Jawatan Melalui Bantuan ‘Kabel'
Oleh
Zaharuddin Abd Rahman
SOALAN
Saya mempunyai satu kemusykilan mengenai hukum rezeki yang diperolehi apabila mendapat kerja bukan atas kelayakan tetapi atas dasar direkomenkan oleh pihak atasan. Apakah hukum bagi pihak atasan yang telah merekomenkan B walaupun pada dasarnya B tidak memenuhi syarat kelayakan utk jawatan tersebut seperti calon lain? Apakah hukum pendapatan B kerana secara terang-terangan mengetahui yang dia mendapat jawatan tersebut di atas rekomen pihak atasan? Mohon penjelasan dari pihak ustaz bagi mengelakkan kekeliruan dalam mendapatkan rezeki yang halal.
JAWAPAN
Dalam hal teknik mendapatkan kerja, ada hak yang sememangnya dinikmati oleh majikan atau pengurusan atasan. Jika tindakan pengurusan atasan masih dalam lingkungan ini tanpa dipengaruhi oleh rasuah dan sogokan. Pada penilian saya, tiada sebarang kesalahan juga dari pandangan hukum Fiqh Islam.
Allah swt menyebutkan:
إنَّ خَيْرَ مَنِ اسْتَأْجَرْتَ الْقَوِيُّ الْأَمِينُ
Ertinya : sesungguhnya orang yang paling baik yang kamu ambil untuk bekerja (pada kita) ialah orang yang kuat lagi dapat dipercaya ( Al-Qasas : 26)
Berdasarkan ayat terbabit, majikan berhak memilih pekerjanya, namun ayat tersebut membawa mesej, sebaik-baik cara pemilihannya adalah berdasarkan kualiti, merit dan amanah.
Pun begitu, sebagaimana kita faham, apabila ia dimaksudkan ‘terbaik' maka, terdapat cara lain yang masih dianggap ‘baik', tidak buruk dan tidak juga tergolong dalam larangan. Iaitu pemilihan berdasarkan sebab-sebab selain merit tetapi munasabah menurut adat dan praktis yang sihat.
Namun begitu, ia tertakluk juga kepada jenis syarikat. Jika ia sebuah syarikat persendirian, kebebasan dan hak majikan adalah LEBIH BESAR berbanding jika syarikat yang dimaksudkan adalah sebuah syarikat awam atau dimiliki oleh kerajaan.
SYARIKAT SWASTA
Bagi syarikat swasta atau persendirian, preference atau pemberian keutamaan atau rekomen ke atas seseorang calon pemohon pekerja yang dilakukan oleh majikan sama ada oleh Pengurus Besar yang melaksanakan proses interview, atau CEO atau Lembaga Pengarah adalah dibenarkan di dalam Islam iaitu selagi mana keutamaan itu didasari oleh sebab yang munasabah.
Tetapi jika ia disebabkan kerana calon itu lebih seksi, pandai menggoda, punyai hubungan sulit terlarang dengan boss, atau apa jua sebab yang DIHARAMKAN, tatkala itu keutamaan dan cara pemilihan itu turut menjadi haram.
Jika didasari sebab munasabah seperti kerana agamanya, hubungan kerabat, bangsanya, aliran politiknya, kenalan silam, bangsanya dan yang sepertinya, saya kira ia masih di dalam hak majikan. Sekali lagi diingatkan, itu adalah dalam situasi pengambilan pekerja bagi syarikat persendirian.
Pengambilan bekerja adalah berdasarkan kontrak ujr ‘ala amal (upah atas tugas), dalam hal ini, ia serupa dengan kontrak wakalah (agen) dimana kita bebas untuk memilih siapa yang ingin dijadikan wakil kita, berdasarkan preference kita yang tersendiri. Demikianlah juga majikan bebas meletakkan keutamaan tersendiri dalam penilaian perlantikan pekerja di bawah mereka.
Jika calon dipilih kerana dia merupakan anak pengerusi dan pengasas syarikat tersebut yang diharapkan menyambung legasi keluarganya. Sudah tentunya ia tiada sebarang masalah dari sudut hukum walaupun calon terbabit kurang kelayakan berbanding pemohon-pemohon lain. Pada hemat saya, tiada isu pemohon lain dizalimi dalam konteks ini. Ia sama sepeti pemberian sedeqah, walaupun di luar sana masih ramai yang mungkin memerlukan dan juga miskin, kita masih digalakkan oleh Islam untuk mendahulukan ahli keluarga yang juga misikin dan memerlukan berbanding orang luar Sebagaimana hadis nabi s.a.w :
الصدقة على المسكين صدقة وهي على ذي الرحم ثنتان صدقة وصلة
Ertinya : Sedeqah kepada orang miskin mendapat satu sedeqah, namun apabila diberi kepada yang punyai pertalian (kerabat), dua pahala iaitu satu sedeqah dan satu lagi adalah merapatkan hubungan ( Riwayat At-Tirmidzi : Hadis Hasan)
Sebagai tambahan kepada hadis di atas, satu analogi mudah; selaku pemilik rumah, kita bebas memilih kontrator mana untuk kita pilih bagi menyiapkan renovasi rumah kita. Sama ada kita memilih atas dasar hubungan rakan atau skill, ia semuanaya terpulang kepada kita. Katalah kita memilih kontraktor atas dasar dia merupakan kenalan rapat kita, mengenepikan skill, ia dibenarkan dan tiada paksaan dalam hukum Islam untuk kita mendahulukan skill dan merit dalam segala-galanya. Namun apabila kita mengurangkan penilaian terhadap skill, kita perlu menimbang tara kesan kebaikan dan keburukan yang mungkin bakal berlaku terhadap hasil kerja yang disiapkan kelak. Mungkin sebahagiannya terpaksa kita tolak ansur.
Tetapi, jika sesebuah syarikat swasta berfungsi mengendalikan apa sahaja yang melibatkan kegunaan masyarakat umum seperi proses pembinaan lebuhraya, stadium, kompleks membeli belah dan apa jua yang melibatkan KEPENTINGAN RAMAI. Dalam Fiqh Islam skill, merit, pengalaman, kemampuan dan kepakaran MESTI diutamakan berbanding yang lain kerana menggadaikan hal itu kerana mengutamakan sebab-sebab lain bakal membawa mudarat besar kepada orang ramai.
SYARIKAT AWAM
Perbincangan di atas mungkin berbeza, jika ia adalah sebuah syarikat awam (public listed) atau syarikat milik kerajaan, semua pemohon tidak patut didiskriminasi hanya kerana aliran politik, kerabat dan sebagainya. Tatkala itu majikan MESTI PATUH kepada syarat utamanya iaitu merit. Itu mesti dijadikan sebagai ukuran utama.
Ketika itu, faktor-faktor lain mestilah tidak menjadi faktor penentu tetapi hanya faktor penyokong sahaja. Ini jelas, kerana apabila ia sebuah syarikat tersenarai di bursa (iaitu syarkat senarai awam), tentunya majoriti pemilik syarikat mementingkan prestasi. Prestasi memerlukan merit dan skill.
Demikian, syarikat kerajaan, yang mesti memberikan keutamaan secara adil kepada calon dan pemohon. Kecuali jika ia mempunai kuota atas dasar bangsa, itu pterpulang kepada polisi umum kerajaan dan bukan berdasarkan penilaian dan keutamaan peribadi dari seseorang seperti ketua jabatan atau pegawai yang menemuduga.
KESIMPULAN
Berdasarkan kepada penjelasan di atas, jika dirujuk kembali kepada soalan, perkara pertama yang perlu disemak adalah jenis syarikat dan tugasan yang bakal dipikul oleh calon terbabit.
Jika ia syarikat swasta, pada asasnya, majikan berhak berbuat demikian, selagi mana tugasan yang bakal dipikul oleh calon kurang kelayakan itu tidak memebabitkan kerja bagi masyarakat umum, kerana bimbang mudarat ke angatas mereka.
Jika syarikat yang dimaksudkan adalah syarprikat milik kerajaan, awam atau Goverment Link Companies (GLC), ketika itu tindakan memberi keutamaan kepada calon tidak berkelayakan adalah suatu KESALAHAN.
Gaji pekerja yang berjaya terpilih berdasarkan kaedah SALAH mungkin terjejas dari sudut halalnya jika dia sendiri mengetahui dia dipilih melalui cara yang salah. Jika dia selepas itu, mempertingkatkan usaha dan ilmu sedaya upaya bagi memperbaiki kelemahannya dan setersunya meningkatkan skill dan merit ke tahap yang diperlukan status bermasalah (syubhah) gaji tadi, tentunya kembali ke status HALAL. Kerana asal gajinya menjadi syubhah adalah pemilihan berdasarkan sokongan tidak sihat seseorang yang tidak boleh diterima sedangkan dirinya kekurangan skill dan merit sepatutnya. Justeru, apabila dia berjaya memulihkan masalah ‘kurang skill' itu, tatkala itu, semua akan berubah Sebagaimana boleh difaham dari kaedah Fiqh :-
إذا زال المانع عاد الممنوع
Ertinya : Apabila hilangnya ‘sebab' kepada larangan, kembali yang dilarang ( menjadi harus)[1]
Dari kaedah di atas, boleh difahami, apabila pekerja yang dipilih walau tidak cukup kelayakan (kerana pemilihan dibuat atas sebab-sebab keutamaan yang tidak diterima), berjaya menghilangkan satu sebab utama (yang menjadikan tidak tidak layak sebelum ini), tatkala itu, jawatannya dikira kembali menjadi HARUS dan HALAL.
Namun begitu, tindakan pegawai terbabit yang melantik dengan cara yang salah tetap dikira suatu dosa atas kezaliman tindakannya atas ketidakadilan mengenepikan calon yang lebih layak serta melanggar polisi di ketika hari pemilihan.
Bagi calon yang dipilih tadi, jika dia sendiri tidak mengetahuinya sejak dari awal, dan kemudian menjalankan tugasannya dengan sebaiknya dan cemerlang. Ia sama sekali tidak menggugat status halal gaji sejak dari awal juga.
Akhirnya, bagi sesiapa yang telah mendapat kerja melalui jalan sebegitu, tidak perlu terlalu risau, apa yang perlu dilaksanakan kini adalah TINGKATKAN KUALITI sehingga berada di tahap yang sepatutnya dan banyakan bersedeqah, itulah kewajiban mereka.
Persoalan sama ada boleh menggunakan ‘kabel' bagi mendapat jawatan jika punyai kelayakan yang sama, dan sama ada itu adalah rasuah, haram atau harus menurut Fiqh Islam. InshaAllah akan dibincangkan dalam artikel yang lain.
Sekian
Zaharuddin Abd Rahman
www.zaharuddin.net
2 Ogos 2010
[1] Al-Madkhal Al-Fiqhi Al-‘Am, Syeikh Mustafa Az-Zarqa : Majallah al-Ahkam Al-‘Adliyyah, no 24
Add this page to your favorite Social Bookmarking websites