Senarai Lengkap Artikel Bahasa Articles Usrah Ilmuan Shariah & Da'i
  • PDF
(22 votes, average 4.64 out of 5)
  

 

Usrah Ilmuan Shariah dan Da'i Malaysia

Oleh

Dr. Zaharuddin Abd Rahman

www.zaharuddin.net

 liqa1_rumah

Di tengah-tengah kedahagaan masyarakat kepada ilmu-ilmu yang boleh memandu ke arah jalan yang lurus, lagi diredhai Allah, muncul ilmuan berpendidikan Shariah yang punyai kepetahan menyampaikan mesej Islam. Penyampaian yang menyakinkan serta menarik mampu mengisi kekosongan jiwa masyarakat. Lama kelamaan muncul pula lagi ilmuan lain dari pelbagai latar belakang dan tempat pengajian. Usaha keras mereka sedikit demi sedikit berhasil meningkatkan minat orang ramai terhadap pengajian ilmu Islam secara lebih tulen dan serius.

SEDIKIT STATISTIK KASAR

Jika kalian sedar, dahulunya rancangan ‘Tanyalah Ustaz’ di TV 9 hanya disiarkan secara langsung pada hari Jumaat, Sabtu dan Ahad sahjaa. Rancangan ini walau tersiar di awal pagi iaitu dari jam 7-8 pagi, pun begitu ia boleh dijadikan sedikit kayu ukur untuk melihat sejauh minat masyarakat kepada talk show agama atau interaktif agama, ternyata minat itu semakin bercambah. Berdasarkan maklumat yang diberi oleh rakan-rakan penerbit, sambutan semakin meningkat, kalau dahulu hanya sekitar 40-100 ribu orang yang menontonnya, kini sudah mampu mencapai 150-350 ribu secara purata.

Hasil daripada ‘demand’ yang baik, pemilik syarikat televisyen bersetuju menambah lagi slot ini, lalu terhasil siaran rakaman ‘Tanyalah Ustaz’ yang disiarkan setiap hari pada jam 7-8 pagi. Ini satu kejayaan yang sangat positif!

Tidak berhenti disitu, muncul pula rancangan ‘live’ Tanyalah Ustazah.  Imam Muda oleh Astro OASIS dan banyak lagi rancangan keagamaan yang menghiasi media televisyen kita. Menambah meriah rancangan kegamaan turun temurun seperti Forum Perdana Ehwal Islam oleh RTM, Bicara Mufti dan pelbagai lagi.

Kalau masyarakat berjaya menunjukkan sokongan kepada rancangan-rancangan baik ini, tentunya pihak syarikat penyiaran akan terus memikirkan cara menambahkannya. Justeru tambahkan sokongan anda.

Radio Islam seperti IKIM fm sudah berjaya menembusi pasaran sengit radio, manakala majalah solusi terbitan Telaga Biru pula sudah mencipta rekod apabila cetakan bulanannya dilaporkan mampu mencecah 150-200 ribu. Alhamdulillah, luar biasa!.

Seorang pengurus besar syarikat penerbitan buku PTS memaklumkan kepada saya betapa jualan buku non-fiction agama yang diterbitkan oleh syarikatnya lebih laku berbanding buku fiction.! Ini suatu keajaiban. Malah, dimaklumkan bahawa jualan buku agama mereka juga sangat memberangsangkan. Maaf saya lupa angka-angka yang diberikan, cuma apa yang saya mampu ingat, hasil jualannya berjaya mencecah jutaan ringgit dalam tempoh yang singkat, selain peratusannya meningkat setiap tahun.

Melihat kepada peningkatan ini, saya kira semua pihak telah memainkan peranannya, sama ada parti politik Islam,  Pusat pendidikan Islam pra sekolah, sekolah rendah, menengah dan Institut Pengajian Tinggi Islam, Institusi masjid dan termasuklah usaha bersungguh dari individu pendakwah dan penceramah yang tidak putus-putus menyampaikan mesej kebaikan buat ummat.

LIQA1

RUANG TAMBAH BAIK

Pun begitu, melihat kepada ramai tokoh ilmuan yang bekerja keras melalui blog, website, buku, majalah, akhbar, TV, radio, FB dan lain-lain. Saya melihat ada terdapat sedikit ruang untuk menambah cantik moleknya usaha dakwah dan islah sebahagian tokoh-tokoh ini. Iaitu kalaulah mereka dapat lebih rapat antara satu sama lain dan juga dapat memanfaatkan ilmu di antara satu dengan lain secara lebih tersusun dan terancang.

Kita sangat kerap memberi pengisian kepada masyarakat, namun bagaimanakah diri kita sendiri? Hanya menelaah buku seorang diri di rumah? Mencuri-curi dengar tazkriah dan pengisian daripada ilmuan lain di celah kesibukan dakwah kita sendiri?

Bagi saya, ini satu kerugian dan kelompongan yang memerlukan penambahbaikan. Amat baik sekali jikalau sesama ilmuan ini dapat ditemukan dan saling bertukar ilmu, manfaat, nasihat, taujihat dan teguran secara tertutup.

Saling ‘menajamkan gergaji’ masing-masing dalam majlis yang boleh menambah berkesannya keyakinan diri ketika menyampai dakwah.

Menurut pandangan saya, agak ramai tokoh-tokoh agama dan ilmuan yang mempunyai pengaruh besar di dalam masyarakat namun mereka seolah kelihatan bergerak bersendirian, tidak begitu bertaut dengan ilmuan yang lain, walaupun amat kerap hujah, ilmu dan pandangan yang diberi dipersetujui oleh yang lain, namun tiada satu mekanisme yang tersusun untuk mereka saling sokong menyokong di antara satu sama lain. Akhirnya, apabila seorang ilmuan memberi pandangan, ilmuan yang lain seolah diam.

Kita inginkan ilmuan yang boleh saling hubung menghubungi sesama mereka apabila mendengar sesuatu fitnah menimpa yang lain bagi membantunya.

Kita inginkan ilmuan ini boleh berhubungan segera apabila ingin mendapat input dan pandangan yang lain dalam bab yang tidak begitu dipakarinya. Itu penting bagi mengelakkan pertembungan pendapat yang merugi dan mengelirukan masyarakat.

Namun semuanya sukar sebelum ini, ilmuan sesame mereka tidak begitu ‘biasa’ atau mesra di antara satu sama lain, ingin telefon juga segan. Bila bertemu di dalam sesuatu program juga terasa dingin dek kerana terlalu mengkagumi antara satu sama lain mungkin, atau disebabkan perasaan masing-masing.

Kebiasaannya, apabila masyarakat mendengar satu pandangan seorang ilmuan yang mereka segani, tentunya mereka dahagakan juga pandangan tokoh-tokoh agama lain yang mereka hormati lagi percayai. Namun, harapan itu amat jarang tercapai. Bukankah itu memerlukan penambahbaikkan.

LIQA2

INPIRASI DAN MEMULAKAN TINDAKAN

Mengambil inspirasi dari guru saya, Syeikh Dr Yusuf Al-Qaradawi dalam Pertemuan ‘Al-Qaradawi  Bersama Sahabat Seperjuangan dan Murid’ pada bulan Februarui 2011 yang lalu. Pertemuan terbabit ada membuat konklusi agar setiap murid dan rakan Syeikh Al-Qaradawi yang hadir sepanjang pertemuan ilmiah tersebut, menganjurkan satu gerakan menyatu dan membawa mesej kesederhanaan di dalam masyarakat, iaitu dengan merapatkan hubungan di antara tokoh-tokoh pendakwah dan ilmuan agama di dalam sesebuah negara.

Hasil dari itu, sejurus saya pulang dari United Kingdom, saya mula memikirkan kaedah untuk melaksanakan amanah tersebut.

Walau menyedari diri ini tidak cukup layak dan kuat untuk bertindak, namun digagahi untuk menghubungi tokoh ilmuan yang lebih mudah untuk saya bicara terlebih dahulu.

Alhamdulillah, dari itulah wujudnya liqa’ atau pertemuan di antara tokoh ilmuan dan pendakwah ini.

Saya tiada agenda tersembunyi di sebalik usaha ini kecuali ribuan kebaikan yang disebut di atas tadi. Walau disedari akan sentiasa ada manusia-manusia yang bakal bersangka buruk akibat 'kebusukan jiwa’  dan hasad, akan ada juga yang mula melabel, cop serta memburukan pertemuan ilmiah ini. Lebih teruk, bakal ada yang akan mula memfitnah..

Ingin dinyatakan, ini bukan kumpulan untuk menyokong mana-mana parti politik PAS, UMNO dan PKR, bukan pula bagi memperjuangkan aliran tertentu seperti wahabi, salafi, khalafi, ahbash, syiah atau sebagainya. Bukan juga mewakili mana-mana NGO seperti IKRAM, JIM, ABIM, ISMA, HALUAN dan lainnya.

Setiap pandangan kami akan bersifat ‘independent’ dan berpaksi ilmu. Jika akan datang ia kelihatan bersamaan dengan mana-mana pandangan parti politik, jemaah, ngo atau tokoh, itu semuanya adalah berdasarkan penilaian ilmu dan bukan kerana keahlian mana-mana kami kepada mana-mana pihak.

Sebagaimana yang telah dicoretkan oleh rakan ahli, Ust Hj Hasrizal Abd Jamil di dalam entry beliau, boleh saya ringkaskan objektif dan landasan pertemuan ini ( sebagaimana yang telah dipersetujui dalam pertemuan kedua kami) kepada cabang berikut :-

 

1. MANFAAT INDIVIDU ILMUAN

Iaitu, sebagai medan tazkirah di antara kami, teguran dan nasihat atas kelemahan yang mungkin disedari oleh rakan-rakan ahli. Kami insan biasa, selalu menasihati dan memberi tazkirah namun jarang berpeluang mendengar tazkirah secara langsung atau teguran membina.

Inilah masanya kami ingin tunduk, melihat ke dalam diri dan bermuhasabah. Moga dengannya, belitan-belitan iblis yang ingin masuk menembusi diri dapat dibanteras dan disekat.

 

2. MANFAAT LUARAN

a. Respon kepada persoalan semasa.

Tidak dapat dielakkan lagi, hampir semua kami merasainya, iaitu timbunan persoalan masyarakat dari sekecil-kecil perkara sehingga lah sebesar-besarnya. Email, FB, sms, surat dan begitu banyak dihantar kepada kami sehingga melangkaui kemampuan kemanusiaan kami untuk memberikan respons dan jawapan. Sebahagiannya pula, kami sendiri memerlukan waktu untuk kajian, pengamatan serta diskusi, sebelum boleh membuat sebarang komentar, ulasan dan pendirian.

 

Maka, inilah pertemuan yang kami harapkan mampu menjadi medium berkesan merawati kelemahan tadi. Ia mampu menjadi medan penghasilan pandangan yang lebih konkrit kerana ia adalah hasil perbincangan kolektif, berjemaah (ijtihad jama’ie) yang pastinya lebih mantap berbanding pandangan dan kebijaksanaan secara berseorangan.

 

Nabi pernah menjawab persoalan Sayyidina Ali K.W yang bertanya apa yang perlu dilakukan jika terdapat satu persoalan yang belum turun mana-mana Al-Quran memberikan penyelesaiannya, sabda baginda :-

اجمعوا له العالمين ­أو قال: العابدين­ من المؤمنين فاجعلوه شورى بينكم، ولا تقضوا فيه برأي واحد

Ertinya : Gabungkan kamu sesama ilmuan atau (Nabi berkata ) ahli ibadah di kalangan orang mukminin, dan adakanlah mesyuarat sesama kamu, dan janganlah kamu memutuskan sesuatu keputusan (hukum) hanya dengan satu pandangan sahaja. (Riwayat At-Tabrani & Ad-Darimi ; Jami’ Bayan al-Ilmi 2/95; ‘I’lam Al-Muwaaqqien, 1/65)

 

b.    Agenda dan prinsip yang perlu diperkenalkan kepada masyarakat agar kehidupan menjadi lebih.

Kami tidak hanya ingin sentiasa bertindak balas kepada soalan yang bersifat adhoc, sementara dan boleh hilang bersama rentak yang dimainkan oleh media massa. Tetapi kami ingin menyumbang idea bernas, hasil gabungan sekitar 150 tahun pengalaman ( campur pengalaman di antara satu sama lain, mencecah 150 tahun, saya seorang sahaja sudah 18 tahun pengalaman). Kami yakin bahawa kami boleh mengutarakan hasil pemerhatian mendalam untuk diutarakan kepada masyarakat bagi membetulkan fokus dalam kehidupan.

Mencadangkan sesuatu perubahan pada dasar dan prinsip serta polisi kepada kerajaan dan pemimpin masyarakat.

Mencadangkan peneyelsaian kepada kekusutan yang melanda masyarakat kerana bukankah itu sememangnya tugas kami selaku individu yang sering menjadi rujukan masyarakat?.

KEAHLIAN

Itulah serba ringkas latar belakang pertemuan ini, baru hanya dua kali pertemuan dan setiap bulan akan dihiasi dengan pertemuan. Yang pertama pada 26 May 2011, yang kedua pada 16 Jun yang lalu dan yang ketiga bakal dilangsungkan pada 21 Julai 2011 akan datang. InshaAllah.

Ahli-ahli kepada pertemuan ini masih terhad kepada mereka yang terdekat dan berjaya dihubungi. Namun ia bakal meningkat berdasarkan kemampuan kapasiti kami, kerana ini hanyalah sebuah pertemuan ilmu berbentuk usrah kecil, bukan sebuah seminar dan multaqa besar-besaran. Kita hanya memfokuskan tokoh-tokoh ilmuan yang dilihat tidak cenderung kepada mana-mana parti politik, berilmu kukuh serta bebas dari kongkongan pandangan rasmi kerajaan.

Tiada siapa yang menjadi ‘sponsor’ untuk mengikat kami, tiada premis atau pejabat di waktu ini. Justeru, masih menumpang di premis ahli-ahli secara bergilir, pastinya kekangan keluasan tempat ada kesannya. Mungkin juga ada ilmuan yang sangat sesuai dilibatkan tetapi kekangan geografi dan jarak adalah penghalangnya.

Setakat artikel ini ditulis (setelah dua kali pertemuan- akan bertambah InshaAllah) ahli-ahli adalah seperti berikut :-

1.                   Ustaz Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri ( Mursyid Liqa’)

2.                  Ustaz Dr. Zaharuddin Abd Rahman ( Pengerusi / Moderator Liqa’)

3.                  Ustaz Dr Abdul Basit Abdul Rahman,

4.                  Ustaz Dr Zahazan Muhammad,

5.                  Ustaz Hj Mohammad Nidzam Abdul Kadir,

6.                  Ustaz Hj  Aizam Mas’ud,

7.                  Ustaz Hj Hasrizal Abdul Jamil,

8.                  Ustaz Dr. Khairuddin Aman Razali,

9.                  Ustaz Imam Muda Asyraf Mohd Ridzuan,

10.               Ustaz Ramadhan Fitri Elias,

11.                Ustaz Dr. Maszlee Malik,

12.               Ustaz Dr.Ahmad Wifaq Mokhtar,

13.               Ust Syed Mohd Norhisyam

 

Bagi urusan sekretariat, kami menerima bantuan dua tokoh muda iaitu:

1.                   Saudara Imran Koyube (iluvislam)

2.                   Ust Ahmad Syarief Fadhli

 

BUKAN MENYAINGI MANA-MANA BADAN AGAMA

Kita tidak berbicara perihal fatwa, kerana fatwa di Malaysia hanyalah di bawah kuasa Majlis Fatwa Negeri dan Kebangsaan.

Cuma kami sedar, masyarakat inginkan pandangan alternatif yang boleh mereka rasa yakini, lebih telus, selesa tanpa prejudis dan berat sebelah. Kerana itu, masyarakat sering merujuk kepada ilmuan dan tokoh pendakwah ini. Namun, agak meletihkan apabila ilmuan ini adakalanya sukar ditemui, sukar dihubungi, sukar dirujuki dan sebagainya.

Sedang dalam masa yang sama, kita agak selalu dimomokkan dengan ‘pertelagahan’, perbezaan pandangan, bantah membantah di antara satu ilmuan dengan yang lain, sehingga masyarakat menjadi terpinga-pinga keliruan, akan keindahan Islam dan pemegang ilmu-lmu keislaman ini. Seolahnya, lebih dalam ilmu agama seseorang itu, lebih banyakkan keterlibatan dalam perdebatan dan pembantahan di antara satu sama lain. Seolah berlumba-lumba membuktikan diri lebih dalam ilmu, lebih alim dan bijak, lebih jauh kajian, pandangan dan sebagainya.

Pastinya, itu bukanlah satu destinasi yang betul bagi semua pecinta, pelajar dan pengkaji ilmu Islam.

Saya sering terfikir, mengapa selalu terbaca berita bantah membantah ini sedang selalu kita dahagakan berita mereka berukhuwwah, berdiskusi, berkasih sayang pada jalan Allah, sokong menyokong dengan penuh ilmu dan insaf bukan emosi dan kebencian kepada yang lain, bersatu dalam memberi pandangan dan panduan, teguran dan nasihat kepada sesama mereka, rakyat dan juga pemerintah.

Namun semuanya masih kelihatan samar dan masih kelihatan jauh-jauh.

Sedangkan Allah berfirman :-

وَالَّذينَ كَفَرُواْ بَعْضُهُمْ أَوْلِيَاء بَعْضٍ إِلاَّ تَفْعَلُوهُ تَكُن فِتْنَةٌ فِي الأَرْضِ وَفَسَادٌ كَبِيرٌ

Ertinya : Adapun orang-orang yang kafir, sebahagian mereka menjadi pelindung (pembantu bekerjasama) bagi sebahagian yang lain. Jika kamu (hai para muslimin) tidak melaksanakan apa yang telah diperintahkan Allah itu, niscaya akan terjadi kekacauan di muka bumi dan kerosakan yang besar ( Al-Anfaal : 73)

Kami bukan ingin menambah perpecahan, tetapi adalah menambah kepelbagaian  (tanawwu') dalam pemikiran dan gerakan sekaligus juga mengurangkan perbezaan.

Kalau sebelum ini setiap individu ilmuan akan bersuara secara individu, tentunya boleh membawa perbezaan inti, berlainan pula waktunya. Kini, dengan pertemuan usrah atau liqa ini, kepelbagaian yang tidak perlu seperti itu dapat dikurangkan, diganti dengan sebuah kepelbagaian yang sihat.

RESOLUSI PERTAMA

Dalam pertemuan kedua baru-baru ini, kami berjaya bersepakat atas satu resolusi.

Ini adalah pertemuan ilmu di antara pendakwah dan ilmuan yang diyakini, menginginkan kebaikan kepada masyarakat. Inginkan kesatuan, ingin memahamkan masyarakat agar menjauhi gejala kafir mengakfir, bid’ah membid’ah tanpa sebenar, sesat menyesat tanpa landasan ilmu dan keinsafan.

Mengajak masyarakat agar menjauhi isu yang boleh memecah belahkan kita dan memfokuskan isu yang boleh menyatukan kita, kalaupun bersetuju untuk tidak bersetuju dalam beberapa hal, pastinya ada perkara yang boleh kita persetujui bersama dan diusahakan. Bukankah kebersamaan itu lebih indah berbanding berbalah dan bertegang urat dan mental.!

Ini satu pertemuan yang berdiri di atas paksi ‘Wasatiyyah’ iaitu kesederhanaan dalam pendekatan, bertolak ansur dalam hal cabang atau furu’, namun tegas dalam hal prinsip. Berpaksikan ilmu-ilmu Usul Fiqh, Usul Tafsir, Usul Hadis dan sebagainya.

InshaAllah akan kami perincikan erti ‘Wasatiyyah’ di masa akan datang, kerana kami sedang memperkemaskinikannya lagi.

Inilah target kami.

AKHIRNYA

Sangka baik dan doa kalian amat kami hargai. Sebahagian besar sangka buruk pula adalah dosa. Sebahagian label yang zalim pula adakalanya adalah fitnah dan pembohongan. Beringatlah..Justeru, bersabarlah menanti mutiara dari pertemuan yang masih bersifat ‘infant’ ini. InshaAllah, kebaikan untuk semua diusahakan dengan izin Tuhan Rabbul Izzati.

Sekian

 

Zaharuddin Abd Rahman

www.zaharuddin.net

18 Jun 2011



Add this page to your favorite Social Bookmarking websites

Add comment


Security code
Refresh

Pengumuman

Wang, Anda dan Islam
Panduan Perbankan Islam

Untukmu Wanita

 
Untukmu Umat
Formula Solat Sempurna
Murabahah
 A Comprehensive Prayer FormulaContracts and The Products of Islamic Banking
Akidah dan IbadatRiba
cover_maqasid_arab 
Money, You and Islam
 cover_bicaralah_new ledakan_FB 
indahnya_hidup_politikcover_jangan_berhenti_berlari


 

Ruangan Iklan




RSS Feed

Pengisian Terkini Pengisian Terkini

Statistik

Site Meter

Pelawat

Now online:
  • 29 guests
Latest members:
  • Mohd Nasir

Komen Terbaru

You are here: Senarai Lengkap Artikel Bahasa Articles Usrah Ilmuan Shariah & Da'i