Menjelas Kekeliruan Berkenaan Penyaluran
Wang Dari Sumber Haram & Bercampur
Oleh
Zaharuddin Abd Rahman

Bermula dari isu sumbangan kerajaan Pulau Pinang kepada beberapa penerima, kelihatan timbul kekeliruan dan keserabutan dalam memahami letak duduk isu wang haram dan sumbangannya kepada kemaslahatan awam serta faqir dan miskin. Walau isu tersebut sudah padam dan tenggelam. Namun masih ada kekeliruan yang belum terjawab, akibatnya, ada yang berkata :-
“Jika harus diberikan wang haram itu kepada faqir miskin, maka bolehlah kita teruskan aktiviti haram itu kerana hasilnya masih boleh dimanfaatkan”
“Kerana hukumnya harus, maka mana-mana kerajaan pun yang naik selepas ini, mereka masih boleh membiarkan aktiviti haram”
“oo..bolehlah kita beri lagi banyak lesen kepada pusat judi, pelacuran dan riba, sebab untung mereka lebih besar dan kemudian kita boleh ambil manfaat dari harta mereka untuk membiayai faqir miskin dan pembangunan negara”.
Jika itulah kefahaman sebahagian pembaca selepas membaca hujjah-hujjah para ulama mazhab yang silam dan kontemporari, maka mereka sebenarnya sungguh terkeliru.
Memang benar, tulisan saya yang lalu menjelaskan fatwa ulama silam dan kontemporari berkenaan harusnya kumpulan faqir, miskin dan kemaslahatan awam termasuk warga emas yang memerlukan menerima sama ada wang dari kerajaan negeri atau pusat walaupun ia datang dari hasil keuntungan judi, riba dan lain-lain aktiviti haram.
Namun apa yag sangat perlu difahami begini :-
Konteks sebenar yang disebut oleh para ulama mesti difahami dengan tepat. Kesemua mereka memberikan fatwa tersebut ketika mengulas kemanakah perlu disalurkan hasil harta-harta haram yang berada didalam pemilikan individu. Konteksnya adalah, sekiranya seseorang itu TELAH memperolehi wang haram sama ada hasil judi, perniagaan haram, pelaburan haram dan kini ingin bertaubat, maka kemanakah patut disalurkan wang tersebut?, Adakah ia perlu dilupuskan atau dibakar atau dibuang debunya ke dalam sungai dan lautan.?
Jawapannya mudahnya, telah hampir sepakat seluruh ulama mengatakan melupuskannya seperti cara di atas, tanpa memberi manfaat kepada sesiapa pun adalah bercanggah dengan pelbagai dalil, Maqasid Shari’ah dan logik aqal. Ini adalah kerana dosa perolehan harta haram itu adalah bersifat hukmi dan bukan ‘aini (jisim).
Berbeza jika kiranya barang yang dimiliki itu adalah haram pada ‘ain dan zatnya seperti sebotol berisi arak, semangkuk sup daging babi, sepotong daging kambing tidak sembelih untuk makan tengahari dan yang sepertinya. Ketika itu, barulah hukumnya wajib melupuskannya dengan cara buang serta diharamkan untuk diberikan kepada sesiapa jua, termasuk menjualnya, menjadikan bahan perhiasan, walaupun kepada orang bukan Islam. Demikian menurut hadis :-
نهانا رسول الله صلى الله عليه وسلم أن نشرب في آنية الذهب والفضة وأن نأكل فيها، وعن لبس الحرير والديباج وأن نجلس عليه، وقال: هو لهم (أي للكفار) في الدنيا ولنا في الآخرة
Ertinya : Rasulullah Sallahualahiwassalam telah melarang kami makan dan minum dari bekas yang diperbuat dari emas dan perak, dan memakai (kaum lelaki) pakaian dari sutera dan juga menggunakannya untuk alas duduk, baginda juga berkata : itu semuanya untuk orang kafir di dunia, dan kita hanya dibenarkan di Syurga kelak. ( Riwayat Al-Bukhari).
Berasaskan dari hadis terbabit, lalu para ulama membuat kesimpulan sebuah kaedah iaitu :-
وما حرم استعماله حرم اتخاذه تحفة وزينة
Ertinya : dan apa-apa yang diharamkan penggunaannya, diharamkan juga mengambilnya sebagai barangan yang disayangi (barang dianggap berharga = masterpiece) dan perhiasan. ( Al-Halal Wal Haram Fil Islam, Dr Yusuf Al-Qaradawi)
Dan juga petunjuk jelas dari hadis ini :-
عن أنس عن أبي طلحة رضي الله عنهما قال: قلت يا رسول الله إني اشتريت خمرا لأيتام في حجري فقال صلى الله عليه وسلم :أهرق الخمر واكسر الدنان
Ertinya : dari Anas dari Abi talhah (r.a) berkata : aku berkat kepada Rasulullah : wahai Rasulullah aku telah terbeli arak untuk anak yatim yang didalam peliharaanku. Baginda memberikan arahan “ Musnahkan arak tersebut dan pecahkan bejana-bejananya” ( Riwayat At-Tirmizi : Hadis Hasan menurut Ibn Hajar & Albani)
Menurut huraian para ulama, sahabat yang membeli tersebut berniat untuk memeramkan arak terbabit sehingga ia bertukar sifat dan kemudian memanfaatkannya, tetapi itu juga dilarang oleh Nabi s.a.w. Ada juga ulama yang mentafsirkannya, sahabat tersebut membelinya sebelum turun wahyu pengharaman arak. Terdapat dalil lain pula yang menyebut anak-anak yatim tersebut mewarisi arak-arak dari ibu bapa mereka yang meinggal dunia, lalu apabila ditanya kepada nabi sama ada ia boleh diperam sehingga bertukar sifat, tetapi baginda tidak membenarkannya.[1]
Dari hadis di atas dan pelbagai dalil lain membuktikan pemilikan harta yang haram secara zat mesti dilupus, dihapus dan dibuang.
HARAM SECARA HUKMI
Manakala, harta haram secara hukmi ( menurut hukum kerana caranya bercanggah dengan Shari’ah seperti judi, rasuah, rompak, riba dan lain-lain) yang dimiliki individu adalah HARAM digunakan untuk dirinya sendiri dan keluarganya.
Bagaimanakah cara melupuskannya?
Cara melupuskannya adalah dengan menyalurkannya sama ada kepada Baitul Mal, pusat zakat atau terus kepada faqir dan miskin. Itulah konteksnya.
Bagaimana jika ia adalah sebuah negara atau negeri?
Jawabnya, cara pelupusan yang sama terpakai untuk sesebuah negara atau kerajaan. Setiap hasil cukai dan pendapatan dari hasil yang haram. Pemerintah yang bertanggungjawab mestilah menyalurkannya kepada faqir, miskin dan kemaslahatan awam, menurut nilai jumlah pendapatan itu. Itulah kaedah dan cara untuk mereka melupus dan menggunakannya.
Ini kerana harta haram tersebut, jika terus dibiar berada dalam pemilikan individu, ia bakal merosak keberkatan kehidupannya dan rezekinya.
Di peringkat Negara, membiarkan negara bergantung kepada hasil haram tanpa justifikasi yang betul dari sudut hukum Shari’ah, akan menjerumuskan pemimpin ke dalam kehinaan, dosa dan balasan azab pedih di akhirat.
Justifikasi yang dimaksudkan di atas adalah, sesebuah kerajaan pimpinan Islam DIBENARKAN meluluskan sesuatu yang diterima oleh agama lain dengan syarat ia khusus untuk penduduk setempat itu. Dalam masa yang sama kerajaan dibenar untuk mengutip cukai hasil pemberian lesen itu.
Contohnya, dalam sesetengah agama, arak adalah dibenarkan, justeru pemerintah Islam menghormati kebenaran itu, justeru para ulama menyatakan keharusan bagi kerajaan meluluskan pembukaan kedai arak yang khusus untuk penganut agama terbabit sahaja. Itulah namanya siyasah syariyyah.Demikian statusnya dengan babi dan makanan tidak sembelih, disebabkan agam mereka membenarkan, kerajaan Islam mestilah membenarkan pembukaan kedai jual babi, penternakan babi, dan gerai-gerai yang menjual makanan tidak sembelih setelah dipohon oleh penganut agama yang membenarkan, namun secara terhad dan berhati-hati. Dalam masa yang sama, kerajaan boleh mengenakan cukai biasa dari lesen dan cukai dari perniagaan itu.
Hasil sebegitu, walau kelihatan kotor, tetapi dari sudut pandangan Islam, ia adalah harus diterima oleh baitul mal bagi sesebuah kerajaan pemerintahan Islam, dibenarkan pula untuk diagihkan kepada kemaslahatan umum dan faqir miskin tanpa sebarang syubhah. Walau bukan dari akaun dan tabungan negara yang berasingan.
YANG DISEPAKATI HARAM
Namun begitu, perlu diingat tiada sebarang agama yang mengharuskan pelacuran, pengurusan kewangan riba dan perjudiaan. Sebarang kebenaran bagi pembukaan premis sebegitu dan pengambilan cukai darinya adalah haram. Apabila ia masuk ke dalam pendapatan negara. Keberkatan dalam negara akan hilang, tatkala itu, ia memerlukan kepada proses pembersihan. Menurut perspektif Islam, jika tidak dibersihkan, bebanan hukuman haram itu, akan ditanggung oleh pemerintah terbabit.
Justeru, dalam keadaan itu, dosa sudah terlekat di bahu pemerintah jika dia Muslim, jika dia bukan Islam. Ia di luar perbincangan kita.
Namun walau ia berdosa di bahu pimpinan, setelah dan jika diperolehi wang itu, kemana boleh disalurkannya? Kemanakah saluran yang tepat dari sudut pandangan Islam?. Wang dari sumber haram boleh berganda haramnya jika tidak disalurkan dengan betul..!
Sekali lagi, saluran terbaik menurut dalil dan perbincangan ulama dalah kemaslahatan umum, faqir dan miskin. Golongan ini sentiasa diharuskan oleh Islam untuk menerima wang dari sebarang hasil atas kapasiti mereka selaku faqir, miskin dan sangat memerlukan. Justeru mereka adalah penerima harta sumbangan kerajaan dan individu secara yang sah dan syar’ie dari sudut pandangan Islam. Tiada syubhat untuk mereka menerimanya dan tidak lagi haram. Sebarang momokan yang mengatakannya syubhat dan haram adalah kegagalan dalam memahami dalil dan fatwa mazhab yang empat.
IA ADALAH GALAKAN KEPADA INDUSTRI HARAM?
Tidak sama sekali! Jika difahami sebegitu, pembaca terbabit silap memahami konteks.
Fatwa keharusan untuk disalurkan kepada tiga kumpulan tadi bukan merupakan satu galakan, sokongan atau sengaja membiarkan pimpinan meluluskan premis jualan arak, perjudian, pelacuran, riba dan sebagainya.
Pimpinan itu tetap berdosa meluluskan sesuatu aktiviti sedemikian tetapi fatwa keharusan itu adalah suatu pemberitahuan kaedah pelupusan sumber wang haram yang diperolehi oleh individu dan kerajaan. Bagi melepaskan bebanan haram yang sedang ditanggung oleh negara dan individu.
KESIMPULAN
Hasil dari itu, perlu dijelaskan sekali lagi iaitu :-
1. Memahami perbezaan di antara aktiviti haram (menurut Islam) tetapi diluluskan oleh agama lain dan yang tidak diharuskan oleh semua agama. Aktiviti pertama boleh sesebuah kerajaan mengambil hasil darinya, manakala yang kedua tidak dibenarkan, namun jika telah bertapak sekian lama dan terus menerus memberi hasil dalam bentuk cukai kepada kerajaan, cara penggunaannya yang tepat adalah kepada tiga kumpulan iaitu kemaslahatan awam, faqir dan miskin. Ia dibuat bagi tujuan pembersihan diri bagi individu dan Negara.dan perlu ada usaha untuk menamatkan perkembangan industri haram terbabit walau secara beransur-ansur.
2. Pelupusan harta dari sumber haram adalah dengan cara menyalurkan kepada tiga kumpulan tadi dibuat BAGI TUJUAN PEMBERSIHAN DIRI SENDIRI DI PERINGKAT INDIVIDU DAN PEMBERSIHAN HARTA NEGARA. Proses pembersihan ini amat perlu bagi mendatangkan berkat dan kemakmuran dalam diri, rumah tangga, masyarakat dan Negara.
3. Cadangan pelupusan itu BUKANLAH MEMBAWA MAKSUD MENGGALAKAN INDIVIDU DAN KERAJAAN TERBABIT DAN TERUS MENERUS MENDAPATKAN HASIL DARI AKTIVITI HARAM, sama ada dengan memberi lesen terus memakmurkannya. Jika selepas pelupusan, mereka tetap perolehan haram itu, ia akan merosakkan hati dan membawa dosa ke atas pelakunya dan pengutip keuntungan itu.
Tatkala itu, jika di peringkat individu, AHLI KELUARGA YANG LAIN WAJIB menegur. Manakala di peringkat kerajaan sebagaimana diajar oleh nabi, wajib pula ahli kepimpinan yang lain atau penyokong-penyokong mereka untuk menegur. Jika teguran tidak dilakukan, dosa terbabit dikongsi bersama oleh pimpinan lain dan penyokong, berdasarkan banyak dalil, antaranya hadis nabi.
ومن دعا إلى ضلالة كان عليه من الإثم مثل آثام من اتبعه إلى يوم القيامة ، لا ينقص ذلك من آثامهم شيئا
Ertinya : Barangsiapa yang menyeru atau mengajak ke arah sesuatu yang sesat (dosa), dia akan menanggung dosanya sebagaimana dosa-dosa orang yang mengikuti ajakan dan seruannya sehinggalah hari kiamat, tidak terkurang dosa itu walau sedikit ( Riwayat Muslim & Ibn Majah )
“Ustaz sebelum ini sibuk mengajak orang makan makanan dan harta halal, tapi kali ini adakah ustaz ingin kumpulan faqir miskin itu memakan wang syubhat dan haram? Pelik sungguh..” kemudian dia membawakan senarai panjang hadis-hadis nabi yang mengarahkan kita menjauhi harta haram dan syubhat.
Ini adalah kekeliruan juga, saya sentiasa bersama kempen menjauhkan umat Islam dari syubhat dan haram sama ada dari judi, riba, penipuan, rasuah dan yang sepertinya.
Namun individu yang berkata di atas bercakap dan memahami dalam konteks yang salah. Ini kerana kita sedang bicara soal cara pelupusan yang memang bertujuan untuk membersihkan pemilik harta haram sama ada individu atau kerajaan. Ia bertujuan untuk membawa berkat dan tanda taubat mereka.
Untuk melakukan taubat itu, wang haram dan syubhat yang dimiliki perlu disalurkan kepada dipulangkan kepada mangsa (jika ia dicuri darinya). Namun jika tidak diketahui pemilik asal secara specifik, penerima yang dibenarkan hanyalah maslahat awam, faqir dan miskin.
Bagaimana untuk bertaubat jika kemaslahatan awam, faqir dan miskin juga tidak boleh menerima wang tersebut? tambahan pula dalam keadaan tidak diketahui pemilik asal harta terbabit. Adakah ingin dilemparkan ke dalam lautan atau dibakar? Itu sebuah pembaziran yang tidak perlu sebagaimana telah diterangkan di atas dan artikel sebelum ini.
Justeru, semua tulisan saya hanya membawakan pandangan ulama mazhab dan kontemporari dan mengajak kepada tatacara urusan wang secara halal dan tepat, menjauhi syubhat dan haram.
Ditegaskan sekali lagi, harta tadi tidak sama sekali menjadi haram dan syubhat ke atas penerima sama ada yang termasuk dalam golongan maslahat awam, faqir dan miskin. Justeru semua hadis yang cuba digunakan untuk penerima faqir miskin itu tidak relevan dan salah konteksnya sama sekali.
Harapnya, persoalan ini mampu difahami dengan baik oleh semua pembaca.
Sekian
Zaharuddin Abd Rahman
17 Oktober 2010
[1] Tuhfatul Ahwazi Syarah Sunan Al-Tirmidzi oleh Syeikh Al-Mubarakfuri, Bab menjual arak dan larangannya, no 1293
Add this page to your favorite Social Bookmarking websites





























Comments
Saya mempunyai seorang abg yang telah berkeluarga namun jatuh dalam golongan asnaf.. Maka saya ingin untuk menyalurkan bantuan zakat kepada beliau secara terus. Tapi bila disemak, tiada cara untuk mendapatkan perlepasan cukai sekiranya ia dibuat secara persendirian. Mohon nasihat ustaz cara yg terbaik bagi saya untuk memastikan nasib keluarga abang saya terbela kerana saya sendiri tidaklah begitu kaya jika amaun zakat tersebut tidak ditolak dari jumlah cukai pendapatan yg perlu dibayar nnt...
sekian.
UZAR : hal ini perlukan lebih detail untuk penyelesaian. perlukan discussion face to face, jika ada ruang waktu sila hubungi admin
D-0-8, Plaza Damas,
Jalan Sri Hartamas 1,
Sri Hartamas,
50480 Kuala Lumpur
T: (+6) 03 6201 1062
T: (+6) 03 6201 1063
F: (+6) 03 6211 642
untuk temujanji.
Apa hukumnya wang drp hasil riba sy salurkan ke dalam tabung anak yatim/masjid di kawasan rmh sy ?? lebih cepat n mudah.
Boleh ke ustaz?
Sy betul2 serba salah skrg ni. Nk serah ke baitulmal tidak tahu carenye..lg pn jumlahnye sedikit..
1 Orang yang belajar dan berilmu berdebat dengan orang [censored].
2 Orang yang belajar dan berilmu berdebat dengan golongan ulama.
Mari kita sama-sama belajar, tiada ilmu belajar dengan orang yang ada ilmu, ada ilmu jangan pula sengaja menguji ilmu kepada orang lain, tak ada ilmu untuk mempertikaikan isu lebih baik bertanya sahaja, dan janganlah kita tergolong dikalangan 2 golongan di atas.
artikel ni m'bhs kn ttg cara pelupusan wang dr hasil yg haram, bleh disalurkan kpd fakir miskin. mrk bukanlah golongan yg t'libat lgsg dgn xtvt judi tersebut. malah keharaman wg t'sebut adlh haram hissi sprt yg UZAR jelaskan. jd x timbul soal penerimaan wang tu beerti dia menyokong xtvt judi.
& tak jg b'mksd islam m'halalkan judi krn wg hasil judi bleh disalurkan kpd fakir mskn. m'lah ni dh msk bab lain. dah keluar konteks artikel. wallahu a'lam.
p/s: maaf terpaksa pakai short form sbb terhad.
imo, bagi kita yang masih cuba memahami ni, adalah baik jika kita baca & terus membaca. bukan dari sumber ini sahaja. cuba dapatkan dari sumber lain.
kalau terus tanya/reply bertubi2 tanpa cuba betul2 faham, ikhlas ke kita? betul ke kita nak penjelasan yg betul2 akan guide kita or kita ada agenda lain untuk dipertahankan?
syaitan pun ckp "..kecuali mereka yg ikhlas..". kita?
1: Telah kita maklum bahawa ihtilam adalah penyebab baligh. Namun jika seorang kanak2 12 tahun cthnya, beronani lalu keluar mani, apakah itu juga menyebabkannya menjadi baligh?
2.tentang musafir tidak boleh menjadi makmum kpd org yg solat tamam jika ia solat qasar. Ttp bagaimana sekiranya seorg musafir singgah di sebuah masjid dan mendapati jamaah sedang di rakaat ke 3 zohor cthnya. lalu di menyertai jamaah dgn niat qasar dan memberi salam bersama mereka, apakah dibenarkan?
3.Saya terjumpa blog atas nama ustaz di www.zaharuddin.blogspot.com. Benar2 milik ustaz atau apa?
wassalam.
Walaupun harta atau pemberian dari harta yang haram itu boleh diambil, tetapi jika dengan pemberian itu menunjukkan secara jelas sikap bersekongkol dengan dosa maka ia diharamkan kerana redha dengan maksiat. Ini seperti seseorang membelanja makan dengan wang judi sempena kemenangan judinya. Atau dia mempromosi syarikat judi tersebut secara jelas dengan cara memberi bantuan, maka haram bersekongkol dengan kemaksiatan seperti itu... Cina lg bangga ... diorang main judi boleh bantu melayu... tak ambil kerana siyasah syariyyah
Maaf kalau komen saya ini lari dari tajuk asal...
Saya merasa sebak dan sedih atas penghinaan Islamic Fashion Festival baru-baru ni...saya pasti sesiapa yg sayangkan Islam turut sama kecewa seperti saya...'Fashion Islamic' nya sungguh teruk dan menghina muslimah seluruh dunia....
Saya harap UZAR tolong buat artikel khas mengenai 'fashion Islam' dalam website UZAR ni...saya takut semakin ramai muslimah yg akan keliru tentang 'fashion islam' ni dan seperti biasa, UZAR boleh bersikap neutral dalam hal menegakkan kebenran ini....
Tolong ya ustaz.........
URL rujukan:
harakahdaily.net/.../...
mudah2an ustaz tabah dengan dugaan yang menjadi sunnatullah utk para pendakwah ni
p/s: sistem web ni akan convert perkataan "ba-alip-ba-ya" secara automatik jadi "[censored]" ka ustaz? sbb dalam respon ust kpd komen #3, ust tulis "terb-a-b-i-t". tapi jadi "ter[censored]t"
2. abu bakar memuntahkan smula hasil haram bukan kerana beliau miskin tetapi kerana kewarakkan.
3. pulang semula pemberian hasil haram adalah salah. adakh ini fatwa UZAR.
4.kefahaman disebaliknya ; ambillah hasil haram tu, takpe
5. majoriti ulama mengatakan hasil duit haram adalah untuk kegunaan maslahat awam bukan untuk dihadiahkan kepada orang miskin.
6.tahniah kerana anda seorang yang 'berani'
kalau saya pulangkan duit yg diberi oleh kerajaan yang saya yakin hasilnya dari sumber haram, maka kalau saya pulang ini dikira salah??? macam makcik-makcik saya yg miskin di Penang tu, mike ni kira berdosalah pulang duit tu us/???
nasihatilah kami...
Malah tidak mustahil, jika duit-duit tersebut terus disimpan dalam institusi perbankkan konvesional akan lebih MENGGALAKKAN tumbesaran RIBA yang mana ia juga merupakan lagi satu tambahan DOSA BESAR...
Wallahua'lam...
saya sokong uzar.penjelasan uzar adalah neutral.dam itulah islam.apa yg saya blaja slama ni sama dgn apa yg uzar jelaskan.
persoalannya timbulnya artikel ini tak membawa ummat ke jalan taqwa. isu ini adalah isu politik. Sekiranya kisah Abu Bakar itu benar, adakah us sedia menulis artikel yg baru yg tidak menampak bias ust terhadap seperti isu- yg sebelum ini seperti isu mogok lapar dan lain2??
UZAR : bias adalah datang dari minda pembaca sendiri. Artikel ini adalah percuma dan bebas, jika ada yang tidak berkenan di hati, semua berhak menulis artikel masing-masing di blog percuma masing2.
Daj dsebut byk kali, athar dan hadis kena fahami kontkes dan melihat syarah utk faham, bukan boleh dipakai secara sembrono.
Saya ingin bertanya, tapi maafkan saya jika soalan saya tidak kena pada tempat.
Adakah kes duit interest yang saya dapat tu sama macam kes di atas? adakah di bolehkan untuk saya bawak balik Malaysia duit interest dan sedekahkan pada fakir? Sebab sebelum ni saya selalu dengar org tua saya cakap tak boleh bagi kat fakir miskin duit dari interest bank convensional.
RSS feed for comments to this post