lagi,'' kata Jamelah. Berikut adalah transkrip penuh temu bual beliau dengan wartawan Utusan Malaysia, AZMAN IBRAHIM di sini baru-baru ini.

UTUSAN: Kenapa saudari lebih banyak low profile ketika menerajui bank Islam di bawah Kumpulan RHB berbanding Kuwait Finance House (KFH) sebelum ini?

JAMELAH: Secara jujurnya, saya fikir ia adalah disebabkan persekitaran yang wujud di situ. Kumpulan perbankan di Malaysia mempunyai dua bentuk perbankan - Konvensional dan Islam. Jika dibandingkan kedua-duanya dibaratkan jauh panggang dari api.

Bank konvensional itu lebih besar dan lama atau tua sifatnya. Jadi dalam situasi macam itu, anda boleh fikir siapa kawal siapa? Sudah tentu bank konvensional kawal bank Islam.

Jadi, kebanyakan apa yang ingin saya lakukan di dalam perbankan Islam mendapat tentangan daripada pihak yang berada dalam bank konvensional. Itu bukan hanya masalah saya sahaja sebenarnya. Ini dialami oleh semua CEO yang berada dalam bank Islam yang menjadi anak syarikat bank konvensional.

Jadi, saudari mengatakan wujud kekangan (untuk melakukan sesuatu) dalam operasi mana-mana bank Islam yang berada di bawah kumpulan bank konvensional?

Ya, semua bank Islam yang menjadi anak syarikat bank konvensional di Malaysia. Saya merasakan terdapat tekanan dalam mengurus perbankan Islam. Meskipun kita memiliki orang yang terbaik untuk mengendalikannya tetapi mereka tidak dapat ke depan. Ini kenyataan dan pastikan anda menyiarkannya.

Boleh saudari jelaskan lebih lanjut?

Kumpulan perbankan yang memiliki sistem perbankan konvensional sendiri merupakan penyebab kenapa bank Islam di bawahnya tidak dapat bergerak. Bank Islam itu cuma anak syarikat, cuba jika ia sebaliknya, ia akan wujud kelainan, lain cara layanan dan pengurusannya dan ia akan berkembang. Pada masa ini, jika kita (bank cawangan Islam) mahu berkembang, kita akan kena ‘ketuk'. Bagaimana, kita boleh berkembang?

Tidakkah saudari bimbang mengeluarkan kenyataan ini?

Saya sangat serius. Ini merupakan masalah yang setiap orang cuba menafikannya.

Adakah wujud tekanan ketika menerajui bank Islam yang berada dalam kepompong kumpulan konvensional?

Saya pernah berkerja bank Islam (maksud saya 100 peratus bank Islam bukan di bawah bank konvensional) dan dilatih di bawah persekitaran itu. Jadi, semasa saya berada di sana, budaya kerja itu sudah jadi lain. Di sana, kita jadi pengikut bukan pengasas. Itulah perbezaannya.

Jadi saudari gembira untuk kembali KFH?

Oh! semestinya.

Tidak takut bahawa kenyataan ini kontroversi sifatnya?

Saya bersedia untuk berdiri dan berjuang dengan kenyataan yang dikeluarkan dan saya juga berasa gembira diberi peluang untuk mengemudi semula KFH. Saya berpendapat semua CEO bank Islam (di dalam kumpulan bank konvensional) perlu melaksanakan perbankan Islam sepenuhnya. Mereka tidak boleh bergerak sebagai hanya bank cawangan Islam. Apa yang saya bimbang selepas ini tiada siapa mahu menjadi CEO mana-mana bank Islam lagi.

Ini merupakan pengalaman pertama saudari berkhidmat di bank Islam yang menjadi anak syarikat bank konvensional. Tidakkah ia mengecewakan?

Saya kecewa kerana apa yang berlaku bukan masalah pemimpin dalam bank cawangan itu sendiri, tetapi institusi yang berada di sekelilingnya. Saya berharap orang dapat baca kenyataan ini dan semua CEO bank Islam tahu dan sedar mengenai perkara ini.

Adakah saudari memilih untuk berpindah ke KFH kerana isu pilih kasih atau gender?

Tidak. Di sana tidak wujud masalah itu, begitu juga di KFH. Malah, di KFH, saya merupakan ketua pegawai eksekutif wanita pertama. Saya terkejut masalah (gender) itu tidak wujud. Rasa hormat juga ada. Cuma, ketika bekerja di bank cawangan Islam, pihak konvensional sahaja tidak mahu kami bergerak.

Kini, saudari kembali berada di KFH, apakah misi yang ingin dicapai?

Saya akan meneruskan perjuangan kami menjadi bank yang mematuhi prinsip Syariah sepenuhnya. Saya mahu KFH terus berkembang dan memberi pulangan yang baik kepada pemegang saham. KFH juga akan dijadikan lebih inovatif dalam menawarkan produk-produk kewangan berasaskan Islam.

 



Add this page to your favorite Social Bookmarking websites

Add comment


Security code
Refresh

Pengumuman

Wang, Anda dan Islam
Panduan Perbankan Islam

Untukmu Wanita

 
Untukmu Umat
Formula Solat Sempurna
Murabahah
 A Comprehensive Prayer FormulaContracts and The Products of Islamic Banking
Akidah dan IbadatRiba
cover_maqasid_arab 
Money, You and Islam
 cover_bicaralah_new ledakan_FB 
indahnya_hidup_politikcover_jangan_berhenti_berlari


 

Ruangan Iklan




RSS Feed

Pengisian Terkini Pengisian Terkini

Statistik

Site Meter

Pelawat

Now online:
  • 15 guests

Komen Terbaru

You are here: Senarai Lengkap Artikel Bahasa Articles Sekatan Yang Membantut Perbankan Islam