Senarai Lengkap Artikel Bahasa Articles Teknik dan Medium : Antara Dai’e & Jurujual
  • PDF
(4 votes, average 4.50 out of 5)

 

Teknik dan Medium : Antara Dai’e & Jurujual

Oleh

Zaharuddin Abd Rahman

www.zaharuddin.net

 video

Ilmu dakwah itu ibarat ilmu pemasaran dalam perniagaan. Memerlukan kreativiti dan pelbagai ilmu sampingan yang digabungkan bagi menghasilkan tarikan. Sebelum kesan itu dapat diperolehi, perlu terlebih dahulu memikirkan kaedah untuk menarik pandangan manusia dan membuka pemikirannya dan seterusnya menyampaikan info nasihat dan teguran.

Kalau sebuah pemasaran perniagaan, penjual cuba dan berusaha walau berbelanja kos jutaan ringgit dan dollar semata-mata untuk :-

Pertama              

Memberitahu produknya wujud di pasaran kepada orang ramai,

Kedua                   

Menerangkan keistimewaannya,

Ketiga                   

Proses mempengaruhi pelanggan untuk ‘bertindak’ iaitu membeli,

Keempat             

Akhirnya untuk memastikan agar jenama produk itu kekal sebagai ‘bagus’ di dalam kotak minda pelanggan.

 

Untuk tujuan itu, sesebuah proses penyampaian ilmu Islam walau asalnya ia sesuai dengan fitrah, namun akibat hati semakin jauhnya hati masyarakat akibat hijab dan penutup yang syahwat dan  Syaitan. Strategi dan kreativiti yang diperlukan hampir sama dengan proses mencari dan mempengaruhi pelanggan perniagaan.

Tidak dinafikan, tidak mudah untuk menjadikan inti islah dan dakwah mendapat perhatian dan minat ramai. Justeru, ilmu alat seperti ilmu tentang sifat manusia dan kecenderungan kontemporari mereka, bahasa yang digunakan dan yang digemari, cara keras, lembut dan berselindung, beserta dalil atau santai tapi menyengat, melalui ceramah semata atau disertakan bunyian, melalui video dan sebagainya  adalah diperlukan.

MINAT DAN BOSAN

Semua kaedah mempunyai peranan, untuk menarik kumpulan manusia yang sangat pelbagai minat, kecenderungan dan kebosanan yang pelbagai.

Setakat ini, menurut pengalaman saya,

  • Nisbah yang berminat dan punyai kesedaran terhadap Islam adalah sangat kecil berbanding yang tidak.
  • Dalam peratusan yang kecil itu, nisbah yang sukakan mesej santai lebih besar dari mesej berat dan berdalil.
  • Dari bilangan yang sukakan santai itu, nisbah yang lebih gemarkannya beserta hiburan sampingan seperti nasyid itu lebih besar, berbanding sekadar membaca atau mendengar tanpa hiburan.
  • Dari bilangan yang sukakan mesej beserta hiburan itu, bilangan yang lebih suka kepada hiburan itu sahaja adalah melebihi bilangan yang lebih berminat mesejnya.

Kita dapat melihat bagaimana sambutan yang cukup besar diberikan terhadap penasyid popular seperti Maher Zain dan Sami Yusuf. Berbeza dengan sebuah ceramah walau  dihadiri oleh ulama sebesar Syeikh Yusuf Al-Qaradawi, Syeikh Wahbah Al-Zuhaily dan lainnya.

Untuk sesebuah ceramah menembusi sebilangan biasa peminat ilmu, ia perlu pula mempunyai nilai tambahan. Sekali lagi, lebih ramai yang sukakan santai dan ringan, seperti disertai nasyid, lawak dan lucu.

Kerana itu, akan kita dapati penceramah yang mampu mempersembahkan ceramah beserta teknik tambahan tadi, akan lebih berjaya menembusi bilangan masyarakat yang lebih besar berbanding yang tidak.

Saya bukan ingin mengatakan ‘yang ini’ lebih baik dari ‘yang itu’,  kerana kedua-dua teknik dan cara punyai nilai dan sumbangan masing-masing. Justeru tidak perlu semua orang jadi penceramah lawak, penceramah bernasyid atau juga pencermah berdalil & beserta rujukan kitab.

Semua ilmuan dan penyampai mesej Islam, mempunyai target masing-masing. Justeru tidak semua perlu berlumba-lumba mempersembahkan dan merapati mad’u dengan cara yang sama.
  • Ada ilmuan yang tidak gundah gulana, walau ceramah dan kuliahnya hanya diikuti oleh 20 atau 30 orang pendengar yang setia. Asalkan kefahaman ilmu yang mantap, mendalam dan manhaj berfikir yang terbaik dapat disemai ke dalam minda dan jiwa pendengarnya, itulah target dan sumbangannya kepada ummah.
  • Ada pula penyampai mesej yang tidak begitu memberatkan, walau mesejnya tidak beserta dalil dan tidak pula mensasarkan pembentukan jangka panjang minda pendengarnya. Apa yang penting baginya ketika itu adalah sekadar menyampaikan mesej yang baik kepada masayarakat, sama ada sebagai alternatif kepada hiburan masakini yang banyak menyesat dan menyeleweng. Itu juga sumbangannya.

Justeru, kepelbagaian cara tidak semestinya dipertingkat, cuma kepelbagaian medium mungkin lebih relevan.

KEPELBAGAIAN MEDIUM DIPERLUKAN

Jika ada penyampai mesej Islam (da’ie) yang mampu sekali sekala bertukar teknik, dan mencampur adukkan kaedah penyampaian mereka, maka tentunya itu adalah sangat baik, jika sesuai dengan cara dan audiennya.

Saya gembira melihat, kedapatan da’ie yang sudah mampu menulis novel dan cerpen. Melalui kaedah itu, kumpulan mad’u yang dahulunya tidak pernah berjaya ditembusi, kini mungkin sudah berjaya.

Ada yang dahulu, hanya bergantung kepada ceramah di masjid dan surau, kini sudah melebarkan jangkauan ke blog, website dan facebook.

Ada pula yang mengambil pendekatan menyertai medium NGO, parti politik dan sebagainya.

Seorang pelajar dari sebuah Universiti di London pernah bertanya keada saya :

“Apakah sebabnya ustaz menganjurkan pertandingan buat banner tu, boleh ustaz kongsikan signifikannya bagi ustaz”

“sekadar cuba mempelbagaikan teknik dan medium dakwah agar info yang baik di dalam web saya, berjaya menembusi mata dan minda peminat-peminat grafik di kalangan anak muda”

Itu jawapan saya ringkas, kemudian saya menegaskan, saya meyakini usaha terbabit berjaya, kerana dengan penyertaan hampir mencecah 100 dalam tempoh seminggu tempoh yang diberikan. Ternyata, hasil daripada pertandingan terbabit, web saya dimasuki oleh individu yang tidak pernah sebelum ini mengenalinya. Walau sekali atau dua, harapnya ada sesuatu yang boleh menangkap minatnya dan menariknya untuk membaca hari ini..dan inshaAllah esok dan lusa.

“Malah kalau boleh dan ada kemampuan kewangan, ingin sahaja saya sediakan hadiah untuk buat pertandingan kartun pendek bermesej Islamik dan video Islamic, agar peminat kartun dan mad’u yang berminat kepada mesej ringan melalui video dapat ditembusi” tambah saya lagi.[1]

“bagus lah kalau gitu ustaz, bila ustaz nak buat?” Tanya pelajar itu lagi.

“belum boleh, kena ada budjet dan hadiah kalau boleh mestilah agak menarik...kalau ada orang nak jadi sponsor hadiah..tentunya boleh, tapi belum cari dan belum ada yang nak offer” terang saya jujur.

Itulah, cabaran untuk menyampaikan mesej ini perlukan kreativiti sebagaimana peniaga business memikirkan cara menyemat nama produk mereka ke dalam minda pengguna. Teringat saya kepada beberapa iklan pelik-pelik, khususnya di television UK.

Ada iklan yang sengaja dibuat begitu ‘annoying’ kerana cara tersebut, ia akan diingati, contohnya iklan gocompare.com yang memaparkan lelaki bermisai palsu pelik menjerit-jerit dengan kuat.

Begitu juga iklan insuran swiftcover yang memapar lelaki tua tanpa baju yang membuat aksi menggelikan, walau menggelikan, mereka berjaya masuk dan kekal di minda pengguna.

VIDEO KLIP SAMI YUSUF

“abang buat video Sami Yusuf lagi ke?” Tanya isteri saya kelihatan pelik dengan masa yang saya peruntukan untuk menyiapkan video itu memakan masa sekitar 2-3 jam.

2-3 jam sebenarnya boleh menyiapkan satu artikel beserta dalil, seperti kebanyakan artikel saya di web ini.

“ya, kerana memikirkan ini antara cara terbaik untuk menembusi perhatian peminat-peminat nasyid ke web zaharuddin.net”

“bukan sekadar dari Malaysia tetapi juga seluruh dunia yang meminati Sami Yusuf, kerana mereka pastinya akan mencari nasyid barunya di youtube. Malah ada kemugkinan pula akan ada orang yang menggunakan video itu untuk dipersembahkan di tempat-tempat program mereka.” Jelas saya.

“Sengaja buat tanpa satu pun gambar Sami Yusuf, berbanding video-video di Youtube yang lain, terlalu banyak gambar artisnya, akhirnya orang jatuh cinta kepada Sami Yusuf dan melupakan mesej dan lirik-liriknya”

Ini contoh videonya :


Sami Yusuf- Salaam (lyrics by zaharuddin.net) from dakwahislami on Vimeo.

 

dan sebuah lagi :

 

Sami Yusuf Make Me Strong ( with lyrics by zaharuddin.net) from dakwahislami on Vimeo.

Ingat tak, video-video zikir dan fikir yang dihasilkan sebelum ini?. Termasuk dengan kerjasama pemuda blog salafussoleh?

Ada pengetua sekolah menghantar email memaklumkan beliau mengambil video terbabit dan ditayangkan di perhimpunan sekolah mereka. Bagi saya itu, satu kejayaan baru dalam menembusi pasaran mad’u yang sebelum ini tidak dapat ditembusi oleh info Islam di web zaharuddin.net dan tidak dapat ditembusi oleh saya melalui ceramah-ceramah biasa.

Bukankah gambar itu lebih mudah memberikan maksud kepada audien berbanding kata-kata-kata dan tulisan.?

Seorang pakar komunikasi barat berkata : “we do not think in words and phrases. We think only in pictures and/or images”

Ada huraian lanjutnya, namun fikirkan.

Untuk itu, Bagi video nasyid Sami Yusuf, saya juga memasukkan beberapa tazkirah ringkas dalam video terbabit. Tidak kiralah sama ada ia akan dibaca dan sampai ke hati pendengar nasyid, tetapi paling kurang itu sebuah usaha untuk menyampikan sedikit mesej tambahan kepada kumpulan sasaran yang mungkin tidak pernah dapat ditembusi oleh tulisan saya di web, blog, majalah, akhbar dan facebook. Harapnya, ia boleh menjadi sebab kepada datangnya sesuatu kebaikan.

Dan Allah menyebut,

وَأَن لَّيْسَ لِلْإِنسَانِ إِلَّا مَا سَعَى وَأَنَّ سَعْيَهُ سَوْفَ يُرَى

Ertinya : dan bahwasanya seorang manusia tiada memperoleh selain apa yang telah diusahakannya. Dan bahawasanya usahanya itu kelak akan diperlihatkan (kepadanya).( An-Najm : 39- 40)

 

Allah juga menyebut :-

إِنَّكَ لَا تَهْدِي مَنْ أَحْبَبْتَ وَلَكِنَّ اللَّهَ يَهْدِي مَن يَشَاء وَهُوَ أَعْلَمُ بِالْمُهْتَدِينَ

Ertinya : Sesungguhnya kamu tidak akan dapat memberi petunjuk kepada orang yang kamu kasihi, tetapi Allah memberi petunjuk kepada orang yang dikehendaki-Nya, dan Allah lebih mengetahui orang-orang yang mau menerima petunjuk. ( Al-Qasas : 56)

 

Nabi pula bersabda :

لأن يهدي الله بك رجلا واحدا خير لك من حمر النعم 

Ertinya : Jika kamu menjadi asbab (pembawa) kepada seseorang itu mendapat kesedaran dan petunjuk (Islam), ia lebih baik bagimu dari unta yang paling berharga ( simbolik kepad anilai yang sangat tinggi) ( Riwayat Al-Bukhari & Muslim)

Bagi yang tidak mampu bernasyid, maka bagaimana ingin ditembusi pasaran peminat nasyid?..jawabnya, menumpaglah kepada mana-mana nasyid dan ‘curi-curi’ ruang untuk menyampai mesej di situ.

Saya tidak mampu membuat filem dakwah berbudget besar, justeru buatlah yang ringkas dan memanfaat teknologi youtube yang ada.

Dari membiarkan teknologi youtube itu dipenuhi dengan video mungkar dan tidak berfaedah, menentangkan juga adalah seperti melawan arus tsunami. Jika diperingkat individu tetapi seruanyang tidak relevan kepada orang ramai.

Justeru, ada yang perlu manfaatkannya dengan membanjirkannya dengan mesej kebaikan, sama kesnya seperti facebook.

BERAPA RAMAI TAMBAH BAIK DENGAN NASYID?

Sambil berkerut-kerut dahinya melontarkan soalan kepada saya:

“Tapi ustaz”

“Berapa ramai je yang bertambah bacaan Al-Qurannya, solatnya dan kebaikannya selepas mendengar nasyid sami yusuf dan maher zain di youtube contohnya? Atau di konsert mereka?”

Sudah tentu dia tahu itu fakta yang tiadalah saya dan dia, mampu mengetahuinya.

“Tidak kiralah sama ada akan membawa kesan itu atau tidak, namun paling kurang, dengan usaha terbabit, individu yang gemar hiburan itu akan menggunakan masanya tidak pada jalan maksiat yang nyata, khususnya apabila dia berada di hadapan internet seorang diri. Bagi saya, itupun sudah satu kejayaan, bukan?..kita telah menyelamatkannya untuk beberapa minit dengan menyediakan alternative pengisian yang ada manfaat, InshaAllah..” saya menjelaskan matlamat yang ingin dicapai.

“Biarpun ia kecil, namun tidak mustahil ia menjadi kunci awal kepada sesuatu kesedaran yang lebih besar” tegas saya lagi.

Sebenarnya bukan sekadar itu, jikalau usaha kita itu mampu merangsang seseorang untuk menambah bilangan solat, puasa, bacaan qurannya sekalipun, ia pun masih belum tentu baik untuknya kerana ia masih bergantung  kepada niat dan keikhlasannya. Dan keikhlasan itu seuatu yang berada di dalam hati dan mana mungkin untuk kita ukur dan berstatik.

KESIMPULAN

Tulisan ia hanyalah, untuk mengingatkan semua para da’ie dan individu Muslim muslimah yang cintakan Islam, ingin sebuah masyarakat yang diredhai Allah serta aman, kita perlu untuk menembusi mad’u yang tidak dan belum jinak. Mungkin mereka punyai minat, jika MEDIUM yang kita gunakan boleh menghampirkan mesej kita kepada mereka.

Maka perlu sekali kita menerokainya, selagi ia tidak bercanggah dengan prinisp Islam yang qat’ie.

Terokaan itu perlukan banyak ilmu alat sampingan, lalu bersusah payahlah kita melengkapkan diri dengan sebahagiannya, teknik fotographi mungkin signifan, kemampuan sukan juga relevan untuk menghampiri kaki sukan, membuat video, grafik design, kartun, filem, games dan sebagainya.

Semua ilmu alat yang disebut sebagai contoh di atas amat perlu agar teknik pemasaran ilmu Islam yang kita sampaikan mampu menembusi lebih banyak pihak.

Tidak dinafikan ada beberapa caranya yang terdedah kepada mudarat atau kontradiksi antara mudarat dan manfaat.

Apapun, berfikirlah semasaknya dengan nilaian iman. Saya teringat walau dikutuk ramai, seorang ustaz muda yang menyertai UMNO, tidak dinafikan walau mungkin berisiko namun dia dapat menembusi satu ruang yang tidak pernah mereka mampu tembusi sebelum ini. Iaitu ruang ceramah agama di sebuah perhimpunan sebesar perhimpunan agung UMNO selama 30 minit?.

Bagi saya itu, salah satu jenis medium yang sedang kita bincangkan di dalam artikel ini tanpa melihat kepada isi dan kandungan atau kontreversinya ucapan terbabit. Itu bukanlah topic yang ingin saya bicarakan di sini.

Target menembusi pasaran dan pelanggan baru, agar lebih ramai yang boleh atau cuba disedarkan dan dirapatkan kepada Islam, fitrah mereka.

 

Sekian


Zaharuddin Abd Rahman

www.zaharuddin.net

1 November 2010

 

 

 

 

 

 

 



Jika ada mana-mana pihak yang merasa ingin sponsor hadiah untuk penganjuran pertandingan seperti ini dan dikendalikan oleh web saya. Ia boleh dilakuakn atas nama amal jariah. Juga inshaAllah. Bolehlah dimaklumkan ke webmaster@zaharuddin.net



Add this page to your favorite Social Bookmarking websites

Add comment


Security code
Refresh

Pengumuman

Wang, Anda dan Islam
Panduan Perbankan Islam

Untukmu Wanita

 
Untukmu Umat
Formula Solat Sempurna
Murabahah
 A Comprehensive Prayer FormulaContracts and The Products of Islamic Banking
Akidah dan IbadatRiba
cover_maqasid_arab 
Money, You and Islam
 cover_bicaralah_new ledakan_FB 
indahnya_hidup_politikcover_jangan_berhenti_berlari


 

Ruangan Iklan




RSS Feed

Pengisian Terkini Pengisian Terkini

Statistik

Site Meter

Pelawat

Now online:
  • 9 guests

Komen Terbaru

You are here: Senarai Lengkap Artikel Bahasa Articles Teknik dan Medium : Antara Dai’e & Jurujual