Perbankan & Insuran Bolehkah Bank Islam Guna Kadar Riba (BLR)?

Bolehkah Bank Islam Guna Kadar Riba (BLR)?

  • PDF
(14 votes, average 4.71 out of 5)

Bank Islam Guna Kadar

Faedah Kiraan Riba ( BLR) ?

Oleh

Zaharuddin Abd Rahman

http://www.zaharuddin.net/

 

art.jpg

Soalan

Apabila memohon pembiayaan Islam, mengapakah perbankan Islam mengenakan kadar keuntungan (profit rate) berdasarkan harga siling (ceiling rate). Perbankan Islam di Malaysia telah menggunapakai harga siling ini untuk memudahkan transaksi jual beli dimana kadar yang dikenakan sepatutnya lebih rendah dari kadar siling.

Contoh:
Ali memohon pembiayaan rumah (BBA) dengan harga RM100k pada kadar BFR+1.0% tetapi apabila membuat transaksi jual beli, (aset yang digunakan ialah rumah tersebut) pihak bank menggunakan harga siling 11%. Walaubagaimanapun, pihak bank ada menyatakan bayaran bulanan yang perlu dibayar ialah BFR+1.0% (RM500) bukan 11% (RM850) dimana perbezaan (RM350) bayaran bulanan tersebut akan direbetkan (bukan dipulangkan) didalam akaun Ali.

a. Adakalanya saya melihat Bank-bnak Islam turut menggunakan Base Lending Rate (BLR), adakah ini diterima Islam?

b. Persoalannya, mengapakah kadar siling itu digunapakai dan tidak kadar yang sepatutnya?

c. Adakah ini dibenarkan di dalam Islam?

d. Kaedah begini mungkin boleh mengelirukan pelanggan bukan Islam dan mereka akan mengatakan kadar siling tersebut kejam dan tiada membawa makna jika dibandingkan konvensional. Apakah cara untuk meyakinkan pelanggan sebegini?

Jawapan

Pertamanya terima kasih atas soalan yang diajukan. Saya akan cuba menjawab seringkas dan semudah mungkin.

a. ISU GUNA BLR

Benar, asal kiraan Base Lending Rate adalah kiraan berdasarkan riba, ia bersangkut paut dengan Kadar Dasar  Semalaman (OPR) penanda aras utama kadar  faedah dalam negara, yang ditetapkan oleh Bank Negara Malaysia. Pada tarikh saya menulis artikel ini kadar OPR yang ditetapkan oleh BNM adalah 3.25 %.

Kadar ini digunakan oleh bank-bank komersial sebagai cost of fund atau kos asas pemberian pembiayaan (bagi bank-bank Islam), atau kos asas pemberian pinjaman. Dalam bahasa mudahnya, ia adalah kos modal asal bagi bank.

 

Untuk memudahkan kefahaman, sebagai contoh ; anda meniaga burger di tepi jalan, maka untuk menentukan kos sebiji burger biasa, anda perlu mengambil kira kos-kos asas atau modal untuk menghasilkan sebiji burger. Iaitu harga sepaket daging burger, kos telur, sayuran, premis jualan bergerak dan lain-lain.

Lalu dianggarkan RM0.50 kos bagi sebiji burger biasa. Itulah kos ‘cukup makan' untuk perniagaan burger anda, jika diletakkan harga lebih rendah maka anda akan rugi.

 

Dalam konteks perbankan pula, RM0.50 tadi adalah kos dasar yang diletakkan oleh Bank Negara Malaysia. Huraian lanjut berkenaan hal ini adalah terlalu teknikal (berkait dengan interbank money market) justeru cukuplah saya simpulkan sedemikian.

 

Sesudah mengambil kira kos RM0.50 sebagai harga modal asas, Kini sebagai pemilik gerai burger anda mengambil seorang pekerja, mengupah iklan dan beberapa perkara tambahan. Semua ini bolehlah digelar ‘cost of fund' bagi pihak bank, dan ia akan memasukkan juga kadar keuntungan yang disasarkan oleh pihak bank atau dalam konteks contoh tadi, pihak penjual burger.

 

Untuk itu cuba lihat petikan berita ini

KUALA LUMPUR 1 Dis. - Kuwait Finance House (Malaysia) Bhd. (KFH) mengurangkan kadar asas pembiayaan (BFR) sebanyak 25 mata asas kepada 6.5 peratus, berkuatkuasa hari ini.

Keputusan itu dibuat berikutan pengumuman Bank Negara Malaysia (BNM) yang mengurangkan kadar dasar semalaman (OPR) sebanyak 25 mata asas kepada 3.25 peratus baru-baru ini.

Pengarah Urusan KFHMB, Datuk K. Salman Younis berkata, keputusan itu dapat memperkemaskan lagi BFR selain memberi kemudahan pengubahan sistem kewangan BNM kepada para pelanggan. (sumber

Untuk kefahaman, lihat bagaimana kadar dasar yang diletakkan oleh BNM mempungaruhi seluruh bank-bank komersial termasuk bank-bank Islam.

Jika kadar dasar yang diletakkan oleh BNM adalah 3.25 % dan kadar pembiayaan asas (BFR) bagi Kuwait Finance House adalah 6.5 %. Ini bermakna kadar kos pembiayaan (cost of fund)  bagi Kuwait Finance House adalah 3.35 %. Dari kadar itulah bank ini menentukan kos pembayaran gaji pekerjanya dan keuntungan sasaran.

HALAKAH DISUDUT SYARIAH MENYANDARKAN HARGA KEPADANYA?

 

Ini pastinya soalan ramai pihak termasuk ahli akademik dan ekonomi Islam di universiti seluruh dunia. Jawapan ringkasnya. Ya ia adalah HALAL.

 

Itu juga resolusi fatwa oleh Majlis Shariah Badan Perakaunan dan Kewangan Islam Sedunia (AAOIFI) dalam keputusan mereka bernombor 27, (2/5, 3/5 dan 4/5). Keputusan mereka menyebut DIBENARKAN untuk mengambil samada benchmark (ukur rujuk) dari BLR, LIBOR atau KLIBOR sebagai tanda ukuran dan perbandingan dan penetapan harga dalam urusan Sukuk pelaburan, aqad jual beli murabahah dan sepertinya dan juga penentuan nilai ( kadar) sewa dalam aqad sewaan.

 

Mengapa DIBENARKAN SEDANGKAN IA BERASAL DARI KIRAAN RIBA??

 

Jawapnya, keharusan sesebuah transaksi adalah bergantung kepada aqad yang digunakan, manakala penentuan harga adalah bebas dan terpulang kepada pihak penjual (jika aqad mmelibatkan jual beli) atau  pemberi sewa (jika melibatkan sewa).

Terpulang kepada mereka untuk menentukan cara penetapan harga  dan kiraan modal asas perniagaan mereka. Sama seperti peniaga burger tadi, terpulang kepadanya untuk menentukan cara pengiraan modal asas perniagaannya.

Samada untuk membandingkan burger halalnya dengan burger babi di kedai sebelah atau ingin disandarkan harganya kepada burger halal di kedai lain. Semuanya tidak memberikan kesan kepada PEMBUATAN BURGER HALALNYA. Selagi ia DIJUAL SECARA HALAL maka burgernya tetap halal walaupun si penjual meniru harga BURGER BABI DI KEDAI SEBELAHNYA. Ia tidak memberikan kesan kepada aqad di antaranya sebagai penjual dan pembeli.

 

Inilah yang berlaku kepada bank-bank Islam di Malaysia dna seluruh dunia, buat masa ini belum banyak pilihan kecuali terpaksa menyandar atau mengambil kadar faedah asas yang ditentukan oleh sesebuah Bank Negara kerana itulah kadar yang terpakai dan difahami oleh pelabur di dalam dan luar Negara.

 

Bagaimanapun, adalah amat digalakkan pada satu masa nanti di ketika saiz perbankan Islam bertambah kukuh dalam Negara, bolehlah industri kewangan Islam memperkenalkan benchmark atau ukur rujuknya sendiri dan diikuti pula oleh bank konvensional. Namun ia memerlukan sokongan anda semua.

 

Selain itu ia juga HARUS atas dasar atau dalil [1] :-

 

•·         الأخذ بالقرائن : iaitu mengambil kira qarinah atau bukti-bukti dalam kes-kes urusan kewangan adalah harus. Maka mengambil benchmark luaran sebagai sandaran penetapan harga turut harus.

•·         الاستصحاب : iaitu kekalnya hukum asal selagi bukti bertukarnya sifat aqad kepada haram. Bank-bank Islam menggunakan aqad-aqad halal dalam urusniaga mereka, walaupun harga disandarkan kepada benckmark yang bukan dari kiraan halal namun, tiada tanda penggunaan benckmark tadi mengubah sifat aqad halal dalam transaksi tadi kepada haram. Justeru ia kekal sebagai halal

                  * Proses penentuan harga adalah dituntut dalam Islam untuk berdasarkan harga pasaran semasa, ia jelas    apabila Nabi s.a.w menolak permohonan seorang sahabat untuk baginda menetapkan harga siling. Balas baginda

 

بل الله يخفض ويرفع , وإني لأرجو أن ألقى الله وليس أحد منكم يطالبني بمظلمة في دم أو مال   

Ertinya : Bahkan  Allah SWT adalah yang menaik dan menurunkan harga, dan sesungguhnya aku berharap untuk bertemu Allah dan tiada seorang pun dari kalangan kamu menuntut dariku akibat sebarang kezaliman ( yang aku lakukan) samada berkaitan darah atau harta" ( Riwayat Abu Daud ; hlm 385 ; Al-Bayhaqi, 6/29 ; Sohih menurut Albani)

 

Penolakan baginda ini jelas menunjukkan baginda s.a.w menyeru umat Islam untuk menetapkan sesuatu harga berdasarkan proses normal dalam pasaran, atau dengan mengikutharga pasaran. Campur tangan kerajaan di ketika pasaran normal adalah ditegah. Justeru, BLR dan OPR yang dikeluarkan oleh Bank Negara Malaysia boleh dikira sebagai harga standard harga pasaran bagi semua bank-bank yang ada di Malaysia. Justeru, adalah diharuskan bagi mana-mana bank islam di Malaysia untuk meneliti kadar OPR yang diberikan sebagai panduan untuk menentukan harga pasaran.

 

 

b. Mengapa Kadar siling dipakai?

Kerana ingin jadikannya menepati syariah, tiada gharar, menjaga kemaslahatan bank dan kebajikan penyimpan wang iaitu pelanggannya.

Ia dipakai hasil tuntutan aqad jual beli yang digunakan. Iaitu mesti diletakkan satu harga. Justeru bagi menygimbangi turun naik kadar BLR, pihak bank perlu mengambil jalan selamat dengan mengenakan kadar siling lebih tinggi jualan asetnya (apabila pembiayaan dilakukan).

Sebenarnya, jawapan bagi soalan ini telah pernah saya sebutkan, sila rujuk di link berikut dan harap dapat meneliti tulisan saya dalam persoalan yang dikemukan. Namun dari contoh yang saudara berikan, jelas menunjukkan saudara MASIH TIDAK JELAS DAN TIDAK FAHAM.

 

Sepatutnya 11 % harga yang MESTI DIBAYAR OLEH ALI kepada Bank, tapi bank berikan diskuan ikut BFR, dalam contih saudara adlah perbezaan RM 350 dihasilkan.

Tiba-tiba saudara pertikaikan "MENGAPA JUMLAH ITU TIDAK MASUK AKAUN ALI?".. ini soalan yang pelik, bank sudah bagi diskaun kepada Ali dengan nilai RM350, menyebabkan Ali hanya perlu membayar jumlah yang kurang kepada bank,

Sepatutnya RM350 perbezaan itu masuk dalam untung bank, bukannya masuk ke dalam akaun Ali. Sebab Ali yang BERHUTANG dengan bank dan perlu bayar pada SETIAP bulan itu yang asalnya RM 850 (menurut kadar 11 %), tapi kini Ali hanya kena bayar murah sikit iaitu RM550. Ali sepatutnya berysukur kerana mendapat diskaun dari bank Islam.

c. Adakah ia dibenarkan?

Ia ia dibenarkan CUMA mestilah di buat dengan teliti dan menepati syarat agar tidak jatuh dalam juualan dengan harga pelbagai yang diharamkan dalam Islam. Atas sebab itulah harga siling digunakan sebagai harga tetap bagi kontraknya, BFR pula dipakai hanya bagi menentukan berapakan kadar diskuan atau rebate atau ibra yang kemungkinan boleh diberikan oleh pihak bank kepada pelanggannya. Ia tidak boleh dijanjikan. Keterangan lanjut bagi soalan ini juga boleh dibaca dalam link yang diberikan sebentar tadi.

d. Tidak, fakta dan statistik tidak menunjukkan orang bukan Islam merasa Bank Islam zalim, malah merekalah pelanggan terbesar bank islam kerana ramai mereka yang bijak mengira.

Orang Islamlah yang terbanyak mengatakan bank Islam zalim dan kejam mereka kebanyakkan mereka lemah matematik dan tidak memahami cara kiraan.

Tiada yang keliru kecuali bagi mereka yang tidak faham atau belum faham. Justeru dapatkan ilmu dan dengan itu boleh meyakinkan mereka, anda perlu memahami dahulu di link tadi, nescaya akan faham inshaAllah.

KESIMPULAN 

Terima kasih kerana bertanya namun ingin saya nasihatkan orang ramai agar jangan cepat melenting dengan urusan dan transaksi dengan bank-bank islam sebelum benar-benar memahaminya, dapatkan kefahaman terlebih dahulu sebelum tergesa-gesa mengganggapnya salah.

Transaksi di bank-bank sememangnya teknikal dan tidak mudah diterangkan kepada orang ramai dalam bentuk yang mudah. Bersangka baik perlu didahulukan, kemudian kaji dengan tenang dan rujukilah mereka yang pakar, berpengalaman dan faham.

Jika setelah kaji dengan yang pakar atau anda pakar barulah boleh untuk seseorang menulis teguran kepada bank-bank Islam dan ahli-ahli Syariah yang menyelianya.

Saya faham, ramai yang skeptik dengan tindak tanduk bank-bank Islam di Malaysia, namun jangan memusuhi sesuatu dalam keadaan kejahilan berkenaan hakikatnya.

Sekian

Zaharuddin Abd Rahman

http://www.zaharuddin.net/ 

5 Dis 2008

 


 


 

[1] Al-Ma'ayir As-Syariyyah, AAOIFI, hlm 463



Add this page to your favorite Social Bookmarking websites

Add comment


Security code
Refresh

Pengumuman

Wang, Anda dan Islam
Panduan Perbankan Islam

Untukmu Wanita

 
Untukmu Umat
Formula Solat Sempurna
Murabahah
 A Comprehensive Prayer FormulaContracts and The Products of Islamic Banking
Akidah dan IbadatRiba
cover_maqasid_arab 
Money, You and Islam
 cover_bicaralah_new ledakan_FB 
indahnya_hidup_politikcover_jangan_berhenti_berlari


 

Ruangan Iklan




RSS Feed

Pengisian Terkini Pengisian Terkini

Statistik

Site Meter

Pelawat

Now online:
  • 16 guests

Komen Terbaru

You are here: Perbankan & Insuran Bolehkah Bank Islam Guna Kadar Riba (BLR)?